Tangkapan yang dilakukan oleh JAIS ke atas bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah mendapat perhatian ramai pihak. Bersama-sama 20 hingga 25 orang anggota polis, para pegawai JAIS berjaya membawa tokoh agama itu ke balai polis untuk ditahan sebelum dibebaskan kemudiannya. Keesokan hari, tidak ada sebarang pertuduhan dikenakan atas alasan JAIS masih menyiasat kes berkenaan.
Pemimpin kerajaan dan pembangkang turut mempertikai kewajaran tangkapan berkenaan. Antaranya ialah perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan motif penahanan tersebut sambil menegaskan tindakan menahan Dr Mohd Asri adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz berkata, “Nasihat saya kepada JAIS, jangat buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia.”
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula menyifatkan tindakan JAIS hanya mengundang gelak ketawa negara jiran sambil berkata, “Perempuan yang pakai baju nampak pusat tidak pula ditangkap oleh JAIS, manakala ulama ditangkap kerana tiada sijil.”
Pengarah JAIS mempertahankan tindakan jabatan itu menangkap Dr Mohd Asri adalah kerana tidak ada tauliah mengajar agama di negeri Selangor.
“Kegiatan Mohd Asri mengadakan ceramah di Selangor tanpa tauliah JAIS memang telah dipantau sejak tiga tahun lalu iaitu ketika beliau masih memegang jawatan mufti.”
Perkara pokok dalam isu ini ialah tauliah yang mana disifatkan sebagai lapuk oleh mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Ia adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Masalah juga timbul ketika mengeluarkan tauliah apabila mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya.
Pertentangan di antara pihak berkuasa agama dan ilmuan dijangka akan memberi nafas baru kepada ruang dakwah di Malaysia di sebalik pemikiran sempit JAIS ketika ini. Pemantauan ke atas media dan laman web di Internet menunjukkan masyarakat Islam khususnya golongan muda tidak senang dengan layanan JAIS ke atas Dr Mohd Asri itu. Justeru, dijangkakan dalam masa sepuluh hingga 15 tahun yang akan datang, kefahaman Islam dalam masyarakat akan lebih baik dan majlis ilmu akan lebih diminati.
No comments:
Post a Comment