Thursday, April 09, 2009

Kanak-kanak dan remaja lari dari rumah

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak adalah seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang di bawah 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Bagi remaja pula, tidak terdapat definisi khusus secara perundangan. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam memperkatakan masalah kanak-kanak dan remaja, golongan yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan majoritinya masih dalam alam persekolahan. Di Malaysia, golongan remaja merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan penduduk yang ada. Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2007, jumlah penduduk di bawah umur 19 tahun adalah 11.3 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada jumlah penduduk.

Ketika proses pembangunan yang semakin pesat dan dunia yang merentasi sempadan, golongan muda pada hari ini menerima pelbagai jenis maklumat yang menerobos budaya, akal fikiran dan pembentukan fizikal mereka. Pendedahan yang berterusan ini telah mencetuskan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, jaringan rakan yang lebih meluas, hedonisme dan hidup mewah. Pengaruh ini memberi kesan kepada pembentukan jati diri mereka dan tidak akan mampu untuk menghadapi cabaran yang sedia ada. Justeru apabila berhadapan dengan konflik diri dan keluarga, ada dalam kalangan mereka yang terlalu kecewa dan mencari penyelesaian secara tergesa-gesa dan menyusahkan diri sendiri.

Antara masalah utama dan kian menjadi perhatian ialah lari dari rumah. Kes ini berada pada tahap yang membimbangkan kerana liputan media massa mengenai kes ini sentiasa berlegar-legar dalam masyarakat. Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa jumlah orang berumur di bawah 18 tahun yang hilang adalah 6,270 dari 2004 hingga Mei 2007. Mereka yang paling ramai berumur 14 hingga 17 tahun iaitu 5,251 kes. Sejumlah 322 kes bagi kategori bawah 9 tahun dan 697 kes bagi umur 10 hingga 13 tahun sepanjang tempoh berkenaan. Jumlah remaja perempuan ialah 4,620 berbanding lelaki iaitu 1,650.

Keadaan ini seharusnya mendapat perhatian daripada semua pihak kerana golongan ini berisiko tinggi untuk terbabit dalam gejala sosial dan menjadi mangsa kepada keganasan dan penderaan. Daripada 3,246 kes orang hilang pada 2007, seramai 71 orang ditemui mati. Pada 2005, sejumlah 71 daripada 4,103 orang yang hilang telah ditemui mati dan lima daripadanya disahkan dibunuh.

Masyarakat sejahtera amat bermakna bagi perkembangan mental, fizikal dan rohani kanak-kanak dan remaja. Penglibatan ahli masyarakat untuk menjaga golongan ini sangat ditekankan kerana kelalaian akan menyebabkan lebih ramai yang melarikan diri dari rumah. Kanak-kanak dan remaja adalah golongan yang mudah dipujuk dan dijadikan mangsa dera, keganasan dan manipulasi mereka yang tidak bertanggungjawab.

1 comment:

  1. Anonymous1:19 PM

    Age of Majority Act 1971, Kanak2 adalah 18 kebawah.

    ReplyDelete