Tuesday, November 03, 2009

Wakil rakyat Bebas mesti kuat bekerja

Selepas tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menjadi ahli Bebas, kini tiba pula giliran seorang ADUN di Selangor mengikut jejak langkah yang sama. Badrul Hisham Abdullah, ADUN Pelabuhan Klang dari Parti Keadilan Rakyat membuat keputusan, “... dengan penuh kerelaan tanpa sebarang paksaan, ugutan ataupun apa-apa faedah kepada diri, malah keputusan ini berasaskan kepada prinsip agama dan moral sebagai seorang Islam.”

Demikian luahan wakil rakyat yang mengambil keputusan untuk menyokong Barisan Nasional. Keputusan berkenaan diambil kerana beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR.


Namun, umum melihat tindakan tersebut ada kena-mengena dengan saranan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak akan menyimpan sesiapa saja yang tidak tahu membuat kerja kerana beberapa masalah akan timbul dan menyukarkan kerajaan negeri untuk membangunkan kebajikan dan sosial rakyat.

Bagi mengiyakan keputusannya, Badrul Hisham menyatakan beliau telah dimalukan dan diaibkan oleh pemimpin PKR itu. Pada masa yang sama beliau juga tidak lagi menaruh keyakinan ke atas kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering kali melengah-lengahkan kes liwat yang sedang dihadapinya.

Sebagai wakil rakyat, Badrul Hisham sangat prihatin dengan kelewatan kes liwat namun masalah dirinya yang menyusahkan orang lain tidak pun diberi perhatian. Penduduk di kawasan Pelabuhan Klang mengadu kepada kerajaan negeri Selangor berkenaan ketidakupayaan wakil rakyat kawasan itu untuk menjalankan kewajipannya. Khalid juga pernah menasihatkan Badrul Hisham supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.

Tanggungjawab seorang wakil rakyat bukan setakat membuka pejabat gerakan atau menghadiri majlis-majlis keraian, ia lebih daripada itu. Semua lapisan rakyat di kawasannya berhak mendapat khidmat profesional seorang wakil rakyat lebih-lebih lagi ahli parti. Justeru “Yang Berhormat” wajar memberi khidmat kepada semua rakyat di kawasannya tanpa pilih kasih.

Wakil rakyat seperti Badrul Hisham adalah wakil rakyat yang bermasalah. Beliau dilihat tidak cekap dan tidak layak menjadi pemimpin di Pelabuhan Klang sepertimana yang ditegaskan oleh Khalid. Ada juga maklumat yang menyatakan wakil rakyat itu dilihat sering hadir di majlis anjuran Barisan Nasional yang mana tindakan ini memperlihatkan tipisnya kesetiaan sebagai ahli parti pentadbir kerajaan negeri Selangor.

Memilih wakil rakyat juga bukannya mudah kerana pengundi terpaksa menunggu selama lima tahun untuk menentukan calon yang terbaik. Jika kualiti calon yang menang seperti Badrul Hisham menjadi pemimpin dan tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, rakyatlah yang akan rugi.


Pembangunan mental, fizikal dan spiritual mereka akan tergendala. Prasarana yang sepatutnya dibina untuk kegunaan rakyat, tidak dapat dibina kerana wakil rakyat tidak mahu buat kerja.

Kes wakil rakyat malas dan tidak mahu kerja ini wajar menjadi iktibar kepada pengundi dan parti-parti politik semasa. Rakyat sudah tentu tidak mahu mendapat “Yang Berhormat” yang hanya pandai berjanji ketika kempen tetapi selepas menang pilihan raya mula menimbulkan masalah kepada parti dan rakyat. Hakikatnya pengundi dan rakyat di Pelabuhan Klang berhak mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada wakil mereka.

No comments:

Post a Comment