Thursday, April 02, 2009

Kelas menengah Melayu mencorak perubahan

Konsep kelas menengah tidak wujud dalam masyarakat Melayu tradisional kerana hanya dua kelas yang ada iaitu pemerintah (raja) dan rakyat. Kedua-kedua kelas ini ditentukan oleh keturunan, adat dan amalan kepercayaan. Tradisi itu terus berjalan sehingga terbentuk tanggapan yang kukuh iaitu mereka yang lahir daripada keturunan raja akan menjadi golongan kelas pemerintah dan rakyat biasa akan menjadi golongan yang diperintah.

Walaupun secara umum tidak dapat dilihat kelas menengah, terdapat penyelidik yang percaya bahawa memang terdapat golongan kelas menengah yang menjadi penghubung di antara pemerintah dan rakyat. Gullick (1964) umpamanya, beliau yakin bahawa terdapat kelompok kelas perantara Melayu yang memainkan peranan mereka dalam bidang-bidang tertentu. Kehadiran mereka sudah tentu dari golongan pemerintah yang mengambil tahu bidang-bidang strategik bagi melindungi kepentingan pemerintah. Contohnya, wakil-wakil pemerintah di daerah menjadi ejen kepada penyebaran maklumat dalam kegiatan politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Tambahan pula, bagi mengerjakan tanah untuk pertanian, keizinan daripada wakil pemerintah mesti diperoleh terlebih dahulu.

Oleh kerana kedudukan struktur pentadbiran hanya melibatkan dua kelas, kehadiran golongan kelas menengah tidak diketahui secara tepat. Bagi Milner (1982), salah satu ciri yang menonjol dalam masyarakat Melayu abad ke-15 ialah kurangnya orang Melayu yang kaya walaupun ketika itu Melaka menjadi pusat perdagangan serantau yang terkenal. Ketika itu, urusan perdagangan Melaka dikuasai oleh saudagar India, Arab dan China. Milner merumuskan ketiadaan orang Melayu yang kaya disebabkan oleh sikap sultan dan raja-raja Melayu sendiri yang akan mengancam dan mengugut sesiapa sahaja orang Melayu yang kaya. Selain murka dengan kekayaan, harta benda turut dirampas menyebabkan timbul rasa takut untuk mencari harta kekayaan. Beliau juga mengaitkan kecenderungan masyarakat kelas atasan yang cenderung untuk melonggokkan kekayaan dengan kuasa politik seseorang. Ia bermaksud semakin kaya seseorang, dia akan memiliki kuasa politik yang lebih besar. Oleh itu, sultan dan raja-raja Melayu akan terus menambah kekayaan mereka di samping menyekat individu yang ingin menjadi kaya. Cara sekatan ialah dengan mengenakan pertuduhan yang matlamat akhirnya ialah merampas kekayaan tersebut. Pertuduhan ini boleh muncul daripada maklumat yang benar-benar sahih atau kerana difitnah oleh pihak yang iri hati.

Contoh klasik dalam kes ini ialah fitnah yang berlaku ke atas pembesar negara yang kaya-raya. Bendahara Tun perak meninggal dunia dan digantikan Bendahara Tun Mutahir yang bersikap pilih kasih. Sikap beliau menyebabkannya dituduh cuba mengatasi kekayaan Sultan Mahmud Shah. Kisah ini menunjukkan sultan tidak mahu sesiapapun menjadi kaya seterusnya membina pengaruh yang besar.

Golongan kelas menengah Melayu muncul selepas pihak British mula menjajah Tanah Melayu. Sekolah Inggeris telah menjadi pusat pendidikan dan latihan bagi melahirkan kelompok penjawat awam orang Melayu. Akhirnya diwujudkan Malay Civil Service (MCS) bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai bagi jawatan-jawatan baru. British juga memikirkan keperluan memberi latihan kepada bakal-bakal pegawai Melayu untuk mentadbir kerajaan. Lalu mereka menubuhkan Kolej Melayu Kuala kangsar (MCKK) pada tahun 1905. Bakal-bakal pegawai yang lahir daripada pendidikan di kolej ini kebanyakannya dari kelas feudal. Lama kelamaan kolej tersebut terpaksa dibuka juga kepada rakyat umum dan pada hari ini, semua pelajar Melayu perlu bersaing untuk belajar di situ.

Wheeler (1978) menyatakan kelas menengah Melayu muncul pada tahun 1920-an kerana menganggap orang Melayu berpendidikan Inggeris sebagai kelas menengah setelah dilantik sebagai kakitangan kerajaan British dan berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, golongan ini memiliki gaya hidup dan fikiran yang unik kerana menerima pendidikan Inggeris, berpendapatan tinggi dan mengalami pengalaman kerja yang menarik.

Kelas menengah Melayu tertumpu dalam sektor awam ketika sebelum merdeka berbanding Inggeris dan Cina yang terlibat dalam sektor swasta dan bidang kerjaya profesional. Salah satu sebab wujud keadaan ini ialah polisi British yang sengaja mengekalkan masyarakat Melayu dalam sektor pertanian dan ekonomi tradisional (Roff, 1975). Perubahan yang ketara berlaku apabila cadangan Malayan Union oleh British ditentang oleh orang Melayu. Keadaan ekonomi, pendidikan dan sosial orang Melayu jauh tertinggal mula disedari oleh British. Kesedaran politik orang Melayu yang digerakkan oleh parti-parti politik Melayu telah memaksa British memikirkan masalah orang Melayu yang mesti diberi keutamaan. Oleh itu, rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memasukkan elemen melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Perkara ini diperteguhkan lagi dalam perlembagaan iaitu Perkara 153 setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab merezabkan jawatan-jawatan dalam pentadbiran awam, tender, biasiswa, tanah, lesen perniagaan dan pendidikan. Boleh dikatakan Perkara 153 ini adalah sebahagian daripada usaha British untuk mewujudkan golongan kelas menengah Melayu dari sudut perundangan. Ia juga menjadi sebahagian daripada kewujudan sosial kontrak di antara Melayu dan bukan Melayu di Malaysia.

Sejak Rancangan Malaya Pertama (1950-1955) hingga Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), tumpuan peruntukan ialah membangunkan sosioekonomi masyarakat Melayu. Agensi-agensi seperti Felda (Federal Land Development Authority), FELCRA (Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditubuhkan bagi menggalakkan orang Melayu dalam proses perbandaran, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi. Walaupun sektor awam menjadi tumpuan orang Melayu, peluang untuk menambah bilangan kelas menengah Melayu sentiasa ditingkatkan.

Proses perkembangan kelas menengah Melayu berlaku sangat pesat ketika diperkenalkan Dasar Ekonomi Melayu (DEB) kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan ketika itu mula memberi perhatian kepada penyertaan golongan itu dalam industri pembuatan dan perniagaan dengan menetapkan sasaran 30 peratus penguasaan dalam tempoh 20 tahun. Kesan ketara dalam tempoh lima tahun pelaksanaan DEB ialah bilangan bumiputera dalam kumpulan ikhtisas dan teknikal meningkat dari 64,000 orang pada 1970 kepada 91,000 orang pada 1975, seterusnya 175,000 orang pada 1985. Bilangan pekerja dalam perkhidmatan perkeranian turut bertambah dari 50,400 orang (1970) kepada 88,500 orang (1975) dan 224,700 orang pada 1985.

Peranan DEB akan terus berjalan seiring dengan penambahan bilangan kelas menengah Melayu di Malaysia pada hari ini. Kumpulan ini yang mempunyai pendidikan yang lebih baik, keadaan sosial yang stabil dan tahap pendapatan yang tinggi dijangka memberi pengaruh besar ke atas masa depan dan hala tuju politik negara. Kekalahan besar Barisan nasional dalam pilihan raya umum lalu adalah petanda kepada kehadiran golongan ini dalam arus perdana masyarakat. Kehadiran mereka dalam semua aktiviti masyarakat bakal menjadi penggerak kepada kemajuan negara dan perubahan secara besar-besaran pasti akan berlaku khususnya pandangan terhadap politik dan bangsa Malaysia.

Mills (1951) berpendapat kelas menengah mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan keanggotaan dan penyertaan dalam politik dengan memperkenalkan identiti sendiri. Golongan kelas menengah yang lama akan digantikan oleh kelas menengah baru yang berbeza sama sekali dari segi corak berfikir, pengalaman dan pendedahan hidup. Secara tidak langsung akan memberi ancaman kepada penguasaan politik negara.


Rujukan

Gullick, J. M. (1964). Malaya. London: Ernest Benn Limited.

Mills, C. W. (1951). White collar- the American middle classes. New York: Oxford University Press.

Milner, A. C. (1982). Malay political culture on the eve of colonial rule. Tucson, Arizona: The University of Arizona Press.

Rancangan Malaysia pelbagai tahun.

Roff, W. R. (1975). The Malay Peninsula to 1874. Dalam In search of South East Asia- a modern history, diedit oleh David Joel Steinberg. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Wheeler, L. R. (1978). The modern Malay. London: G. Allen and Urwin.

No comments:

Post a Comment