Ekonomi bawah tanah
Proses globalisasi mencetuskan persaingan yang sengit. Ia menjadi fenomena dunia dan memberi kesan kepada negara-negara Eropah di mana kos buruh secara umumnya lebih kurang sama dari satu negara ke negara lain. Gaji minimum juga tinggi. Oleh itu, satu cara untuk menyelaraskan kos buruh supaya menepati tahap kelayakan dan produktiviti ialah melalui penguatkuasaan. Kaedah ini dapat menjimatkan kos-kos tidak langsung seperti cukai dan sumbangan sosial serta gaji. Ia juga mengurangkan permintaan tenaga kerja asing yang tidak layak dalam pasaran Eropah.
Peraturan-peraturan buruh menjadikan tenaga kerja buruh pendatang asing lebih murah dan fleksibel. Polis yang menyerbu kedai-kedai ‘sweatshop’ atau tempat pendatang asing ini dipaksa bekerja dengan upah yang rendah dan bertanya kepada pekerja-pekerja tersebut mendapati kedai seperti itu menjadi tempat sementara untuk kilang-kilang yang lebih besar dalam industri pakaian, barangan kulit dan kasut. Perbezaan di antara permintaan dan penghantaran sangat kecil iaitu 12 hingga 24 jam. Contohnya, jika ada permintaan ke atas jaket, pengilang menyediakan corak dan berharap dapat disiapkan dalam beberapa jam. Industri pakaian di Eropah yang berjumlah US$800 bilion mendapat manfaat utama dan menjadi tumpuan penyeludupan manusia.
Daripada penyiasatan, terdapat modus operandi tertentu dalam penyeludupan ini. Majikan yang terperangkap dalam persaingan sengit sentiasa berikhtiar mencari jalan untuk mengurangkan kos manakala orang tengah- kongsi gelap Cina dan rakan bisnes yang lain- bersedia menyediakan pekerja-pekerja haram dengan mengurangkan kos buruh. Prosedur pasaran buruh Eropah yang ketat dan kos yang tinggi melonjakkan permintaan tenaga buruh terhadap pendatang asing apabila pasaran dunia dibuka. ‘Sweatshop’ yang sebelum itu hanya ketara di Maghribi dan Turkey kini bercambah di Eropah. Penyumberan luar dalam rangkaian kedai seperti ini berupaya menyediakan produk berdasarkan permintaan- menjadi penyelesaian kepada industri kecil dan sederhana dalam pasaran. Lalu perhambaan era moden menggunakankesempatan ke atas kehadiran pendatang-pendatang asing Cina ini.
Faktor penarik seperti ini berkait rapat dengan isu-isu lain. Pendatang asing Cina begitu bersemangat hendak mengetahui apa yang sedang menunggu mereka sebaik sahaja tiba di Eropah. Ketua kongsi gelap yang menyeludup mereka merentasi benua dan banyak negara, tahu bagaimana memancarkan imej positif dan mengasyikkan negara destinasi pilihan. Sudahnya, pendatang ini mendapat gambaran salah dan palsu tentang apa yang akan mereka dapat sebenarnya.
Gambaran salah ini berkembang menjadi harapan yang menggunung dan menjadi penarik kepada keputusan mereka untuk meninggalkan China menuju Eropah. Masalahnya ialah imej ini diberikan oleh kongsi gelap hanyalah imej Eropah yang bersifat stereotaip dan klasikal. Realiti sebenar akan muncul apabila mereka menamatkan perjalanan dan mula ‘bekerja’ atau dalam erti kata lain ia bermakna perhambaan moden di zaman moden.
Sebenarnya, apabila mereka memasuki negara Eropah, mereka akan menemui sejumlah kerja yang disusun dalam ekonomi pasaran gelap yang tidak memerlukan sebarang dokumen, sama ada untuk bekerja atau menetap di situ. Di sesetengah negara, peraturan-peraturan imigresen amat ketat tetapi penguatkuasaan sangat lemah dan perilaku pendatang asing ini tidak dipedulikan sangat. Justeru, pendatang asing perlu bekerja dalam tempoh yang panjang kerana terpaksa melakukannya untuk hidup. Barangkali salah satu sebab kenapa pembuat dasar di Eropah kurang mengambil berat situasi ini adalah kerana ia menggerakkan perkembangan ekonomi dan persaingan. Seterusnya ekonomi pasaran gelap dan bawah tanah terus berkembang dan menjadi daya penarik kepada pendatang-pendatang asing Cina yang sebenarnya adalah dalam rangkaian perhambaan.
Perdagangan hamba
Perdagangan jenis ini dikenali dengan penyeludupan manusia. Hakikat sebenarnya tidak. Ia adalah edisi moden bagi perhambaan. Ia menjadi kenyataan bukan sahaja kerana faktor penarik dan penolak tetapi melibatkan kumpulan mafia. Di dalam rangkaian ini, terdapat sistem pengangkutan dan pergerakan yang besar, menguruskan perjalanan hamba dari wilayah paling miskin ke wilayah kaya-raya di Eropah dan Amerika Utara. Permintaannya semakin meningkat di seluruh dunia. Pada tahun 1975, aliran gerakan migrasi seluruh dunia dianggarkan seramai 85 juta orang dan hari ini berjumlah 185 juta setahun, yang menjadikan kumpulan mafia semakin kaya. Dalam trend ini, pendatang asing Cina hanyalah sebahagian kecil daripada perdagangan hamba yang wujud di seluruh dunia.
Jaringan komuniti Cina antarabangsa menyediakan kerangka perjalanan yang kerap berubah, bergantung pada kaedah pemantauan yang diguna pakai di sempadan, pesisir pantai dan pusat pemeriksaan masuk di lapangan terbang. Namun, kemudahan jaringan ini bukan sekadar mengawal perdagangan hamba. Bagi orang Cina, ia adalah perkhidmatan yang sangat diperlukan bagi membawa mereka ke luar dari China. Mereka sedar bayaran mesti dilakukan dan bersedia membayarnya sama ada di hadapan atau belakang kaunter. Jelas, bisnes ini cuba mengurangkan kos untuk melipatgandakan keuntungan khususnya kepada mafia. Keadaan semula jadi jaringan pendatang Cina dan dialek bahasa orang selatan China menyebabkan sukar bagi pihak berkuasa menembusi struktur organisasi ini. Jadi, negara yang menjadi pilihan pendatang Cina merasa terancam dan bertindak melindungi diri.
Bagaimanapun, risiko yang tinggi sebenarnya memberi pulangan yang lumayan. Jadi, setiap urusan mesti mengurangkan risiko, memaksimumkan keuntungan dan mesti bertambah lebih banyak. Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan penyeludupan manusia adalah bisnes US$8 bilion setahun.
Dalam perkiraan sesetengah kumpulan mafia, bisnes manusia kurang berisiko berbanding penyeludupan dadah. Ia umpama membuat pelaburan dalam saham berisiko tinggi, menawarkan prospek wang panas yang pantas jika semuanya dibuat dengan betul. Penyeludupan manusia unpama melabur dalam bon. Wang akan terus bertambah tahun demi tahun dan risikonya sangat rendah.
Persoalan utama yang sering timbul ialah apakah yang berlaku ke atas pendatang-pendatang Cina yang terlibat dalam perdagangan ini apabila tiba ke destinasi terakhir perjalanan mereka? Pengalaman-pengalaman lepas hanya meunjukkan tiga pilihan yang ada: menjadi usahawan, hamba atau mati.
Hamba
Kita melihat sepintas lalu sebelum ini iaitu terdapat pendatang asing Cina yang membayar sejumlah wang kepada kumpulan kongsi gelap dalam bentuk wang tunai. Cara lain untuk membayar ialah dengan melakukan kegiatan jenayah untuk kongsi gelap berkenaan berdasarkan kehendak mereka sebelum memulakan perjalanan.
Jika seorang pendatang tidak berupaya membayar seperti yang dikehendaki, dia hidup atas hutang. Kumpulan-kumpulan mafia ini terdiri daripada kongsi gelap Cina, bekas negara Yugoslavia (seperti pengikut isteri bekas presiden, Slobodan Milosevic), mafia Albania, mafia Italy (Sacra Rota Unita), mafia Greek-Turkey-Pakistan, mafia Rusia (bekas pegawai-pegawai KGB yang membuka bisnes sendiri), Yakuza di Jepun dan banyak lagi. Keadaan ini membayangkan pendatang-pendatang Cina meletakkan pilihan: lebih baik menjadi buruh seperti hamba di negara kaya daripada hidup melarat di negara sendiri. Jadi, sebaik sahaja tiba di negara idaman, katakan Perancis, mereka diminta bekerja 12 hingga 16 jam sehari dalam keadaan berhutang, kebebasan yang terhad, dokumen perjalanan disimpan, bayaran upah yang lewat dan sentiasa diancam akan diserbu pihak berkuasa semata-mata untuk membayar balik wang pendahuluan yang telah digunakan. Di sebalik persekitaran yang mengerikan, pendatang asing Cina yang dieksploitasi ini melihat adanya sinar di penghujung hidup mereka. Di fikiran masing-masing, apa yang dilalui hanyalah dalam tempoh yang singkat umpama pengorbanan seorang bapa ke atas anaknya.
Sebaliknya ada sesetengah kes apabila mereka tidak dapat menyediakan wang dan tidak dapat menanggung beban, lalu melaporkan keadaan mereka kepada pihak polis. Sebaik sahaja polis datang dan membuat serbuan, jaringan jenayah ini dipecahkan. Mafia Cina, Rusia dan negara-negara Balkan yang terlibat dalam penyeludupan ini serta-merta dikenal pasti.
Sebagai pekerja asing, pendatang Cina dibayar 50 sen setiap satu bagi produk pakaian atau kasut. Baju yang berharga US$25 daripada kontraktor berdaftar dapat diperoleh hanya dengan harga dari US$1 hingga US$5 daripada kedai ‘sweatshop’. Di negara yang sering berbangga kerana pekerja-pekerja mereka memiliki hak dan kebebasan, ia menjadi tidak bererti kepada pekerja-pekerja Cina yang terperangkap dalam sindiket kongsi gelap dan kumpulan mafia.
Masalah muncul apabila polis melakukan serbuan di kiosk atau gerai jualan pendatang Cina ini. Bagaimana meruntuhkan tiga tembok besar yang menghalang polis?
Pertama, budaya orang Cina, kedua ialah bahasa dan ketiga, berdiam diri. Mereka berdiam diri kerana berbeza keperluan, datang dari wilayah yang berlainan dan dialek bahasa tidak sama. Semua masalah ini memberi kesan jika tindakan undang-undang diambil kerana mahkamah perlu menyediakan jurubahasa bagi setiap pendatang asing Cina yang didakwa.
Krisis ini melibatkan kos yang tinggi untuk diselesaikan. Sebagai contoh, menurut Interpol, dalam setiap kes yang melibatkan penyeludupan pendatang asing dari China ke Jerman, pencarian rumah ke rumah melibatkan 140 buah rumah di 27 bandar, menyelongkar 12,000 panggilan telefon yang didaftarkan atas lima talian, menahan 170 suspek dan mengesan 280 kes yang melibatkan pendatang asing.
Artikel lain:
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (3)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (2)
Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)
No comments:
Post a Comment