Saturday, April 04, 2009

Pengalaman ekonomi Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara kecil dengan penduduk 27 juta orang namun memiliki pencapaian yang amat membanggakan dalam pembangunan ekonomi. Selepas merdeka pada tahun 1957, pendapatan negara bertambah sedikit demi sedikit. Dari US$306 pada 1965 kepada US$5490 pada 2007, keluaran negara kasar berjumlah US$357.9 bilion dan berada pada kedudukan ke-29 dunia dengan pendapatan per kapita pada tangga ke-57. Pencapaian ini menunjukkan Malaysia melaksanakan beberapa polisi ekonomi dan pembangunan yang merentas pancaroba kemelesetan ekonomi global .

Dengan kedudukan yang strategik, sumber semula jadi yang banyak khususnya pertanian, perhutanan dan garam galian, jumlah penduduk dengan kepadatan yang rendah, persekitaran yang mesra pekerja dan masyarakat pelbagai budaya telah menjadi kelebihan kepada negara ini. Bagaimanapun kekurangan modal dan guna tenaga yang mahir dan tidak mahir membuatkan pasaran tempatan agak kecil untuk mengekalkan pacuan industri.

Jalan keluar amat diperlukan bagi negara ini menguatkan aliran tunai dan menukar kelemahan kepada kekuatan di samping menjadikan pilihan yang ada berada dalam keadaan fleksibel.

Kerangka polisi

Perancangan yang berarah menjadi faktor utama yang membentuk hala tuju ekonomi Malaysia bagi mencapai matlamat sosial seperti pengagihan kekayaan dan menyediakan kemudahan awam. Proses transformasi ini diadaptasi daripada model ekonomi terbuka yang memilih perdagangan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Malaysia menyediakan kemudahan infrastruktur, pelepasan cukai dan pengiriman wang yang longgar bagi menarik pelaburan asing. Negara ini juga mengembangkan sektor pendidikan dan latihan untuk pembangunan sumber manusia yang meletakkan indeks pembangunan manusia pada kedudukan ke-63 iaitu 0.811 pada tahun 2005 seperti yang dinyatakan dalam Laporan Pembangunan Manusia 2008 oleh United Nations Development Program (UNDP).

Tambahan pula, Malaysia membawa masuk bilangan pekerja asing yang ramai dan golongan profesional bagi mengisi sektor pekerjaan yang kritikal walaupun kehadiran mereka mengundang masalah sosial. Ia juga memastikan kerjasama yang mantap dalam kalangan sektor-sektor ekonomi utama bagi melancarkan operasi ekonomi. Halangan dan cabaran yang muncul semasa proses ini telah dapat diurus dengan baik.

Pemimpin-pemimpin kerajaan juga menjadikan unjuran pembangunan dalam jangka masa panjang iaitu Wawasan 2020 untuk mencapai tahap pendapatan per kapita penduduk US$10,000 pada tahun 2020. Dengan kadar pertumbuhan pada tujuh peratus sehingga penghujung 1990-an, kesan daripada krisis kewangan Asian menjadikan nilai mata wang Ringgit semakin lemah dan menyukarkan tugas tersebut.

Transformasi

Malaysia telah bergantung pada komoditi getah, bijih timah dan kelapa sawit untuk membina ekonomi. Tiga komoditi ini di samping bahan-bahan mentah yang lain telah menjadi tunjang kepada pencapaian kemerdekaan. Pada 1987, Malaysia bertindak mengalihkan kebergantungan pada sektor pertanian dan perlombongan kepada perindustrian.

Bantuan luar khususnya Jepun dan negara-negara Barat telah memacu industri berasaskan eksport seterusnya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia. Agihan dalam sektor-sektor utama didapati menurun dari 42.7 peratus pada 1970 kepada 16.7 peratus pada 2006, pada masa yang sama sektor industri dan perkhidmatan berkembang dengan pesat.

Walau bagaimanapun penurunan dalam sektor pertanian tidak sepatutnya disalah erti. Kenaikan harga barang, mengimport makanan haiwan ternakan dan peningkatan permintaan untuk minyak kelapa sawit dan sumber getah telah meningkatkan semula minat industri terhadap pertanian sehingga kerajaan menyediakan dana untuk pembangunan pertanian di peringkat kebangsaan. Malaysia sedang berada di fasa ketiga dalam Dasar Pertanian Negara bagi mencapai tahun pertanian pada 2010.

Pengurusan krisis

Krisis kewangan Asian 1997 telah menyentak ekonomi Malaysia seiring dengan kejatuhan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 29 Julai 1997 dan mata wang Ringgit yang bertambah lemah. Selama 63 minggu, bermula dari Julai 1997 hingga September 1998, pasaran saham telah jatuh sebanyak 68 peratus dan mata wang Ringgit susut nilainya sehingga 37 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

Hubungan di antara pasaran asing dan tempatan adalah masing-masing menjual saham yang ada di Bursa Saham Kuala Lumpur di mana Ringgit digunakan untuk membeli dolar di pasaran asing. Akibatnya penjualan singkat ini membawa keluar US$33 bilion dan membiarkan Malaysia mengalami pertumbuhan pada kadar negatif iaitu -7.5 peratus pada tahun 1998.

Kebanyakan artikel yang berkaitan perkara ini menafikan hubungan di antara pasaran namun mempunyai beberapa perbezaan pendapat terhadap dua isu yang sangat penting. Pertama, adakah krisis ekonomi yang berlaku disebabkan oleh kelemahan ekonomi dalam negara atau peranan pihak luar. Kedua, pengenalan kepada kawalan kredit yang mengikat Ringgit pada dolar atau menerima bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah penawar yang terbaik.

Kebanyakan ahli ekonomi Malaysia mengecam spekulator mata wang dan memilih kawalan mata wang sebagai jalan keluar daripada krisis tersebut. Bagaimanapun krisis yang dialami itu adalah kejutan jangka masa pendek yang tidak sempat dilihat menyebabkan tidak ada sesiapa pun yang berupaya melihat krisis berkenaan sebagai krisis kewangan global.

Pada 1997, pertumbuhan ekonomi berada pada kadar 7.8 peratus, inflasi di bawah 2.7 peratus, keluaran dalam negara kasar 1.86 dan eksport melebihi import sebanyak 12 peratus serta kadar hutang yang tidak melebihi 6.7 peratus. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa spekulasi mata wang adalah punca utama pada krisis 1997-1998. Tabung Kewangan Antarabangsa pada 2001 turut memasukkan Malaysia sebagai sebahagian daripada mangsa spekulator itu.

Malaysia mengekalkan maruah negara dan telah berjaya keluar daripada krisis itu lebih cepat daripada Thailand dan Korea Selatan yang memohon bantuan daripada IMF. Contohnya, Thailand berjaya menyelesaikan hutang sebanyak US$14.5 bilion daripada IMF pada 31 Julai 2003. Perdana menteri Thailand ketika itu berikrar tidak akan meminjam dari mana-mana institusi kewangan yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat.

Adalah menajdi kesilapan jika melihat Malaysia tidak mendapat faedah dengan mengambil pendekatan yang berbeza dalam menyelesaikan krisis. Walaupun Malaysia turut berhadapan dengan beberapa tindakan kemuflisan dan kadar pengangguran yang normal namun mendapat pujian daripada IMF kerana proses reformasi kewangan dan kawalan mata wang yang dilaksanakan.

Malaysia, negara yang percaya pada ekonomi terbuka dan Amerika Syarikat sebagai rakan dagangan utama, tidak mampu mengelak daripada kesan ekonomi global biarpun kadar pertumbuhan belum berada di peringkat kritikal. Tambahan pula kedudukan Malaysia secara perbandingan adalah lebih baik ketika menghadapi kesan krisis ketika ini.

Negara ini memiliki permintaan pasaran tempatan yang mengalakkan, pasaran buruh yang stabil dan simpanan luar di sekitar US$100 bilion yang cukup untuk menampung sembilan bulan import. Lebih baik daripada itu, pinjaman tidak berbayar menunjukkan aliran menurun di mana wujud kecairan dalam pasaran. Perkembangan perbankan dan insurans Islam menjamin negara ini berada dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Kesaksamaan sosial

Program kesaksamaan sosial Malaysia dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) berasaskan kontrak sosial yang mensasarkan perkongsian kekayaan. Pelaksanaannya adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan agihan pendapatan. Biarpun kesan DEB adalah perlahan kerana pelbagai sebab, statistik memperlihatkan penambahbaikan dalam bidang sosial dan ekonomi.

Jumlah penduduk yang berada di bawah paras kemiskinan tidak lebih daripada 13 peratus di sebalik peningkatan kadar kemiskinan bandar kerana perpindahan dari luar bandar ke bandar.

Kesimpulan

Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam pembangunan ekonomi. Kurniaan sumber semula jadi, politik yang stabil, masyarakat pelbagai budaya dan polisi yang berkesan telah memacu langkah ke arah kemakmuran ekonomi. Negara ini juga telah mencipta kejayaan yang hebat untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi dalam pelbagai bentuk.

Malaysia adalah kes yang unik, namun beberapa perkara yang boleh dipelajari ialah masyarakat yang bersatu, layanan mesra, kesabaran, perundingan, gaya pengurusan dan keyakinan diri yang menyumbang kepada faktor-faktor kejayaannya mengharungi petaka dalam persekitaran global.


Sumber: IslamOnline.net

No comments:

Post a Comment