Semakin ramai pasangan suami isteri di Britain bercerai akibat masalah krisis pertengahan usia dihadapi si suami dan kecurangan terbukti menjadi punca utama perpisahan itu.
Malah, hasil satu kajian di kalangan pasangan bercerai dan tinjauan membabitkan peguam perceraian, menunjukkan seramai 93 peratus pasangan yang mengalami masalah krisis pertengahan usia itu ialah lelaki. Majoriti atau 64 peratus isteri pula dikaitkan sebagai pihak paling ramai mengesyaki suami.
Namun, syak wasangka mereka benar kerana 78 peratus suami terbukti bermain kayu tiga.
Hasil tinjauan tahunan yang masuk kali kelima di kalangan 100 peguam perceraian terkemuka Britain menunjukkan, kecurangan menjadi punca utama 29 peratus perceraian pada tahun lalu.
Jumlah itu bagaimanapun berkurangan daripada 32 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Namun, masalah krisis usia pertengahan berada di tempat kedua iaitu sebanyak 14 peratus. Masalah keluarga menjadi faktor ketiga, sebanyak 11 peratus.
Laporan disediakan firma Grant Thornton, mendapati dua daripada tiga peguam yang ditinjau, mewakili sekurang-kurangnya seorang anak guam yang sanggup mengupah mata-mata gelap mengintip pasangan disyaki bermain kayu tiga.
[Berita Harian Online, 1/3/2008]
No comments:
Post a Comment