Kisah Nabi Ayub a.s seringkali menjadi iktibar kepada umat Islam khususnya yang sedang menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Suka dan duka baginda menempuh ujian Allah sangat sukar diterima oleh orang kebanyakan seperti kita.
Nabi Ayub a.s adalah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Kehidupannya diuji dengan penyakit selama 18 tahun dan kawan-kawannya lari meninggalkan Nabi Ayub a.s kecuali isterinya.
Kehidupan baginda sangat bahagia, dilimpahi kekayaan harta dan anak-anak yang ramai. Namun ujian Allah bermula apabila kekayaannya ditukar kepada kemiskinan dan anak-anaknya mati seorang demi seorang.
Bagi orang awam, ujian Allah merupakan pembersihan dosa-dosa terdahulu. Barangkali kesalahan-kesalahan lalu menjadi penghalang kepada rahmat Allah dalam hidup. Jika tidak, ujian memang saja hendak diberi kerana Allah ingin memberi hikmat yang tertentu. Di samping itu ujian juga sebagai penambah pahala.
Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya kerana ujian yang diberi adalah yang terbaik untuk diri seseorang. Ciri-ciri ujian yang menepati seseorang ialah ia mengikut tahap keimanan. Sebab itulah para nabi dan rasul menerima ujian yang sangat berat, diikuti orang soleh sehinggalah orang kebanyakan.
Ibnu Kathir berkata, ‘Kisah Nabi Ayub a.s adalah kemuncak dalam kesabaran kerana ketinggian dalam iman kepada Allah.’
Dalam surah Al-Anbia ayat 83 hingga 84 dinyatakan, ‘Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).’
Ayat ini menerangkan perihal Nabi Ayub a.s yang penuh adab berdoa kepada Allah. Baginda tidak menyatakan permintaannya secara khusus tetapi penuh pujian kepada Allah yang memahami keadaan dirinya ketika itu.
Dalam menempuh ujian dan cabaran hidup, orang beriman harus melihatnya dari persepktif positif. Sama ada ringan atau berat, semua ujian memberi kebaikan kepada orang beriman. Jika berat, boleh jadi rasa susah, mungkin susah itu membawa kebaikan kepada diri seperti dapat menilai kembali keputusan atau tindakan yang diambil sebelum ini.
Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s kerana doanya itu, mengembalikan semula harta dan anak-anak yang telah hilang sebelum itu sebagai sebahagian daripada rahmat Allah.
Maksud surah A-Saad ayat 42, ‘Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).’
Sebagai orang yang sentiasa berhadapan dengan ujian dan cabaran, baik dalam keluarga, tempat kerja atau dalam masyarakat, adalah wajar bagi kita untuk menilai pengajaran di sebalik ujian berkenaan.
Ujian hidup yang kita hadapi bukannya satu bentuk hinaan Allah ke atas hamba-Nya yang beriman kerana Allah menguji seseorang mengikut kehendaknya. Kita tidak ada daya upaya hendak menolaknya.
Menolak ujian yang kita hadapi mesti menggunakan bahasa yang sebaik-baiknya seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ayub a.s di mana baginda memilih bahasa yang beradab. Perkara yang wajar berada di fikiran kita ialah menerima ujian dengan sabar dan pada masa yang sama berusaha mencari jalan keluar dengan gigih.
Nabi Ayub a.s memberi pengajaran kepada orang beriman untuk bersedia dengan ujian Allah. Biar teruk sekali pun, ikhtiar mesti dicari supaya kesedihan dan kepayahan yang dilalui dapat diatasi dengan cara terbaik.
No comments:
Post a Comment