Tuesday, March 04, 2008

Kosovo merdeka: Inspirasi untuk selatan Thai (3)






Masyarakat Melayu di selatan Thailand tertumpu di wilayah Patani, Yala, Satun dan Narathiwat. Semua wilayah ini adalah kelompok Patani Raya yang menjadi teras kewujudan kesultanan Patani dan mewarisi kerajaan lama Langkasuka.

Sejak abad ke-18, pemerintahan Thai menawan dan membawa masuk negeri-negeri Melayu berkenaan ke dalam empayar Siam. Pada tahun 1901, raja Thai, Chulalongkorn melanggar perjanjian damai dengan negeri-negeri Melayu dan melancarkan kempen ketenteraan. Program pemusatan pentadbiran yang dilaksanakan telah menyatukan wilayah Patani dengan Boriween chet huamuang (kawasan tujuh wilayah).

Pentadbiran Siam dilantik oleh raja untuk melaksanakan operasi kerajaan di wilayah-wilayah Melayu secara langsung dari Bangkok.

Tahun 1906, tujuh wilayah Melayu disatukan di bawah pentadbiran tunggal yang dipanggil Monthon Patani. Negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditadbir oleh British pada 1909 melalui perjanjian Anglo-Siam. Walaupun dipisahkan oleh perjanjian berkenaan, masyarakat Melayu Patani berkongsi pelbagai aspek dengan masyarakat Melayu di empat negeri tersebut. Orang Patani adalah Melayu dan Islam. Bahasa, budaya, politik, struktur sosial adat dan nilai adalah sama. Kegiatan rentas sempadan di antara kedua-dua buah negara kekal pada tahap tinggi di sebalik cubaan oleh pihak British dan Siam untuk mengawal pergerakan di sempadan.

Sebaik sahaja Siam mula mengetatkan cengkaman ke atas Melayu Patani, Tengku Abdul Kadir Qamaruddin mula menggerakkan pertentangan ke atas Siam pada tahun 1903. Beliau tewas dan dipenjarakan selama tiga tahun.

Setelah dibebaskan, dia masih meneruskan usaha untuk merancang serangan ke atas pentadbiran Siam. Masyarakat Melayu Patani sangat marah kerana Bangkok cuba mengenakan undang-undang Thai dan enggan mengiktiraf undang-undang Islam di wilayah berkenaan. Selepas gagal dalam pemberontakan pada 1915, Tengku Abdul Kadir berundur ke Kelantan dan mula menyusun kekuatan dengan bantuan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV.

Pada 1922, beliau sekali melancarkan tindakan perang yang paling besar ke atas pentadbiran Siam kerana membantah dasar pendidikan yang diperkenalkan oleh Bangkok yang mana mewajibkan semua masyarakat Melayu Patani belajar bahasa Siam. Beliau menganggap tindakan berkenaan adalah usaha untuk melenyapkan identiti Melayu Patani dan memurtadkan umat Islam. Perjuangan Tengku Abdul Kadir berakhir dengan kegagalan dan beberapa orang pemimpin Melayu Patani telah dibunuh dan ada yang melarikan diri ke Malaya.

Walaupun kerajaan Thailand berjaya mematahkan serangan berkenaan, peristiwa tersebut memberi impak besar ke atas perlunya mereka melihat kembali dasar yang diperkenalkan sebelum itu kepada masyarakat Melayu Patani.

Raja Vajiravudh telah memperkenalkan peraturan-peraturan baru untuk membantu proses asimilasi Melayu Patani ke dalam struktur pentadbiran tempatan sebagai usaha membina komitmen dan pelaburan jangka masa panjang. Dari semasa ke semasa Bangkok mula menawarkan konsesi terhad kepada pemimpin Melayu dan cuba membawa mereka ke dalam pentadbiran kerajaan di wilayah Patani.

Disebabkan keadaan geopolitik ketika itu, masyarakat Melayu Patani tidak begitu membangun. Penjajah British mentadbir Malaya dan tidak menghiraukan selatan Thai asalkan kerajaan Thailand mengiktiraf sempadan Malaya seperti mana yang dipersetujui dalam perjanjian Anglo-Thai.

Sepanjang abad ke-20, kerajaan Thailand dan raja Siam mentadbir selatan Thai dengan menggunakan ancaman ketenteraan dan keganasan. Lebih banyak dasar yang diwujudkan untuk menyekat pergerakan masyarakat Melayu Patani dan mengarahkan mereka kepada proses asimilasi ke dalam masyarakat Thai-Buddha.

Semasa Perang Dunia Kedua, Thailand mengalami perubahan kepimpinan yang menonjolkan Jeneral Phibun Songkhran. Beliau seorang yang fanatik kepada neofasis Nazi Jerman dan ultranasionalis Jepun. Di bawah pentadbirannya, masyarakat Thai dipaksa membuat perubahan radikal ke atas sistem politik dan nilai sosial. Contohnya pada tahun 1939, Jeneral Phibun memperkenalkan Thai Ratthaniyun (Akta Adat Thai) yang memaksa semua warganegara mengamalkan satu set norma budaya yang turut memaksa kelompok minoriti mengikut model berkenaan. Tindakan berkenaan dilihat sebagai usaha halus dan licik untuk memusnahkan identiti budaya dan agama Melayu Patani.

Di bawah akta tersebut, Melayu Patani tidak dibenarkan sama sekali memakai pakaian tradisi Melayu, dipaksa menggunakan bahasa Thai dan sesetengah keadaan dipaksa mengambil bahagian dalam penyembahan berhala patung Buddha. Dasar ini segera mendapat tentangan daripada masyarakat Melayu Patani tetapi tindak balas kerajaan Thailand sangat keras: menggunakan tentera untuk melumpuhkan tentangan berkenaan dan menahan serta membunuh pejuang Melayu. Beribu-ribu masyarakat Melayu Patani kemudiannya lari ke Malaya dan bergabung dengan masyarakat Melayu di sana.

Zaman selepas perang menyaksikan wilayah Petani menjadi kawasan panas. Gerakan militan dan komunis menjadikan selatan Thai sebagai tempat persembunyian. Ia juga menjadi markas kepada kumpulan pemisah Melayu seperti Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP), Pertubuhan Perpaduan Pembebasan Patani (PULO) dan Barisan Revolusi Nasional. Sebahagian besar kumpulan ini bergerak aktif di sekitar tahun 1970-an.

Di antara tahun 1968 hingga 1975, kerajaan Thailand melancarkan siri operasi ketenteraan di selatan Thai untuk memusnahkan jaringan pergerakan pembebasan Patani. Operasi Ramkamhaeng dan kempen khas anti pengganas selama 7 tahun menyebabkan 385 pertempuran di antara tentera Thailand dan kumpulan pemisah. Sejumlah 1,208 penahanan dan 329 pejuang Patani telah terbunuh. 250 kem pemisah dimusnahkan dan 1,451 senjata dirampas.

Di sebalik operasi-operasi berterusan ini, selatan Thai tetap terus bergolak. Pada Disember 1975, pihak keselamatan Thailand telah membunuh lima orang belia Patani yang menyebabkan bantahan besar-besaran anti kerajaan di wilayah berkenaan yang dilakukan di hadapan masjid utama Patani. Pembunuhan itu juga menyebabkan bantahan disuarakan oleh masyarakat Melayu di Malaysia yang diusahakan oleh Asri Muda, pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) yang membangkitkan isu ini di parlimen Malaysia.

Kebangkitan Revolusi Islam Iran pada 1979 turut mempengaruhi hala tuju pergerakan pemisah di selatan Thai. BNPP lebih cenderung kepada pendekatan radikal dengan meningkatkan program latihan ketenteraan dan memilih kaedah peperangan gerila bagi menentang pasukan keselamatan Thailand. Pada 1985, pengaruh radikal dalam BNPP dibawa masuk oleh Wahyuddin Muhammad, timbalan pengerusi dan membuat keputusan untuk berpisah dengan BNPP. Seterusnya beliau menubuhkan Barisan Bersatu Mujahideen Patani (BBMP). Kemudiannya pada tahun 1986, BNPP menukar nama kepada Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) untuk mengambil bahagian yang lebih dalam politik Thailand.

Perkembangan di selatan Thai adalah selari dengan apa yang berlaku di negara-negara minoriti umat Islam pada penghujung abad ke-20. Di seluruh dunia, masyarakat minoriti Islam yang dipinggirkan bangkit menuntut keadilan dan persamaan hak.

Pertubuhan seperti PLO di Palestine, PULO dan MNLF di Asean dan wilayah lain menuntut dan berjuang di atas platform demokratik sekular. Ketika Perang Dingin memuncak dan kekuasaan Amerika Syarikat yang tidak dapat ditewaskan, kumpulan-kumpulan ini telah dilabel sebagai "penganas" atau "sayap kiri."

Kegagalan kumpulan demokratik sekular ini telah memberi sumbangan kepada peralihan masyarakat Islam untuk menjadikan platform agama sebagai penyatu kepada usaha-usaha mereka. Berikutan kejayaan Revolusi Islam Iran pada 1979, politik Islam menjadi alat politik dan pilihan yang menyaksikan imej kumpulan pemisah cenderung kepada Islam. Di Filipina, MNLF dipintas oleh MILF (Moro Islamic Liberation Front), di Palestine PLO dibayangi oleh Hamas dan di selatan Thai, PULO, BRN dan BNPP dibandingkan dengan BBMP.

Sehingga kini masyarakat Thai dan dunia antarabangsa dibohongi oleh kenyataan biadap bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra yang mendakwa kumpulan jenayah yang menyebabkan kematian. Jeneral Chaiyasidh Shinawatra, Panglima Tentera Thailand turut mendakwa "musuh yang fanatik" berada di bawah pengaruh dadah.

Wilayah Patani yang cuba dikaitkan dengan "pakar pengganas" telah ditolak oleh kerajaan Thailand. Mereka tetap mengatakan selatan Thai adalah masalah dalaman dan akan menyelesaikannya sendiri.

Tidak ada sebarang penyelesaian kukuh bagi menerangkan perkembangan ini. Memberi label "fanatik" dan "jenayah" adalah propaganda untuk melemahkan gerakan pemisah dan usaha Melayu Patani mendapatkan kuasa autonomi.

Dalam pilihan raya lepas, selatan Thai memilih parti demokratik yang menunjukkan masyarakat Melayu Patani masih percaya kepada proses demokrasi. Tetapi kegagalan kerajaan Thailand melaksanakan program pembaharuan bersama kegagalan Bangkok mengatasi isu rasuah, nepotisme, keganasan tentera Thailand – menyebabkan sebahagian besar masyarakat Melayu Patani beralih kepada kepercayaan bahawa gerakan radikal agama-politik akan lebih berjaya.

Kerajaan Thailand yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat masih berasa selamat dengan dasar yang diguna pakai ke atas masyarakat Melayu Patani. Perdana menteri sedia ada tidak akan bertahan lama jika Amerika Syarikat sudah bosan dan tidak ada kepentingan lagi seperti yang berlaku ke atas Ferdinand Marcos dan Soeharto.

Masalah di selatan Thai berpunca daripada politik dalaman masyarakat Thai sendiri. Melayu Patani berasa diri mereka menjadi mangsa kepada dasar Bangkok yang tidak mahu memajukan selatan Thai. Akhirnya, faktor ekonomi dan politik akan menentukan masa depan hubungan di antara Bangkok dan wilayah-wilayah lain.

No comments:

Post a Comment