Saturday, April 11, 2009

Wanita direkrut sindiket dadah antarabangsa

Isu penahanan rakyat Malaysia di beberapa buah penjara luar negara kerana penyeludupan dadah semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Kementerian Luar Negeri mendedahkan jumlah tahanan rakyat Malaysia sejak tahun 2002 hingga April 2008 adalah seramai 121 orang. Daripada jumlah ini, 71 orang adalah wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun. Pada 2002, hanya dua orang yang ditahan, kemudian meningkat enam orang pada 2004, turun sedikit kepada empat orang pada 2006 namun meningkat mendadak kepada 80 orang pada 2007.

Mereka ditahan di penjara beberapa buah negara seperti Brazil, Jepun, China, Australia, New Zealand, India, Itali, Vietnam, Kemboja, Trinidad & Tobago, Sepanyol, Peru, Argentina dan Venezeula. Kebanyakan mangsa terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa mudah tertarik dengan tawaran gaji lumayan. Modus operandi ialah membawa mangsa melawat tempat-tempat terkenal sebelum diarah membawa dadah yang diisytiharkan barang berharga. Perjalanan ke negara ketiga ini biasanya menggunakan beberapa transit.

Sindiket mencari mangsa melalui pelbagai cara termasuk rakan sosial, internet dan perkenalan singkat. Golongan yang diperdaya biasanya adalah mereka yang aktif bergaul, boleh berbahasa Inggeris dan berpenampilan menarik.

Sehubungan itu, perlu diadakan kajian bagi mengenal pasti wanita yang bagaimana mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan, seterusnya menentukan faktor-faktor yang menyumbang kepada penglibatan wanita dalam kegiatan pengedaran di luar negara dan mengkaji langkah-langkah pencegahan.

Oleh kerana terdapat ramai rakyat Malaysia yang terlibat dan sedang merengkok dalam penjara seperti Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 tahun, kajian boleh menggabungkan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Responden bukan sahaja mereka yang dipenjarakan malah ahli keluarga dan rakan-rakan juga boleh ditemui.

Masalah ini jika tidak ditangani segera dikhuatiri akan lebih ramai wanita khususnya yang terpedaya. Kesan yang lebih besar ialah imej negara sebagai pusat rekrut pengedaran dadah antarabangsa dan menjejaskan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara yang terlibat.

No comments:

Post a Comment