Biarpun hanya dibekalkan dengan wang saku sebanyak RM20 sebulan atau ke sekolah dengan poket kosong, anak-anak Penan tetap cekal meneruskan persekolahan demi mencari ilmu.
Seorang pelajar tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh, Larry Talong Tingang berkata, berbekalkan wang saku sekitar RM20 sebulan, dia hanya boleh berbelanja tidak melebihi 60 sen sehari.
''Saya bersyukur berbanding masa di sekolah rendah yang mana wang saku hanya beberapa ringgit sahaja sebulan atau tidak ada langsung," katanya.
Larry yang berasal dari Long Tuyang mengakui, masalah kewangan menjadi antara faktor dia selalu ponteng sekolah semasa masih di sekolah rendah dahulu.
''Tetapi kini saya sedar, kalau mahu berjaya seperti orang lain kita harus berkorban. Saya sangat bersemangat sekarang biarpun dalam keadaan serba kekurangan,'' katanya semasa ditemui pada majlis penyampaian biasiswa kecil Petronas di SK Long Long Bedian, baru-baru ini.
Bercita-cita menjadi seorang doktor, Larry turut menyimpan harapan untuk meraih sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan.
''Saya tidak akan putus asa dan bersedia menerima apa sahaja halangan demi mencapai cita-cita ini," katanya.
Seorang lagi pelajar Penan, Kolina Radung, dari Long Palutan berkata, kemiskinan menyebabkan dia sedar akan pentingnya pendidikan.
''Kedua-dua ibu bapa saya tidak berkerja, ini memang memberikan kesukaran untuk saya pergi ke sekolah.
''Tapi saya percaya duit bukan segala-galanya, yang penting saya harus berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai keputusan cemerlang pada PMR akan datang,'' kata pelajar tingkatan dua, SMK Long Lama yang bercita-cita menjadi guru bahasa Inggeris.
Pendapat Kolina turut disokong rakan sekolahnya, Sofiana Stephen yang juga berasal daripada sebuah keluarga yang tidak pernah terdedah kepada pendidikan.
''Tetapi sekarang, dalam tak sedar saya sudahpun di tingkatan dua. Saya mahu mencatat sejarah sebagai orang berpelajaran dalam keluarga apabila dewasa nanti," katanya mengakui kerap ponteng semasa di sekolah rendah.
Kesulitan pelajar-pelajar Penan tersebut diakui Ketua Masyarakat Penan di Baram, Penghulu Wan Malong yang mengakui paras kemiskinan kaum itu masih tinggi.
Katanya, kebanyakan penduduk Penan masih menjalankan aktiviti pertanian sara diri, selain sekumpulan kecil yang masih mengamalkan gaya hidup nomad.
''Pendapatan mereka juga tidak tetap dengan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.
Beliau bagaimanapun gembira melihat perubahan besar dalam masyarakat Penan yang mulai menerima pendidikan sebagai batu loncatan untuk mengubah masa depan kaum itu pada masa akan datang.
''Saya dapati ada perubahan ketara dari segi penerimaan sama ada anak-anak mahupun ibu bapa mereka terhadap pendidikan.
''Dulu, ibu bapa acuh tak acuh dan tidak peduli sama ada anak mereka mahu ke sekolah ataupun tidak," katanya.
Sehubungan itu, Wan Malong amat berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah jemu untuk mengubah pemikiran kaum Penan di sekitar Pedalaman Sarawak.
''Usaha kerajaan menyediakan sekolah berhampiran penempatan kaum Penan berjaya menarik minat ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah," katanya.
Bagaimanapun katanya, perhatian berterusan harus diberikan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan anak-anak kaum Penan mengenai kepentingan pendidikan.
Wan Malong juga menyifatkan usaha Petronas memperkenalkan biasiswa kecil Petronas khusus untuk anak-anak Penan yang cemerlang dalam pelajar sebagai langkah terpuji.
''Ia satu usaha yang boleh menggalakkan persaingan dan minat di kalangan anak-anak Penan untuk lebih serius dalam pelajaran," katanya.
Katanya, keprihatinan Petronas itu sekurang-kurangnya mampu mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi ibu bapa dan pelajar terbabit.
Sementara itu, Pengetua SMK Bario, Chong Chieng Tiong yakin kerjasama sektor korporat tersebut mampu meningkatkan taraf pendidikan di kalangan anak-anak penduduk pribumi itu.[Utusan Online, 18/3/08]
No comments:
Post a Comment