Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini menyatakan kebimbangannya mengenai peningkatan kes jenayah yang membabitkan pelajar berumur di antara 13 hingga 18 tahun. Jenayah yang dimaksudkan adalah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri, pecah rumah dan lain-lain kesalahan jenayah.
Terdapat peningkatan pelajar berkenaan dari tahun 2007 hingga 2008. Pada 2007, sebanyak 1,836 kes telah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan dan 3,241 adalah pelajar yang berumur 13 hingga 18 tahun dan pada 2008, jumlah ini meningkat kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan dan 3,629 adalah pelajar yang berumur 13 hingga 18 tahun. Corak peningkatan kes-kes jenayah ini menunjukkan pembabitan pelajar sekolah perlu diberi perhatian.
Banyak faktor yang mempengaruhi penglibatan pelajar dalam jenayah dan kegiatan yang memberi masalah kepada diri dan masyarakat. Contohnya, kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendedahkan 87 peratus Mat Rempit adalah golongan yang berusia 14 hingga 25 tahun. Bosan adalah faktor utama mereka merempit (48.1 peratus) diikuti mengisi masa lapang (38 peratus) dan pengaruh kawan (27.8 peratus).
Selain jenayah, kes-kes yang melibatkan penderaan, pelacuran, judi dan masalah sosial yang lain turut menjadi perhatian. Amaludin dan Khadijah (2006) dalam kajian mereka terhadap trend gejala sosial dalam kalangan remaja di pusat pemulihan akhlak Malaysia menyenaraikan 28 jenis masalah sosial yang melibatkan golongan itu. Antaranya ialah tonton video lucah, lari dari rumah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, samun, maksiat, homoseks dan lesbian. Kajian mereka telah merumuskan bahawa penglibatan remaja dalam gejala sosial berkenaan berkait rapat dengan latar belakang dan kehidupan berkeluarga. Selain itu, persekitaran turut menyumbang kepada sikap dan perlakuan tersebut.
Justeru, salah satu usaha yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat ialah membantu memberi maklumat kepada pasukan polis di samping mengukuhkan amalan kejiranan di tempat tinggal masing-masing. Peranan komuniti dan polis ini jika digabungkan akan menjadikan remaja dan pelajar sentiasa diawasi dan menyembuhkan derita sosial yang sedang dihadapi ketika ini.
No comments:
Post a Comment