Tuesday, November 10, 2009

Konsep Satu Malaysia: perspektif kumpulan sokongan dua

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bagi meninjau pandangan responden terhadap konsep Satu Malaysia. Pengkaji memilih kaedah fenomenologi bagi menyempurnakan kajian kerana dapat menjawab persoalan kajian berlandaskan latar belakang responden kajian yang sukarela berkongsi pengetahuan mereka dan boleh menjelmakan banyak maklumat terselindung.

Maklumat yang terselindung ini dapat digunakan dalam memperkembangkan soal selidik yang digunakan dalam kajian kuantitatif pada masa yang akan datang.

Kaedah fenomenologi juga dapat meninjau pengetahuan dan terdapat elemen introspeksi di mana pengkaji boleh membuat pemerhatian terhadap tingkah laku responden.

Pengkaji memilih sampel yang kecil dan mudah iaitu sebelas orang penjawat awam yang sedang bekerja dalam gred jawatan 17. Kajian ini menggunakan garis panduan temu bual yang mengandungi soalan terbuka tentang topik Satu Malaysia.

Di samping soalan ini, pengkaji juga menggunakan soalan probing dalam perbualan biasa (santai) untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci tentang rasional, penjelasan, perkaitan dan makna personal. Analisis induksi membantu pengkaji untuk menghasilkan penjelasan yang boleh dipercayai tentang kefahaman mereka daripada perspektif responden dan signifikannya kepada kerjaya responden.

Latar belakang responden

Seramai sebelas orang kakitangan awam gred 17 (sokongan 2) terdiri daripada pelbagai jabatan. Mereka adalah empat lelaki dan tujuh wanita, berbangsa Melayu dan berumur di bawah 30 tahun. Tahap akademik tertinggi ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tempoh berkhidmat dalam sektor awam ialah satu hingga tiga tahun.

Dapatan kajian

Pengkaji telah mengelompokkan soalan temu bual kepada empat iaitu, 1) Apakah pandangan anda terhadap konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan? 2) Apakah cabaran-cabaran utama dalam pelaksanaan Satu Malaysia? 3) Bagaimana perpaduan rakyat boleh dicapai dalam Satu Malaysia? dan 4) Bagaimana penjawat awam boleh menggalakkan kefahaman rakyat ke atas Satu Malaysia?

Respon soalan pertama menunjukkan responden memahami hasrat kerajaan yang sangat prihatin dengan keperluan setiap kaum di negara ini. Usaha kerajaan untuk memajukan sektor sosioekonomi rakyat dilaksanakan melalui pembangunan modal insan khususnya bagi mencapai Wawasan 2020.

Bagi soalan kedua, responden melihat cabaran utama ialah penerimaan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbeza tahap pendidikan dan latar belakang serta budaya hidup. Penerangan yang tidak jelas tentang konsep ini menjadikan golongan sasar khususnya di luar bandar tidak memahami hasrat yang ditekankan dalam Satu Malaysia. Justeru itu, responden melihat perbezaan tersebut mesti dikurangkan dengan segera. Selain itu, propaganda pihak pembangkang dan mereka yang tidak senang dengan Satu Malaysia telah mempengaruhi pemikiran sebilangan rakyat yang menjadikan usaha galakan ke arah perpaduan agak perlahan. Peranan media massa amat penting untuk menyebarluaskan idea ini. Dalam kalangan penjawat awam sendiri terdapat sindrom sambil lewa untuk melaksanakan slogan “Rakyat Didahulukan” kerana merasai tekanan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kerajaan iaitu rakyat.

Mengenai perpaduan yang dihasratkan dalam Satu Malaysia, responden berpendapat perpaduan yang diuar-uarkan boleh dicapai melalui pendekatan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Maksud rakyat didahulukan ialah kerajaan berusaha menyediakan dan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, menggerakkan pembangunan ekonomi di luar bandar, memperkasa masyarakat Orang Asli dan memajukan kawasan pedalaman dan terpinggir. Apabila semua kaum tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat daripada inisiatif ini, perpaduan akan lebih senang dan cepat dicapai kerana mereka berpuas hati dan merasai keperluan mereka telah ditunaikan oleh kerajaan.

Bagi soalan keempat iaitu peranan penjawat awam, responden mengakui mereka memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan kefahaman masyarakat ke arah Satu Malaysia. Ini kerana, penjawat awam merupakan orang tengah di antara rakyat dan kerajaan. Antara usaha yang boleh dilakukan oleh mereka sebagai kakitangan awam ialah meningkatkan profesionalisme perkhidmatan seperti layanan mesra dan tangkas menyelesaikan kerja. Aktiviti jabatan seperti Hari Bertemu Pelanggan adalah mekanisme terbaik untuk mengedarkan risalah dan penerangan Satu Malaysia kepada orang awam. Selain itu, ucapan “Salam Satu Malaysia” wajar dilazimkan kepada pelanggan yang datang berurusan sama ada diucap secara lisan atau ditulis dengan kreatif di kaunter jabatan. Poster berkaitan Satu Malaysia juga boleh menyedarkan orang ramai bahawa kerajaan serius melaksanakan konsep berkenaan.

Dalam sektor pendidikan, guru bertanggungjawab menerangkan konsep Satu Malaysia kepada pelajar-pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Secara tidak langsung orang awam akan memahami bahawa Satu Malaysia adalah usaha kerajaan menyatupadukan rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Kajian ini melihat kesedaran kakitangan awam di peringkat bawah dalam sesuatu jabatan. Dapat dirumuskan bahawa pada umumnya mereka memahami konsep Satu Malaysia dan bersedia untuk membantu usaha kerajaan merealisasikannya dalam sektor awam. Bagaimanapun kerajaan wajar menggiatkan kempen khususnya di peringkat jabatan di mana orang awam banyak berurusan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat.

No comments:

Post a Comment