Biar pun sudah ditemui, kehilangan Nor Shamimi Ahmad Sabirin, murid Tahun Tiga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Fun Sun, Bukit Selambau masih menjadi misteri kerana seluruh ahli keluarga dan jiran sudah mencarinya di seluruh rumah sebelum itu tetapi tidak menemuinya.
Kanak-kanak itu kemudian ditemui tidur nyenyak berselimut di atas katil.
Kanak-kanak itu kemudian ditemui tidur nyenyak berselimut di atas katil.
Ibunya, Rudina Shuib, 42, berkata dia sekeluarga masih bingung memikirkan ke mana menghilangnya anak keempatnya itu kerana mereka sudah menyelongkar setiap ruang dalam rumah, termasuk almari pakaian sebaik menyedari Nor Shamimi hilang.
"Dalam tempoh empat jam itu kami sudah mencari di setiap ruang rumah berkali-kali sambil memanggil namanya, tetapi tidak ditemui.
"Hati saya tidak sedap apabila menemui kain selimut yang dibungkus seperti lepat pisang di atas katil dan terkejut apabila mendapati Shamimi sedang nyenyak tidur di dalamnya dengan berpakaian seragam sekolah.
"Apa yang menghairankan kami ialah ketika mencarinya, bungkusan itu tiada di atas katil.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Shamimi dijumpai dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Rudina berkata, kerana bimbangkan keselamatan anaknya itu mereka sekeluarga sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Selambau pada jam 9 pagi dan berikutan itu sepasukan anggota polis datang untuk mengambil keterangan.
Nor Shamimi disedari hilang oleh kakaknya, Nur Syakila, 17, yang pulang daripada membeli kuih tidak jauh dari rumahnya, sebelum itu.
Nur Syakila berkata, sebelum itu dia terdengar adiknya berbual dengan seseorang ketika sedang memakai stoking di depan rumah. "Saya mengajaknya pergi membeli kuih, tetapi Nor Shamimi enggan dan dia masuk semula ke dalam rumah. Apabila pulang saya dapati dia tiada di rumah," katanya.
Sementara itu, Nor Shamimi ketika ditemui mendakwa, ketika bermain di depan rumahnya dia didatangi seorang lelaki yang memberitahunya supaya tidak pergi ke sekolah dan mengajaknya bersiar-siar menaiki kereta.
[Berita Harian Online, 3/3/2008]
[Berita Harian Online, 3/3/2008]
No comments:
Post a Comment