Penulis: Abd. Muta’al Jabari
Tahun: 2009
Penerbit: Solar Care, Kota Bharu, Kelantan.
Muka Surat: 64
Melangkah ke alam perkahwinan adalah umpama melalui satu gerbang sempadan dua daerah; pada daerah sebelumnya merupakan sesuatu yang haram serta ditakutkan dengan dosa akan berubah menjadi satu kebajikan dan dijanjikan dengan pahala di daerah baru itu. Hanya dengan bersyaratkan cap mohor di atas paspot untuk melewati garis sempadan, yakni paspot “aqad nikah.” Selesai aqad nikah maka terpikul tanggungjawab bersama dan termeterailah suatu perjanjian persefahaman di antara dua jiwa serta di antara dua keluarga. Buku “Malam Pengantin” ini adalah hasil tulisan Syeikh Abd. Muta’al Jabari iaitu seorang ulama Mesir yang bergiat dalam Jemaah Al-Muslimin. Beliau telah menghabiskan beberapa tahun daripada kehidupannya di dalam penjara kerana mempertahankan keyakinan dan perjuangannya. Selepas beberapa lama dibebaskan, beliau telah dihantar oleh jemaahnya untuk bergiat aktif di Amerika Syarikat bagi menyusun kerja-kerja dakwah di sana.
Terdiri daripada empat bab iaitu;
Pertama: Menyingkap tabir malam pengantin
Kedua: Menggagas nasihat untuk pengantin
Ketiga: Menelusur adab sopan dalam menunaikan hajat
Keempat: Cetera contoh malam pengantin.
Memiliki buku ini adalah sangat bermakna kepada bakal pengantin kerana dapat menambah ilmu sebagai suami dan isteri. Di akhir buku yang hebat ini, dihadiahkan dua buah doa yang sangat sesuai dibaca selepas bergelar suami dan isteri.
“Ya Allah! Berikanlah kepadaku kemanjaan dan kasih sayangnya serta kerelaannya dan aku memohon keredhaan-Mu dengannya. Himpunkanlah kami dengan sebaik-baik perhimpunan dan semudah-mudah persetujuan. Sesungguhnya Engkau suka kepada yang halal dan benci kepada sesuatu yang haram.”
“Ya Allah! Aku mengahwininya berdasarkan ajaran kitab-Mu, aku mengambilnya berdasarkan amanah-Mu. Sekiranya Engkau mengurniakan seorang anak kepadaku melaluinya, maka janganlah Engkau menjadikan anak tersebut penyekutu dan bahagian syaitan.”
No comments:
Post a Comment