Monday, November 16, 2009

Hari-hari dalam hidupku

Penulis: Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili
Tahun: 2007
Penerbit: Pustaka Salam Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 366

Buku ‘Hari-hari dalam hidupku’ ini mengisahkan peristiwa benar liku-liku kehidupan seorang wanita Islam yang gigih mempertahankan umatnya daripada dilanda arus kesesatan. Kegigihan beliau seharusnya menjadi teladan kepada para pemuda yang cintakan agama ini. Zainab Al-Ghazali adalah seorang pejuang dakwah masa kini. Beliau lahir di tengah-tengah keluarga yang menekankan kepentingan pendidikan Islam. Sejak zaman remaja beliau bertekad untuk mewakafkan dirinya menegakkan kesucian Islam. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jama’ah Muslimat pada tahun 1937. Pertubuhan itu adalah satu organisasi yang bertujuan memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam, membantu keluarga yang mana suaminya telah dipenjarakan oleh pemerintah Mesir.

Kegigihan dan keikhlasan beliau di atas jalan dakwah ini telah mempertemukannya dengan Hasan Al-Banna, pengasas dan mursyid am Ikhwan Muslimin yang pertama. Pertemuan ini telah menyebabkan beliau kemudiannya memberikan bai’ahnya kepada Hasan Al-Banna dan menjadi anggota Ikhwan Muslimin. Ini kerana beliau meyakini bahawa bekerja untuk menegakkan negara Islam adalah wajib dan kerja-kerja itu hendaklah melalui sebuah jemaah Islam yang mencontohi jemaah Islam pimpinan Rasulullah SAW. Jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan Al-Banna adalah jemaah Islam pertama yang telah ditubuhkan pada tahun 1928 iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki. Jemaah itu bercita-cita hendak mengembalikan Islam ke dalam kehidupan manusia ataupun menegakkan kembali daulah Islam.

Kisah Zainab adalah kisah perjuangan dan kesabaran. Beliau sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang menjadi prinsipnya. Semasa era pemerintahan presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab Al-Ghazali dengan penuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka yang dipenjarakan. Pelbagai bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.
Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya beliau ditangkap dan dipenjarakan dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Namun Allah telah menyelamatkannya. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Jamal Abdul Naseer telah mengarahkan beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.

‘Atas perintah Jamal Abdul Naseer, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.’

Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atasnya. Namun beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah, ‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.’

Akhirnya beliau keluar daripada penjara pada tahun 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau sebagai teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.

2 comments:

  1. Anonymous2:31 PM

    assalamu`alaikum.
    boleh dapatkan buku ini dimana?
    ada yang kata buku ni susah nak dapat skrg.
    di pustaka fajar ada tak?

    ReplyDelete
  2. Di pustaka salam, tahun 2007 masih baru, tentu mereka ada stok lagi.Pustaka Salam Sdn Bhd
    No. 18, 1st Floor, Jln 34/10a,
    68100 Kuala Lumpur,Kuala Lumpur Tel: 03-6186 9499 Fax: 03-6187 5436

    ReplyDelete