Sejak Januari 2004, jumlah kematian di selatan Thailand telah mencecah hampir 3,900 orang apabila keganasan semakin menjadi-jadi. Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat yang menempatkan 60,000 tentera terus menghadapi pergolakan hampir setiap hari yang melibatkan orang awam, imam dan tokoh agama, penjawat awam serta anggota keselamatan sendiri.
Keadaan mangsa yang terbunuh sangat mengerikan di mana sesetengahnya dipenggal kepala dan sebahagian yang lain pula hancur anggota badan akibat ledakan bom.
Pencetus kepada siri pembunuhan dan keganasan ini ialah serangan ke atas pos tentera di Narathiwat pada 4 Januari 2004 diikuti peristiwa berdarah di Masjid Kerisik, Pattani pada April 2004 yang menyebabkan 106 penduduk Islam terbunuh. Seterusnya peristiwa di Tak Bai, Narathiwat pada Oktober tahun yang sama melibatkan 76 orang Islam terbunuh.
Kedua-dua peristiwa itu dikaitkan dengan kekerasan oleh pihak tentera Thailand ketika meleraikan konflik di dua tempat berkenaan.
Pada tahun ini, 8 Jun 2009, 11 penduduk Islam ditembak mati ketika sedang sembahyang di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Narathiwat.
Sejak Thaksin Shinawatra menjadi perdana menteri Thailand hingga ke era Abhisit Vejjajiva, penyelesaian konflik di selatan Thailand tidak pernah dimuktamadkan di sebalik pelbagai idea dari Bangkok. Berbagai-bagai pendekatan dan janji ditaburkan kepada penduduk tiga wilayah namun tidak pernah menjadi menu utama pentadbiran mereka.
Keadaan yang sangat ketara di wilayah berkenaan ialah berkaitan sosioekonomi penduduk yang masih bergelut dengan kemiskinan dan pengangguran. Pattani, Yala dan Narathiwat dianggap sebagai kawasan hitam bagi kakitangan awam kerana mereka yang bermasalah akan dihantar ke sana untuk ‘pemulihan’.
Selatan Thailand berasal dari sebuah kerajaan Kesultanan Melayu Islam sehinggalah tahun 1902 apabila diserang dan ditakluk oleh kerajaan Siam Buddha. Pemimpin dan pejuang pembebasan Pattani silih-berganti namun masih gagal sehingga kini. Kewujudan beberapa pergerakan menjadikan perjuangan masyarakat Islam semakin aktif seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP). Kelompok ini percaya membebaskan selatan Thailand hanya dapat dicapai melalui senjata.
Shawn W. Crispin, seorang penganalisis menyatakan penyelesaian berkekalan di wilayah selatan itu amat sukar kerana doktrin rasmi kerajaan Thailand ialah menubuhkan negara Buddha dan Islam perlu diberi tekanan daripada berkembang. Justeru, barisan akhir yang sedang mengekang peluasan doktrin ini iaitu pejuang pemisah tidak perlu diberi ruang untuk meluaskan pengaruh mereka.
Artikel beliau yang disiarkan dalam Courrier International pada Oktober 2001turut melihat keganasan yang berlaku ketika ini khasnya di kawasan tumpuan ramai telah dicetuskan oleh serangan balas dendam sesama anggota polis berbanding pejuang pemisah. Pandangan beliau agak logik kerana operasi puak pemisah ialah di kawasan hutan dan gunung berbanding di bandar atau tempat terbuka.
Sebaliknya, International Crisis Group (ICG) yang berpengkalan di Brussels mengeluarkan laporan mereka pada Jun lalu yang bertajuk “Recruiting militants in southern Thailand” menyatakan punca utama penglibatan pejuang pemisah adalah untuk mempertahankan identiti dan menentang peminggiran. Perubahan polisi dan amalan yang meminggirkan etnik Melayu Islam di selatan Thailand adalah langkah penting dalam tindakan selepas ini, dan patut meletakkan rasa hormat ke atas bahasa, agama dan budaya mereka.
Cadangan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak supaya selatan Thailand diberi autonomi bagi menyelesaikan konflik disambut baik oleh Abhisit dengan berkata, “Ia pendekatan yang baik.” Kedua-dua pemimpin itu akan turun ke wilayah bergolak pada Disember ini untuk melihat penyelesaian jangka panjang itu menjadi kenyataan.
Pandangan Najib amat menarik kerana latar belakang beliau yang pernah menjadi menteri pertahanan selama beberapa tahun mewajarkannya memberi cadangan yang konkrit. Autonomi yang dicadangkan itu dirasakan dapat menamatkan kebanjiran serangan, mengurangkan keganasan, memberi peluang kepada penduduk tempatan memilih pemimpin sendiri di samping menambah peluang pekerjaan, pendidikan dan kebebasan agama.
Pada masa yang sama, kerajaan Thailand perlu berusaha mendapatkan kepercayaan penduduk Islam supaya mereka merasakan kerajaan benar-benar mengambil berat kepentingan dan masalah mereka.
Walaupun Thailand cuba meminta bantuan kerajaan Malaysia termasuk kerajaan negeri-negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, keganasan tetap dianggap sebagai masalah domestik Thailand dan negara itu perlu menyelesaikan sendiri masalah tersebut. Prinsip “tidak mencampuri urusan negara lain” menjadi pegagangan anggota negara-negara ASEAN dan campur tangan negara luar dianggap sebagai mengganggu urusan dalaman sesebuah negara anggota.
Idea autonomi dan apa jua cadangan selepas ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan keganasan dan mengembalikan keamanan di wilayah bergolak. Perbincangan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi menyelesaikan konflik dan keganasan seharusnya dibuat bersungguh-sungguh dan disokong oleh semua pihak bertelagah.
No comments:
Post a Comment