Saturday, March 15, 2008

Pilihan Raya Umum Ke-12: Idea baru untuk Malaysia (1)

Setelah seminggu keputusan pilihan raya diketahui, keadaan sistem politik Malaysia masih menunjukkan tahap kestabilan yang boleh dibanggakan. Walaupun empat negeri mendapat menteri besar yang baru, keadaan ini tidak memberi impak buruk kepada kestabilan politik negara yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum. Bisnes berjalan seperti biasa, pelajar masih dapat meneruskan persekolahan masing-masing tanpa terjejas dan orang ramai masih boleh pergi ke tempat kerja dengan selamat.

Keputusan pilihan raya juga menunjukkan dengan jelas rakyat di kebanyakan negeri mahukan perubahan. Jika sebelum ini Barisan Nasional mendominasi keputusan pilihan raya, kini keadaan selesa berkenaan tidak lagi dapat dipertahankan. Pakatan PAS-PKR-DAP di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi wadah baru kepada aliran sokongan rakyat. Kemenangan pakatan pembangkang hadir bersama dengan puluhan idea baru untuk dilaksanakan.

Antaranya ialah pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang yang akan menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan anggapan DEB telah menyebabkan rasuah, kronisme dan nepotisme yang tidak membantu pentadbiran yang cekap. Seterusnya pelantikan dua orang timbalan ketua menteri bagi Pulau Pinang dan Perak. Senario ini memberi mesej awal yang sangat jelas iaitu dua jawatan tertinggi pentadbiran negeri harus ada menteri besar dan dua timbalannya yang terdiri dari tiga bangsa. Tidak salah jika dikatakan jika pakatan pembangkang memenangi kerusi parlimen kelak, akan wujud pula jawatan Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2. Keadaan ini tidak mustahil akan berlaku.

Kejayaan parti pembangkang menguasai lima negeri masih dianggap dongengan oleh sebahagian besar penduduk. Seorang kenalan penyelidik turut melahirkan rasa tidak percaya berkenaan apabila mendapati Selangor dikuasai pembangkang. Tetapi beliau ingin melihat sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah untuk menerajui Selangor yang baru.

Telah banyak analisis yang dibuat oleh media dan laman web. Malahan satu soal selidik mengenai keputusan pilihan raya ini sedang dilakukan. Analisis ini melibatkan peranan pelbagai pihak: media, kepimpinan, keadaan semasa dan trend pengundi muda.

Justeru, analisis artikel ini akan dibuat dua bahagian pertama ialah menentukan punca-punca kegagalan Barisan Nasional mendapat mandat besar dan bahagian kedua ialah mengenal pasti impak yang akan berlaku ke atas pengundi khususnya Melayu.

Bala dari Allah swt

YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat mandat yang besar dalam pilihan raya 2004 membolehkan kerajaan pimpinannya merancang dan melaksanakan projek pembangunan mega yang melibatkan RM712 bilion. Enam projek mega tersebut ialah Pembangunan Wilayah Iskandar (RM240 bilion), Pembangunan Ekonomi Koridor Utara (RM160 bilion), Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (RM170 bilion), Pembangunan Ekonomi Koridor Sabah (RM115 bilion), PGCC di Pulau Pinang (RM 24 bilion) dan Jambatan Pulau Pinang (RM3 bilion).

Projek yang besar seperti ini melibatkan jumlah wang yang banyak, kawasan tanah yang luas dan penglibatan pekerja asing yang ramai. Ketika rakyat masih perlukan belanja untuk meneruskan hidup, penggunaan wang ini atas nama pembangunan tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat. Setiap hari kita masih melihat dan mendengar ada rakyat yang makan nasi dengan garam, hidup dalam kawasan setinggan, merempat di kampung dan kota serta terpaksa mengikat perut untuk hidup.

Kesusahan hidup mereka dipanjatkan dengan doa kepada Allah swt bersama harapan agar hidup mereka berubah. Doa demi doa yang dipohon ini akhirnya hadir bersama "tsunami politik" melalui pilihan raya lalu.

Susahnya hidup rakyat dengan kenaikan harga barang tidak dapat digambarkan kerana mereka terpaksa melakukan banyak kerja dalam satu hari. Siang bekerja pejabat, malamnya bawa teksi atau kerja di kedai makan hingga ke pagi. Rumah tangga juga terabai kerana kehidupan yang susah seperti ini.

Kerajaan Barisan Nasional juga kerap kali mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang agama Islam. Tetapi kita masih dengar ada banyak perkara mungkar yang melibatkan pemimpin tertinggi seperti rasuah, hendakkan kuasa dan kezaliman ke atas tanggungjawab mereka. Rumah diroboh atas nama pembangunan, surau dikunci atas nama perbezaan kefahaman menyebabkan perpecahan dan guru agama yang memberi kuliah dihalang kerana dikatakan menyebarkan kebencian kepada kerajaan.

Menghalang perkara yang ma'ruf dilaksanakan menyebabkan masyarakat umum bergelumang dengan maksiat dan mungkar. Program hiburan yang melalaikan, bahan bacaan yang merosakkan akhlak, berzina, kezaliman ke atas rakyat marhaen dan tidak adil kepada masyarakat bukan Islam mengundang kemarahan Allah swt.

Pelaksanaan Islam Hadhari hanya indah khabar kerana masih ramai orang Islam sendiri yang menolak konsep ini yang juga dikenali sebagai "progressive Islam." Penghayatan Islam hanya berkisar digahkan dalam penganjuran tilawah al-quran, sambutan majlis keagamaan dan kematian. Hari dan malam Jumaat tidak diberi program peningkatan kefahaman Islam sebaliknya dipenuhi juga dengan program nyanyian dan hiburan yang leka.

Apabila masyarakat ingin mencari program kesedaran dan kefahaman Islam di televisyen, mereka akan dibimbing dengan tokoh-tokoh agama yang terpengaruh dengan sekularisme. Arak dijual berleluasa termasuk di kawasan majoriti umat Islam seperti di Bangi yang mana sebuah kedai 24 jam menjual arak kepada anak-anak Melayu tanpa ada rasa bersalah. Usaha penduduk untuk menghalang penjualan arak berkenaan sentiasa gagal.

Perbincangan topik yang membuka pandangan masyarakat Islam seperti jihad politik, ekonomi dan meningkatkan tauhid kepada Allah swt tidak banyak diwar-warkan sebaliknya konsert dan filem diutamakan.

Barisan Nasional membawa satu sistem mereka sendiri. PAS, PKR dan DAP juga membawa sistem hidup mereka sendiri. Kerajaan Barisan Nasional mengutamakan pembangunan kebendaan yang amat ketara, jadi keazaman mereka untuk menguasai Kelantan dipenuhi dengan janji-janji pembangunan. Bagi mereka yang memahami sistem hidup Islam, dasar yang dibawa oleh Barisan Nasional akan ditolak sepenuhnya kerana ia membelakangkan sama sekali tujuan hidup manusia sebagai khalifah Allah swt.

Oleh kerana hala tuju sistem ini bertentangan dengan kehendak Allah swt, ia lebih cepat mengundang bala sebagai peringatan kepada Barisan Nasional untuk membetulkan keadaan.

Pendokong-pendokong Islam di seluruh negara menunaikan solat hajat, qiamullail setiap malam dan berpuasa sunat. Di Kelantan, menteri besar sendiri yang mengetuai solat jemaah di stadium untuk memohon kejayaan bagi PAS di negeri berkenaan. Barisan Nasional bergantung 99.9 peratus kepada media dan usaha kempen tanpa berikhtiar untuk mengadakan solat hajat besar-besaran.

Barisan Nasional amat bergantung kepada wang dan janji untuk meraih undi tetapi pembangkang meletakkan setiap usaha dan doa sebagai usaha mendapatkan ihsan Allah swt.

Bala daripada Allah swt boleh berlaku dalam banyak keadaan. Kuasa adalah salah satu daripadanya. Anugerah kuasa ialah sebagai amanah yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Dengan kuasa, pemimpin yang dipilih mula gila kuasa dengan mencari seberapa banyak harta melalui projek-projek yang didapati. Hubungan pemimpin-rakyat tidak lagi menjadi mesra dan dingin. Sedangkan rakyat hidup menderita dan berdoa siang dan malam agar Allah swt memberi bala kepada pemimpin berkenaan.

Kini, doa dan rintihan rakyat yang dizalimi telah dimakbulkan. Hidup mereka kembali ceria dan berharap pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan perkara mungkar akan menyesali perbuatan masing-masing.

Bosan dengan janji

Bosan dengan retorik pemimpin Barisan Nasional yang banyak berjanji dengan pengundi menjadikan mereka ditolak dalam pilihan raya. Setiap kali musim pilihan raya, wakil rakyat Barisan Nasional akan turun padang berjumpa dengan rakyat di kawasan masing-masing untuk bertanya khabar. Tentulah keadaan ini tidak mesra pengundi kerana dalam era moden, pengundi lebih bijak menilai prestasi wakil rakyat mereka.


Tentulah prestasi pembangunan tidak dinilai dengan hanya menyediakan jalan raya baru, membersihkan longkang tersumbat atau memotong rumput. Ia juga tidak dinilai dengan rombongan yang ramai untuk menjelajah kampung.

Janji-janji pembangunan oleh Barisan Nasional tidak lagi relevan di Malaysia kerana sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia perlu merancang dan melaksanakan pembangunan. Apa yang rakyat mahukan ialah kehidupan mereka setiap hari tidak dibebankan dengan kenaikan minyak, harga barang atau bayaran yuran sekolah dan universiti yang mahal.

Apa gunanya bangunan tinggi mencakar langit sedangkan keluarga Melayu, Cina dan India di bandar masih tinggal di rumah setinggan, tidak ada wang untuk makan dan menyekolahkan anak-anak dan lepasan institusi pengajian tinggi masih menganggur walaupun lima enam tahun menamatkan pengajian mereka?

Jadi janji-janji untuk menjadikan Malaysia negara selamat, aman dan makmur hanyalah pemanis mulut untuk meraih undi walaupun kerajaan Barisan Nasional berusaha meningkatkan keberkesanan pentadbiran dalam banyak perkara khususnya di sektor kerajaan.

Bagaimana Malaysia akan selamat jika jenayah terus meningkat? Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar turut risau dan menyuarakan keadaan keselamatan sekarang kerana beliau sendiri tidak lagi berasa selamat untuk berjalan-jalan di jalan raya dan tempat awam di Malaysia sekarang ini.

Bagaimana Malaysia hendak aman jika keadaan di dalam dan di luar rumah tidak selamat? Kanak-kanak menjadi mangsa culik, orang tua menjadi mangsa samun dan ragut manakala wanita menjadi mangsa rogol?

Bagaimana Malaysia hendak makmur jika rakyat tidak sejahtera hidupnya, bangun pagi memikirkan apakah yang hendak dimakan, peniaga risau bisnes tidak lancar dan kakitangan awam menahan perasaan kerana gaji rendah?

Belot

Pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya adalah permulaan untuk mendapat jawatan dan memegang kuasa. Jika tidak dicalonkan, mereka yang berkenaan berasa dunia akan kiamat dan tidak mahu kenyataan.

Pembelotan boleh berlaku dalam banyak keadaan seperti tidak menyokong calon yang dipilih, tidak berkempen, memboikot majlis suai kenal calon dan menanggalkan bendera yang telah disusun rapi di tepi jambatan.

Calon yang telah beberapa penggal menjadi wakil rakyat enggan mengundurkan diri dan memberi laluan kepada muka baru kerana telah selesa dengan kedudukan dan jawatan yang ada. Mereka juga mempunyai punca kewangan yang banyak untuk melakukan sabotaj kerana selain menjadi pemimpin, mereka juga melakukan bisnes sebagai kerja sampingan tetapi tidak secara langsung. Hal ini diketahui ramai dan mewujudkan kronisme.

Rasa tidak puas hati calon yang tidak terpilih disalurkan melalui undi protes dan kesannya ialah tidak ada lagi kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional di enam wilayah (Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Pembelotan ini berlaku adalah kerana Barisan Nasional gagal melaksanakan reformasi kepimpinan dalam semua peringkat. Ketua parti yang telah lama dalam kerajaan dan parti masih dicalonkan untuk bertanding sedangkan rakyat sudah muak dengan muka mereka. Ada juga di antara mereka yang cakap besar dan enggan mengundurkan diri.

Budak mentah

Pengerusi Barisan Nasional terlalu terpengaruh dengan kelompok penasihat yang muda, profesional dan lepasan universiti ternama dunia tanpa menyedari teori tidak sama dengan realiti sebenar. Pengalaman dan kepakaran orang lama dipinggirkan, maklumat daripada cawangan khas dan tentera enggan didengari ketika membuat keputusan berkenaan trend rakyat ketika ini.

Apa yang dilakukan oleh budak mentah yang kurang berpengalaman apabila berhadapan dengan sepak terajang politik Malaysia? Mengguna pakai teori-teori Barat dalam persekitaran landskap politik, ekonomi, sosial dan budaya Malaysia tentulah ada percanggahan. Presiden UMNO dilihat terlalu bergantung kepada penasihat yang sentiasa menyedapkan hati beliau tanpa menyedari keadaan 2008 tidak sama dengan 2004.

Kebencian orang ramai kepada pengaruh anak menantu dalam membuat keputusan penting dan membolot harta kekayaan negara dizahirkan dalam banyak blog. Negara ini bukan milik seseorang atau mana-mana keluarga tetapi milik bersama. Masa depan negara tidak boleh diperjudikan di atas jembala beberapa individu yang rakus kepada kuasa dan harta.

Menjadikan budak mentah sebagai penasihat telah menghilangkan keyakinan orang ramai dan rakyat Malaysia. Bisnes dimonopoli oleh beberapa individu sedangkan usahawan kecil terpaksa berhempas pulas memastikan bisnes mereka terus bertahan.

Tun Dr. Mahathir menggesa Presiden UMNO berundur dan digantikan dengan timbalannya kerana kemerosotan pengaruh Barisan Nasional yang lalu. Anak menantu yang terlibat juga wajar diketepikan supaya keyakinan orang ramai akan kembali diraih semula.

Media alternatif

Sejak 1999, laman web berorientasikan politik telah mula mendapat pengaruh dan menjadi sumber pilihan kepada rakyat bagi mendapat berita sebenar ke atas sesuatu isu. Kemunculan blog yang boleh dikendalikan oleh sesiapa sahaja menjadikan rakyat semakin mudah menyatakan emosi mereka tanpa takut kepada polis atau penguatkuasa kerajaan. Ruang ini memberi peluang kepada ramai anak muda mendapatkan maklumat dan disampaikan kepada rakan-rakan dan orang kampung.

Paparan berita di surat khabar dan televisyen yang menghentam pembangkang tidak diterima bulat-bulat oleh rakyat. Apakah peribadi pemimpin pembangkang terlalu buruk berbanding pemimpin-pemimpin kerajaan sedia ada? Setiap kali media membangkitkan isu, rakyat akan mendapatkan penjelasan daripada laman-laman web pro pembangkang.

Apabila Dr. Chandra Muzaffar menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, keadaannya telah pun terlewat kerana sokongan rakyat di seluruh negara kepada parti pembangkang telah naik secara mendadak.

Media yang berperanan mendidik rakyat memilih pemimpin yang berwibawa kini bertukar menjadi alat propaganda Barisan Nasional dan rakyat amat muak dengan keadaan demikian.

Perubahan sosial

Hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi adalah golongan muda. Sebahagian besar mereka telah terdedah dengan banyak maklumat dan membuat pilihan berdasarkan kepentingan mereka. Asakan maklumat di media yang pro kerajaan diimbangi dengan melayari laman web pro pembangkang. Zaman mengundi parti semakin dipinggirkan sebaliknya mereka memilih calon yang boleh berfungsi menjayakan hasrat mereka.

Perubahan sosial masyarakat Melayu, Cina dan India agak ketara setelah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Pemikiran mereka tidak lagi melihat perkauman sebagai satu syarat besar untuk menentukan parti mana yang memerintah. Orang Cina dan India tidak lagi takut dan kekok untuk memegang bendera PAS atau hadir di ceramah PAS sama ada di Kedah, Pulau Pinang atau Perak.

Peralihan corak ini menunjukkan mereka hendak melihat perubahan dalam pentadbiran kerana pelbagai isu yang berkait rapat dengan mereka.

Menakutkan rakyat dengan pertelingkahan kaum tidak banyak mempengaruhi tahap toleransi mereka kerana PAS dan PKR telah menunjukkan toleransi kaum yang tinggi. Sebagai contoh, PAS mewujudkan Kelab Penyokong PAS untuk golongan bukan Melayu. Melalui kelab ini, kedua-kedua etnik minoriti dapat mengenali dan memahami perjuangan PAS selama ini.

Dialog yang berterusan telah memecahkan persepsi buruk bukan Melayu terhadap kepimpinan dan ideologi PAS dan sokongan mereka ini dizahirkan dalam pilihan raya 2008.

No comments:

Post a Comment