Tuesday, November 17, 2009

Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (3)

Faktor penolak

Beberapa faktor individu yang saling berkait antara satu sama lain menyumbang kepada faktor penolak ini. Elemen-elemen ini adalah sebahagian daripada sejarah China, perubahan politik dan ekonomi serta perkembangan demografi.

Hanya dua dekad yang lalu, faktor penolak kepada perpindahan di dalam dan dari China agak memberi kesan kerana penahanan politik, peperangan, bencana alam seperti banjir dan kemarau. Bagaimanapun hari ini, dengan perubahan ekonomi yang pesat, meningkatnya umur sebilangan penduduk, pengangguran di luar bandar dan perpindahan penduduk, semuanya menjadi pemacu kepada aliran migrasi yang lebih pantas.

Purata lapan peratus kadar dalam negara kasar yang dicapai oleh China di sekitar tahun 1990-an menjadi faktor utama kepada pelaburan asing sebanyak US$50 bilion di China. Pelaburan ini berjaya menghasilkan US$700 bilion bagi eksport tahunan negara itu. Justeru, China menjadi kilang dunia dan memonopoli pelaburan luar. Bagaimanapun kebanyakan kilang yang muncul kesan daripada pelaburan besar ini berpusat di sekitar kawasan pantai dan golongan muda yang berhijrah ke sini berupaya memenuhi permintaan tenaga kerja di sana.

Malah, perkembangan pembangunan sangat memberangsangkan di seluruh China. Sekitar 35 peratus daripada 1.3 bilion rakyat negara itu tinggal di bandar tetapi 72 peratus kadar dalam negara kasar dihasilkan di bandar-bandar di mana 85 peratus pelaburan dilakukan dalam sektor harta.

Situasi ini mencetuskan jurang pendapatan yang besar. Penduduk Beijing dan bandar raya pesisir pantai memperoleh 6000 yuan (US$845) tetapi di tempat lain hanya 2000 yuan (US$285). Lebih malang lagi, di kawasan luar bandar petani perlu membayar cukai. Rasuah pula berleluasa. Dalam keadaan inilah petani dan pekerja di kawasan luar bandar menerima tekanan untuk berpindah.

Kenyataannya ialah terdapat 900 juta penduduk luar bandar termasuk 400 juta petani dan China memiliki terlalu ramai mereka yang bekerja dalam sektor pertanian. Selepas China diterima menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WHO), perpindahan luar bandar ke bandar semakin bertambah dan harga ladang menjunam. Namun, China masih memiliki ladang terbesar di dunia, memberi makan kepada 22 peratus penduduk dunia. Dalam masa lima tahun, hampir 23 juta penduduk China dijangka berpindah ke kawasan bandar di mana berjuta-juta orang akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan. Lebih banyak tenaga manusia berbanding pekerjaan. Oleh itu China mesti mewujudkan 100 juta peluang pekerjaan bagi tempoh satu dekad yang akan datang untuk menyerab pekerja-pekerja yang belum memperoleh sebarang pekerjaan seperti petani, lepasan sekolah dan pekerja yang diberhentikan. Pekerja telah diberhentikan kerana dasar penswastaan yang diperkenalkan China sebelum itu di mana 50 juta pekerja hilang pekerjaan masing-masing setelah perusahaan milik negara dikurangkan 40 peratus pada tahun 1995 hingga 2002. Perberhentian ini menyebabkan pekerja-pekerja berkenaan dipaksa mencari peluang pekerjaan di tempat lain.

Walau bagaimanapun tekanan untuk pekerja berpindah ke tempat lain dijangka berkurangan pada tahun 2025 sebaliknya China akan membawa masuk pekerja-pekerja dari Asia Tenggara. Biarpun sukar meramalkan keadaan pasaran buruh dalam masa satu dekad di hadapan, ramai pakar mendakwa pembangunan ekonomi China wajar diperlahankan bagi mengurangkan pekerja-pekerja yang tidak mahir berpindah ke luar negara.

Alasan mereka ialah dasar kelahiran penduduk China telah meningkatkan bilangan golongan tua di negara itu yang akan memberi kesan kepada perkembangan pantas ekonomi. Menjelang tahun 2050, unjuran penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan umur penduduk tua (65 tahun dan ke atas) membentuk 14 peratus jumlah penduduk China.

Sistem dokongan ke atas kebajikan golongan pesara akan berubah dengan pengurangan penduduk muda. Situasi ini adalah cerminan kepada keadaan yang berlaku pada masa ini di mana pada tahun 2050, dijangka kebanyakan negara Eropah memiliki jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding tahun 2000. Sebagai contoh, 25 buah negara Kesatuan Eropah mempunyai perkembangan tahunan penduduk yang menyamai perkembangan penduduk India dalam tempoh satu minggu.

Perkaitan di antara kadar pengangguran yang tinggi di China dan meningkatkanya aliran perpindahan penduduk disahkan sendiri oleh pendatang haram China di Eropah. Mereka bermula di timur laut China dan bergerak ke Perancis, Italy dan Belanda. Kebanyakannya datang dari daerah Liaoning dan Heilongjiang.

China sepatutnya tidak terpengaruh dan leka dengan aliran migrasi ini dengan mengecualikan perbincangan pelbagai hala ASEM untuk menghentikan kemasukan pendatang haram ke Eropah. Namun, persepsi Eropah ialah melihat China menggunakan pendatang asing ini sebagai satu bentuk diaspora baru yang menyediakan capaian kepada teknologi terkini dan pasaran global. Dalam masa yang sama, China cuba menarik kembali Cina Seberang Laut untuk pulang ke negara itu dan membangunkan Shanghai atai Guangzhou.

Faktor penarik

Terdapat beberapa faktor yang menarik keluar masyarakat Cina berpindah ke Eropah. Barangkali satu faktor yang sangat kukuh ialah mendapat kerakyatan Eropah atau penduduk tetap. Dalam keadaan begitu, mereka mampu menarik keluar ahli keluarga yang lain untuk bersama-sama berpindah. Namun terdapat faktor-faktor lain yang lebih penting.

Eksport tahunan China yang besar iaitu US$700 bilion telah menjadikan China sebagai pemimpin eksport dalam kalangan negara-negara membangun. Walau bagaimanapun kebanyakan eksport ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat luar yang berpengkalan di China di mana kebanyakan wanita-wanita muda yang berhijrah ke bandar dan di bawah 25 tahun, tinggal di asrama berkelompok syarikat ini, bekerja 13 jam sehari dengan pendapatan US$3.

Dibandingkan dengan kos pengeluaran anak patung Barbie yang dijual pada harga 10 euro di pasaran Eropah, di China cuma berharga 0.25 euro. Melihat kepada dunia baru yang datang bersama globalisasi, para pekerja ini mula sedar dan merasakan peluang adalah milik mereka. Sebagai contoh, jika salah seorang wanita ini bekerja di restoran Cina di mana-mana negara Eropah, pendapatan seminggu yang diperoleh dapat menampung keluarganya selama dua hingga tiga bulan di China. Jika mereka bekerja kuat, pendapatan setahun di Eropah menyamai lapan tahun bekerja di China.


Lebih menarik lagi, jika mereka mendapat maklumat terdapat negara-negara Eropah yang sedang merekrut jururawat dari China- seperti Ireland, yang menghadapi kekurangan jururawat, jumlah permohonan ke sana amat banyak. Biarpun gaji jururawat di Ireland berasaskan kualiti dan pengalaman kerja, bagi wanita China ia amat berbaloi.

Bagi kebanyakan orang Cina sama ada belum bekerja atau sedang mencari kerja, peluang seperti ini tidak boleh dilepaskan begitu saja. Mereka rasa tidak bahagia tinggal di China dan mahu mengubah keadaan hidup. Mereka bersungguh-sungguh mahu lakukan perubahan tersebut. Bagaimanapun prosedur keluar negara begitu ketat, jadi mereka mendapatkan sokongan keluarga. Seterusnya mencari seseorang yang dapat menyediakan khidmat membawa mereka ke Eropah. Semuanya berlaku secara haram. Sebaik sahaja mendapat sokongan keluarga khususnya wang belanja, mereka akan membayar ‘ejen pelancongan’ yang sebenarnya adalah penyeludup manusia.

Selepas berada di luar negara, mereka mula menulis surat menceritakan kehidupan bahagia di tempat baru tanpa memberitahu bagaimana susah dan deritanya kehidupan kerana ingin menjaga maruah diri. Cerita-cerita menarik ini akan memberi galakan kepada penduduk kampung yang lain untuk mencuba.

Kes lain yang berlaku ialah sesetengah penyeludup manusia ini menawarkan pakej yang merangkumi perjalanan, tempat tinggal, pekerjaan dan pembantu peribadi. Inilah godaan wang panas dalam kegiatan kongsi gelap. Pakej yang disediakan ini mendapat sokongan daripada mereka yang benar-benar mencari kehidupan baru di Eropah.

Selepas melengkapkan perjalanan, barulah mereka merasai realiti sebenar kehidupan di Eropah. Pendatang asing yang ditemui di selatan Eropah mengakui senario ini. Sebahagian besar pendatang asing bekerja di sektor perkhidmatan sebagai buruh, pencuci, pekerja restoran, pekerja hotel dan buruh binaan. Di Perancis dan Italy, pendatang asing bekerja di restoran dan perusahaan yang dibuka terdapat di Chinatown.

Apabila pendatang asing Cina bercadang menggunakankemudahan-kemudahan yang ada untuk berhijrah, mereka akan melakukannya. Bermula pada 1850 hingga 1930, waktu ini adalah fenomena hijrah masyarakat Cina ke Amerika Syarikat dan Australia, kemudian dari 1931 hingga 1960 adalah era profesional Cina pergi ke luar negara untuk mengajar anak-anak pendatang Cina. Gelombang terakhir bermula lewat 1960-an di mana masyarakat Cina yang menetap di negara luar berhijrah ke negara-negara dunia ketiga termasuk Asia Tenggara yang berpindah ke Eropah.


Artikel berkaitan:

Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (2)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)

No comments:

Post a Comment