Tuesday, March 04, 2008

Islam akan kembali asing






Kain rentang yang dipasang di tepi jalan di Teluk Air Tawar, Butterworth menarik perhatian orang ramai dan bloggers di seluruh negara. Dalam kerancakan kita berkempen untuk memenangi hati pengundi, kehadiran kain rentang, poster dan bendera yang pelbagai jenis menunjukkan keterbukaan sebahagian besar masyarakat Malaysia untuk menerima kritikan dan pujian.

Walau bagaimanapun kain rentang yang dipaparkan memberi konotasi negatif kepada masyarakat umum terhadap Islam kerana tafsiran Melayu di Malaysia sangat istimewa iaitu Melayu adalah Islam. Menggantung kata-kata cercaan dan nistaan kepada agama Islam merupakan perbuatan orang yang terdesak dan tidak mampu membezakan di antara emosi dan rasional.

Kain rentang berkenaan tidak sahaja dilihat sebagai menggambarkan manusia setaraf babi sebaliknya digambarkan Islam dan Melayu adalah sehina babi. Kedua-duanya dibakulkan sekali sama seperti babi.

Perjuangan Nabi Muhammad saw membebaskan pemikiran, jiwa dan rohani masyarakat Arab jahiliah penuh dengan cabaran. Baginda saw juga dilontar dengan batu, diancam bunuh dan sentiasa menjadi bahan sensasi. Namun kesabaran dan kegigihannya telah membawa hidayah dan rahmat kepada umat Melayu di Malaysia dan nusantara.

Kain rentang yang kita lihat ini merupakan penolakan kepada hidayah dan rahmat Allah swt kepada orang Melayu. Tindakan ini tentunya dilakukan oleh mereka yang taksub dengan bangsa dan membenci Islam dan tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Mereka yang bertindak melampau batas seperti itu wajar menginsafi tindakan ini dan segera bertaubat supaya Islam tidak diperlekehkan kelak. Masyarakat Islam di Kosovo yang baru merdeka daripada Serbia terpaksa membayar nyawa untuk membebaskan diri dan menjadi sebuah negara yang majoritinya beragama Islam. Masyarakat Melayu Patani juga sedang berjuang membebaskan negara mereka daripada penjajahan Thailand selama 100 tahun. Sedangkan Malaysia yang hampir 60 peratus beragama Islam dan menguasai politik negara, masih ada yang memandang keji kepada agama Islam.

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali asing pula. maka beruntunglah orang-orang yang asing." (Hadis riwayat Muslim)



No comments:

Post a Comment