Penyunting: Mohd Taib Haji Dora, Rahman Hashim
Tahun: 2005
Penerbit: Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia
Muka Surat: 268
Usaha meningkatkan kecemerlangan sosial dan pembangunan komuniti adalah bertitik tolak daripada ledakan arus globalisasi yang tidak hanya melanda komuniti di negara ini malahan seluruh dunia. Tidak kira di mana baik negara maju ataupun sedang membangun. Ini bermakna, sesebuah masyarakat yang tidak mengikut arus globalisasi, komunitinya dianggap seperti ‘katak di bawah tempurung’ iaitu tidak mengenali dunia luar. Mereka dikira tersekat dalam world view yang sempit dan tidak sealiran dengan perkembangan semasa. Malahan dianggap sebagai ketinggalan dari arus pembangunan seluruhnya. Begitulah hebat dan dahsyatnya pengaruh ledakan gelombang globalisasi yang berteraskan sistem maklumat dan liberalisasi ekonomi yang juga merupakan revolusi pembangunan yang ketiga dikenali sebagai ‘The Third Wave of Revolution’ selepas Revolusi Industri dan Revolusi Pertanian. Gelombang ketiga ini umpama tsunami yang rakus dan menggila tanpa mengenal batasan usia, bangsa, geopolitik, geoekonomi dan budaya. Oleh itu, bagi mengelakkan sesebuah komuniti itu ditelan oleh gelombang tersebut perlulah ada persediaan rapi kerana pembangunan komuniti itu sendiri merupakan kesejajaran yang perlu ada dalam masyarakat bagi mencapai apa yang dikatakan sebagai kehidupan moden masa kini.
Kesan globalisasi sudah menampakkan tanda-tanda yang negatif terhadap ekonomi sesebuah negara terutama negara-negara yang belum bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan cabaran yang sangat hebat ini. Ekonomi sesebuah negara mungkin lumpuh sepenuhnya jika tidak ada pelan tindakan dan persediaan kukuh dilakukan untuk menangani cabaran-cabaran yang bakal dihadapi. Contohnya ialah peluang perdagangan atau perniagaan, tidak dinafikan setiap individu mempunyai peluang yang luas untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka. Namun dengan persaingan yang sangat kompetetif bukan sahaja di negara sendiri tetapi juga saingan hebat dari negara luar pastinya akan menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh pedagang atau usahawan menjadi lebih hebat lagi. Justeru ekonomi negara juga harus divariasikan kepada pelbagai sektor yang berpotensi tinggi dalam menjana ekonomi yang mantap. Usaha-usaha dalam membangunkan sektor teknologi maklumat (IT) dan multimedia antara tumpuan utama sebagai penggerak pembangunan dalam sektor-sektor lain seperti pertanian, perkhidmatan dan lain-lain bidang.
Kehadiran buku ini adalah produk daripada Konvensyen Kebangsaan Kecemerlangan Sosial dan Pembangunan Komuniti 2005 yang menghimpunkan artikel berkaitan pembangunan komuniti di Malaysia. Ia mengandungi beberapa subtopik penting yang berkaitan dengan pembangunan komuniti seperti dasar sosial negara, pembangunan sosioekonomi, industri dan teknologi, pendidikan, perpaduan kaum, kepimpinan dan patriotisme.
Buku ini sesuai dibaca oleh pensyarah dan pelajar yang berminat dalam pembangunan komuniti yang menitikberatkan keadilan sosial, pendidikan dan perkembangan masyarakat dalam ekonomi, teknologi maklumat dan hubungan etnik.
saya membekalkan anak getah.khalil 0124606611
ReplyDelete