Masyarakat Islam di Switzerland telah membuka dan membenarkan masjid-masjid dibuka kepada bukan Islam bagi meningkatkan dialog dan menjelaskan salah faham selepas undi kontroversi ke atas pengharaman menara masjid.
‘Pada saya, ia bermakna mendedahkan diri kepada orang lain, memberitahu mereka bahawa sebagai muslim, kita membuka pintu kepada mereka. Kerana itulah kita berada di sini dengan kamu,’ kata seorang wanita muslim yang mengambil bahagian dalam hari terbuka yang dianjurkan.
Inisiatif ini dilakukan oleh beberapa buah pertubuhan Islam negara itu yang membenarkan masjid dibuka bagi menggalakkan pelawat datang setiap hari.
Switzerland menjadi tempat tinggal kepada 400,000 muslim dan Islam menjadi agama kedua selepas Kristian. Terdapat 200 buah masjid tetapi hanya empat buah yang mempunyai menara. Di samping umat Islam, paderi Roman Khatolik turut meminta para pengundi menolak cadangan pengharaman menara tersebut.
Pihak penganjur berkata hari terbuka berkenaan diadakan bagi meningkatkan dialog dan kefahaman masyarakat terhadap Islam.
‘Kami berharap pertemuan ini akan membuka pintu dialog dan meningkatkan kefahaman,’ kata Hisham Maizar, presiden Persekutuan Pertubuhan Islam Switzerland.
Dialog membantu masyarakat bukan Islam di Switzerland menghargai nilai-nilai Islam. Ia juga dapat meningkatkan kerjasama antara agama. Ramai masyarakat Kristian akan menghargai peluang melawat masjid dan belajar mengenai ajaran Islam.
Para pelawat yang datang ke masjid disambut oleh sukarelawan Islam yang menjawab beberapa persoalan berkaitan Islam. Pada masa yang sama mereka juga dibenarkan melihat orang Islam mengerjakan solat di ruang utama masjid.
Seorang wartawan dari BBC, Imogen Foulkes yang melawat masjid di Zurich berkata dia dan rakan-rakan bukan Islam yang lain amat gembira dengan lawatan berkenaan.
No comments:
Post a Comment