Bermula dari mengemas rumah, mengunci pintu, memasak hinggalah memandu kereta, Rahim melakukannya sendiri kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Beliau yakin bahawa dirinya juga berkemampuan untuk melakukan semua kerja tersebut dengan usaha sendiri.
Penyelidik bertemu dengan Rahim baru-baru ini untuk mendengar pengalaman hidupnya yang sungguh luar biasa itu. Beliau mempunyai empat orang adik-beradik yang semuanya normal. Berasal dari Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, beliau bersusah payah ke Sekolah Kebangsaan Losong sehingga darjah 6. Di sekolah itu, pencapaiannya adalah membanggakan di mana beliau merupakan kelompok sepuluh pelajar terbaik dalam kelas. Dari darjah 1 hingga 5, beliau hanya berada dalam kelas yang diletakkan di aras bawah. Keadaan tersebut memang amat membosankan kerana sekali sekala beliau ingin merasa suasana belajar di kelas aras satu atau dua namun tidak dibenarkan oleh guru.
Semasa darjah 6, kelasnya telah dipindahkan ke aras lain menyebabkannya hilang rakan-rakan yang rapat. Beliau berasa sunyi dan nekad untuk bersama rakan-rakannya itu di kelas yang sama. Selama tiga minggu Rahim memanjat tangga untuk ke kelas berkenaan hingga menggusarkan guru-guru di sekolah. Akhirnya pihak sekolah membuat peraturan baru iaitu pelajar yang mendapat nombor satu hingga sepuluh akan ditempatkan dalam kelas yang pandai dan diletakkan di aras bawah. Peraturan ini sangat menggembirakan Rahim kerana rakan-rakan lamanya sebelum ini dapat belajar bersama kembali.
Di sekolah menengah, Rahim belajar di Sekolah Menengah Sultan Ahmad sehingga tingkatan enam atas. Keputusannya yang kurang baik dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di mana beliau hanya mendapat satu A telah mendorongnya untuk belajar dengan lebih gigih. Akhirnya Rahim menjadi antara pelajar contoh di sekolah itu.
Diterima belajar di Universiti Malaya adalah pengalaman yang paling indah dalam hidup Rahim kerana beliau berjaya membuktikan bahawa seorang manusia sepertinya mampu belajar hingga ke tahap itu. Walaupun Fakulti Ekonomi dan Perniagaan berada di kedudukan yang agak tinggi di kampus, beliau tidak pernah berasa bosan untuk memanjat anak-anak tangga demi merealisasikan cita-cita dan menjadi model kepada mereka yang senasib dengan dirinya. Menggunakan dua buah bangku kecil untuk bergerak, Rahim menumpukan seluruh perhatian dan hidupnya untuk belajar. Rakan-rakan sekelas yang prihatin kerap membantunya memberi semangat dan sokongan untuk meneruskan usaha di universiti.
Kini, Rahim sedang bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat dan memperoleh kerja dan pendapatan yang stabil. Usahanya yang berterusan untuk membaiki diri dan keluarga sudah tercapai dan beliau berhasrat menjadi seorang usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
Salah satu kemahiran Rahim yang dibanggakan oleh penyelidik ialah kemahirannya memandu kereta. Setiap hari beliau akan memandu kereta dari rumah ke pejabat sama seperti orang lain, merasai kesesakan jalan raya dan susahnya mendapat parkir. Susun atur dalaman kereta Proton Wira Aeroback berwarna merah telah diubah suai supaya sesuai dengan keadaan fizikalnya. Namun pemanduannya tidak berubah.
Beliau mendapat semangat untuk mengambil lesen kereta apabila melihat seorang kenalannya dari Kedah yang tidak ada kedua-dua tangan yang sempurna namun mampu memiliki lesen kereta dan dapat bergerak ke sana-sini dengan keretanya. Kemampuan rakannya itu telah memberi ilham dan dorongan kepada Rahim untuk memiliki lesen kereta sendiri seterusnya memandu kereta kegemarannya. Hari ini beliau berbangga kerana dapat memandu sendiri di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur.
Kehebatan Rahim, seorang manusia yang dianugerahkan dengan kehebatan intelektual dan semangat juang yang tinggi adalah simbol kepada ‘manusia yang melihat semua perkara boleh dilakukan dengan ruang fizikal yang terhad’. Tidak ada yang boleh menghalangnya daripada melakukan semua urusan yang dilakukan oleh manusia biasa. Tekad seperti inilah yang menjadi azimat sangat berguna kepada Rahim untuk berjaya dalam hidup. Baginya, kekurangan kaki dan tangan bukan penghalang yang besar kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ketika menjadi tetamu Matuba Resources Sdn Bhd dalam kursus untuk golongan miskin dari Pekan, Pahang baru-baru ini di Teratak Hijjaz, Rahim sempat disapa oleh Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Dato’ Sahlan Ismail yang kagum dengan ketabahannya menjalani hidup sehingga berjaya. Dato’ Sahlan juga mencadangkan Rahim menjadi ikon kepada golongan OKU yang berjaya supaya mereka turut mendapat inspirasi dan menjadi motivasi untuk mengubah keadaan hidup. Pengarah urusan, Syed Azmi turut menyatakan Rahim adalah antara insan-insan hebat yang diberi anugerah kecemerlangan oleh Allah SWT.
Penyelidik sangat kagum dengan daya juang dan semangat yang ditunjukkan oleh Rahim sebagai seorang yang telah melalui pelbagai halangan dan memenuhi cabaran hidup. Sejak kecil hingga dewasa, beliau tidak pernah menyusahkan orang lain kerana baginya adalah lebih baik melakukan sesuatu dengan usaha sendiri. Insya Allah kita doakan Rahim akan terus cekal dan bertambah yakin untuk menempuh hidup dan berjaya dalam setiap usaha yang dilakukannya.
No comments:
Post a Comment