Sejarah telah membuktikan pada 15 abad yang silam telah lahir di muka bumi ini generasi yang tidak pernah ada sebelumnya. Jikalau ada pun, belum pernah terkumpul sedemikian banyaknya pada satu masa, di dalam satu kumpulan masyarakat yang tersusun dengan indah dan berinteraksi terus dengan masyarakat jahiliah. Mereka adalah generasi yang menggoncang dunia, memporak-perandakan segala bentuk jahiliah dan memimpinnya menuju kedamaian abadi di bawah keredhaan Allah swt.
Masyarakat utama ini sebelumnya adalah sekelompok kecil suku bangsa di padang pasir tandus yang tamadunnya terkebelakang dan tidak pernah diambil kira di dalam arena politik dunia. Mereka saling perang - memerangi antara satu sama lain: yang kuat memperhambakan yang lemah. Mereka menyembah pelbagai Tuhan yang dicipta sendiri. Tindakan-tindakan yang tidak bermoral merupakan pemandangan umum yang menjadi kebanggaan mereka.
Keadaan mereka berubah secara mendadak apabila Allah swt menurunkan utusanNya Muhammad saw untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan menuju cahaya, daripada kejahilan menuju Islam. Berkat kesabaran dan ketekunan Rasulullah saw, bangsa yang lemah dan terkebelakang ini dapat dipimpin menuju kebenaran hakiki. Segala bentuk kemusyrikan, baginda benamkam dengan kalimah tauhid, "Tiada Ilah kecuali Allah," sambil berperdomankan kepada panduan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Generasi baru ini lahir daripada sistem pembinaan yang diajarkan al-quran dengan pendekatannya yang sangat khas. Mereka adalah generasi al-quran yang kelahirannya dialu-alukan, penegak kebenaran dan mencemaskan penegak kebatilan.
Generasi al-quran memiliki ciri-ciri khas yang sangat membezakan mereka dengan generasi lainnya dahulu dan kini. Ciri-ciri khas ini telah menjadikan mereka masyarakat utama yang tidak dapat ditandingi. Di antara ciri-ciri khas itu ialah merujuk al-quran sebagai panduan hidup, menerapkan al-quran di dalam kehidupan nyata, menggantikan kejahiliahan dengan Islam dan membentuk masyarakat yang ideal.
Merujuk al-quran sebagai panduan hidup
Generasi al-quran yang dibina Rasulullah saw hanya mahu mengambil daripada satu sumber sahaja sebagai rujukan dalam segala aspek kehidupan mereka iaitu al-quran. Sunnah Rasulullah saw pula adalah sebahagian daripada sumber utama itu. Sekiranya mereka menghadapi sesuatu masalah, mereka akan segera kembali kepada al-quran terlebih dahulu bagi segala urusan sebelum merujuk kepada sumber-sumber lain. Mereka tidak akan terburu-buru mengerjakan sesuatu sebelum al-quran memerintahkannya dan mereka akan segera meninggalkan sesuatu urusan itu jika al-quran melarangnya.
Generasi ini menolak segala bentuk sumber selain al-quran walaupun pada masa itu telah wujud ajaran-ajaran nabi sebelumnya ataupun falsafah-falsafah Yunani yang tetap dijadikan rujukan sehingga ke hari ini. Mereka tidak mahu sumber-sumber selain al-quran mewarnai kehidupan dan menguasai fikiran mereka, hatta kitab-kitab terdahulu yang dibawa para nabi. Itulah sebabnya Rasulullah saw sangat murka kepada Umar ibnu Khattab ketika baginda mengetahui beliau membaca lembaran Taurat dan bersabda dengan tegasnya: Demi Allah, seandainya Musa as masih hidup di antaramu, maka nescaya dia pasti akan mengikuti ajaranku (HR Abu Yala).
Rasulullah saw sebagai pembina utama generasi al-quran memang sengaja membataskan sumber pengambilan generasi awal ini hanya kepada al-quran sahaja, agar mereka tetap bersih daripada pencemaran fahaman-fahaman di luar al-quran. Rasululah saw mengetahui sekiranya baginda mencampurkan al-quran dengan pelbagai falsafah manusiawi masa itu, maka ummah binaannya akan mengalami kemunduran dan tidak akan mencapai sasaran yang telah ditetapkan al-quran.
Demikianlah kenyataannya, generasi yang dibina Rasulullah saw yang hanya berpandukan al-quran semata-mata telah menjadi generasi agung sepanjang masa dengan segala keutamaan. Sebaliknya generasi sesudah mereka mencampuradukkan al-quran dengan falsafah-falsafah manusiawi lainnya, pada saat itulah generasi ini mengalami kemunduran yang sangat mendadak. Mereka telah kehilangan roh al-quran yang akan menjadikan mereka manusia utama akibat bercampurnya al-quran dengan falsafah manusiawi yang penuh dengan kekurangan dan tragedi.
Rasulullah saw membataskan sumber utama pengambilan generasi binaannya hanya kepada al-quran sahaja kerana generasi ini pada peringkat awalnya dikehendaki memiliki asas yang kukuh mengembangkan bentuk masyarakat ideal sepanjang masa. Asas yang kukuh ini hanya boleh diperolehi daripada sumber-sumber lainnya kerana ia melibatkan masalah keimanan, akidah dan keyakinan manusia kepada Allah swt, hari pembalasan, syurga, neraka dan segala hal yang ghaib yang tidak mungkin mampu disingkap kekuatan manusia. Oleh itu, perlu ada penjelasan langsung daripada Allah swt. Hanya Allah swt yang mampu menjelaskan segala permasalahan ini kepada manusia agar mereka benar-benar yakin. Atas dasar keyakinan inilah, kemudian mereka membangunkan tamadun dunia sebagai khalifah, wakil Allah swt di atas muka bumi. Penjelasan masalah keyakinan ini tidak mungkin mampu dihuraikan dengan tepat oleh ahli falsafah terkemuka, walaupun mereka telah berusaha dengan segala kemampuan yang ada pada mereka kerana manusia tetaplah manusia yang diciptakan dengan segala kekurangan.
Sekiranya Rasulullah saw berkeinginan untuk mencampurkan sumber pengambilan generasi binaannya dengan sumber falsafah manusiawi yang ada, tentu baginda telah melakukannya kerana hasilan falsafah pada masa itu tersebar luas dan menguasai tamadun dunia. Namun sejarah membuktikan Rasulullah saw tidak berbuat seperti itu, bahkan baginda menolak segala bentuk sumber selain daripada al-quran hatta kitab Taurat yang diturunkan kepada Musa as. Dengan roh dan kaedah al-quranlah Rasulullah saw membimbing generasi Islam terdahulu sehingga mereka menjadi generasi utama yang terlepas daripada segala bentuk kesesatan dan krisis masyarakat jahiliah.
Generasi ini menjadikan al-quran sebagai satu-satunya sumber rujukan utama kerana mereka sangat yakin kepada al-quran. Mereka sangat yakin al-quran akan dapat menyelesaikan segala permasalahan dan krisis yang mereka hadapi. Sikap inilah yang telah menjadikan mereka sebagai generasi utama sepanjang masa.
[Dipetik dari buku Generai Penyelamat Ummah oleh Hilmy Bakar Almascaty, terbitan Berita Publishing Sdn Bhd, 1995. Kuala Lumpur. Halaman 83-87]
No comments:
Post a Comment