Thursday, November 12, 2009

Bagaimana Finland merencana pendidikan negara

Kejayaan Finland dalam dunia pendidikan telah dihidu apabila negara itu menduduki tempat pertama atau kedua dalam Programme for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2003 dan 2006.

‘Finland telah berjaya berada di kedudukan satu atau dua dengan keupayaan yang tinggi dalam celik huruf, matematik dan sains. Jika dapat dilihat secara keseluruhan dalam pelbagai bidang, Finland mungkin berada di kedudukan pertama. Negara ini menerima markah yang sangat tinggi dalam pencapaian pelajar di peringkat antarabangsa,’ kata Duta Finland ke Thailand Sirpa Maenpaa.

Prestasi keseluruhan pelajar-pelajar sekolah di Finland telah mendapat reputasi yang baik di peringkat dunia. Ini membuktikan sistem pendidikan di negara itu sangat berjaya.

‘Paling menarik, keputusan yang dicatatkan oleh Finland adalah seragam. Ia bukannya datang dari sesetengah pelajar yang cemerlang sebaliknya prestasi keseluruhan pelajar,’ katanya.

PISA ada peperiksaan peringkat dunia yang dibuat tiga tahun sekali. Ia menguji keupayaan pelajar yang berumur 15 tahun dan diuruskan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Dibangunkan sejak 1997, PISA yang pertama dijalankan pada tahun 2000. Negara-negara yang tidak menyertai OECD turut dijemput menyertainya.

Beberapa fakta pendidikan di Finland sangat menarik untuk dibuat perbandingan. Masalah keciciran sekolah rendah sangat rendah iaitu kurang daripada 0.5 peratus. Manakala kelas ulangan hanya dua peratus. Perbezaan antara sekolah sangat kecil kerana semua pelajar diwajibkan hadir sebanyak 190 hari setahun selama empat hingga tujuh jam sehari. Kerja sekolah tidak banyak, cukup untuk pengukuhan dan tidak ada lagi kelas tambahan selepas waktu sekolah.

Bagi kerja-kerja sekolah yang diberikan, ia mengambil masa hanya beberapa jam untuk dihabiskan berbanding sesetengah negara di Asia yang mendapat markah tinggi dalam PISA, mereka bergantung pada kerja-kerja sekolah yang kadangkala membebankan.

Apakah strategi kerajaan Finland bagi membangunkan system pendidikan mereka?

Maenpaa berkata ramai pendidik di seluruh dunia berminat untuk mengetahui bagaimana Finland menambah baik sistem pendidikan mereka dengan berkesan.

Perkara pertama ialah semua pendidik dikehendaki mendapatkan pendidikan peringkar sarjana sama ada mereka mengajar di sekolah rendah atau menengah.

Kedua, sistem pendidikan negara itu diperturunkan kuasa kepada pihak perbandaran malah kepada guru itu sendiri. Justeru, guru yang memiliki kelayakan peringkat sarjana mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan kaedah terbaik mengajar pelajar-pelajar mereka.

‘Pendidikan diberi penghormatan yang sangat tinggi dalam masyarakat Finland. Kami telah melabur dalam menyediakan asas pendidikan yang berkualiti untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada semua pelajar sama ada mereka dapat belajar atau tidak di sekolah. Ia tidak bermakna kami mengerahkan mereka menjadi pelajar terbaik. Kami memberi sokongan kepada semua pelajar termasuk yang lemah,’ katanya.

Menurut Kementerian Pendidikan Finland, enam peratus daripada kadar dalam negara kasar diperuntukkan kepada sektor pendidikan. Tidak hairanlah negara itu dapat menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya.

‘Kami mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah rendah selama sembilan tahun. Semua sekolah dan universiti dibiayai oleh kerajaan tempatan dan persekutuan. Buku untuk pendidikan asas juga diberi percuma. Makanan diberi bagi mempastikan pelajar memiliki tenaga yang mencukupi untuk pembelajaran mereka,’ jelas Maenpaa.

Terdapat juga beberapa buah sekolah persendirian yang menerima subsidi daripada kerajaan.

Kerajaan Finland melihat pendidikan percuma sangat dihargai di negara itu kerana pelaburan dalam modal insan meningkatkan kualiti penduduk. Ia juga dijadikan sebagai pintu utama kepada perubahan masyarakat di mana seseorang yang berpendidikan dapat memperkasa dirinya dalam masyarakat yang bersaing tanpa mengira sama ada kaya atau miskin.

Dianggarkan 96 peratus pelajar Finland memiliki minat yang tinggi untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi selepas menamatkan pendidikan rendah.

Di luar sekolah, negara itu mempunyai perpustakaan bandaran yang dibina dipinggir bandar. Ia memberi manfaat ke atas tahap pelajaran pelajar, pada masa yang sama usahawan dan sektor perniagaan memberi galakan untuk meneruskan pembelajaran.

Aspek lain yang menggalakkan suasana pembelajaran di Finland ialah budaya membaca di rumah di mana kanak-kanak yang menonton filem-filem antarabangsa melalui televisyen dapat membaca dengan cepat sari kata dalam bahasa Finland. Filem-filem itu tidak diterjemahkan dalam bahasa mereka sebaliknya dikekalkan dalam bahasa asal. Bagi negara-negara Eropah yang lain, kebanyakannya menterjemahkan bahasa asal filem berkenaan ke dalam bahasa mereka.

Satu faktor yang mesti diambil kira ialah kadar pembandaran yang tinggi di negara itu iaitu 63 peratus. Faktor ini juga menyumbang kepada literasi yang tinggi dalam kalangan penduduk Finland.

No comments:

Post a Comment