Apa yang perlu dilakukan jika pasangan isteri atau suami tiba-tiba tidak lagi mahu berbual mesra seperti dulu? Jika bercakap pun, cuma perkara-perkara yang penting dan komunikasinya terhad.
Apabila ini mula berlaku, janganlah berharap untuk mendengar tutur kata romantis seperti ‘sayang’, ‘manja’ dan sebagainya. Malah jika perkara ini dibiarkan berlanjutan tidak mustahil sesebuah institusi perkahwinan itu menjadi semakin hambar dan lebih mengharukan mampu menghilangkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.
Jika ini mula terjadi dalam rumah tangga, ini adalah petanda awal bahawa komunikasi antara suami isteri sudah mula mengalami gangguan atau breakdown.
Pegawai Penerangan di Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga dan Negara (LPPKN), Fouziah Hanim Yahya berkata, apabila tanda-tanda kurang kemesraan itu berlaku, pasangan perlulah bermuhasabah dengan menanyakan semula apa sebenarnya diinginkan daripada kehidupan berkeluarga.
“Ambil masa untuk mengenali diri anda sendiri termasuk pasangan anda, kemudian cuba fahami perbezaan personaliti antara anda dan keluarga anda. Apabila sudah mengenalpasti keadaan tersebut, cuba tenangkan hati dan berkata pada diri sendiri bahawa anda boleh menerima pasangan seadanya,” ujarnya dalam ceramah di LPPKN, baru-baru ini.
Adalah penting bagi suami isteri mengutamakan 3K iaitu keyakinan, kepercayaan dan kasih sayang (3K), di mana perantara untuk 3K yang mantap ialah komunikasi.
Komunikasi boleh berlaku dalam banyak cara iaitu secara lisan, bukan lisan dan simbol. Ia juga terbahagi kepada dua bentuk iaitu interpersonal (dua hala atau lebih) dan intrapersonal (sehala atau diri sendiri).
“Mengapa komunikasi itu amat penting? Kerana menerusi komunikasi yang baik, kita dapat mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh pasangan secara jelas dan khusus. Komunikasi juga adalah medium untuk meluahkan perasaan, mengenali reaksi serta menyalurkan maksud yang tersimpan di dalam hati.
“Cara kita berkomunikasi itu mesti dengan betul, contohnya apabila berbicara dengan pasangan, mestilah memandang matanya dan jangan cakap dengan membelakangkan pasangan kerana itu menunjukkan yang kita tidak hormat kepada pasangan kita.
Konflik
“Jika kita mendapat pasangan yang banyak bercakap, pastikan kita menjadi pendengar yang baik, jangan bercakap serentak kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam komunikasi. Sebaiknya, dengar dengan aktif, tanamkan rasa hormat terhadap pasangan masing-masing dan tambah ilmu tentang cara bagaimana untuk menguruskan konflik bagi menyelesaikan isu yang diutarakan oleh pasangan,” jelas beliau.
Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang menghalang komunikasi dan perlu dikenal pasti oleh setiap pasangan suami isteri.
“Ini sebenarnya bermula dengan diri kita sendiri, justeru jika kita sebelum ini bukanlah seorang pendengar yang baik maka ubahlah menjadi sebaliknya. Jika tabiat kita suka menyampuk, cuba hentikan perangai itu, sebaiknya tunggu masa yang sesuai untuk berkata-kata.
“Reaksi atau mimik muka juga penting untuk menyalurkan maksud, justeru janganlah membuat mimik muka yang tidak disenangi oleh pasangan. Sebaliknya cuba berikan senyuman manis kepada pasangan anda untuk menenangkan hatinya.
“Mulakan eye contact ketika berbicara dan elakkan berbincang perkara yang tidak sesuai dengan keadaan yang tidak kena dengan topik yang ingin dibincangkan,” jelas Fouziah lagi.
Untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, adalah penting bagi pasangan yang mendengar, memberi perhatian kepada isu yang ingin dibincangkan oleh pasangannya.
Katanya, jika suami atau isteri yang mendengar itu mengambil serius perkara yang dibincangkan, maka pasangan akan merasakan bahawa mereka mempunyai tempat untuk bergantung dan mendapat kepercayaan.
“Kesimpulannya komunikasi yang baik demi keutuhan sesebuah rumah tangga itu terletak di tangan anda sendiri,” katanya.
[Utusan Online, 2 Mac 2008]
No comments:
Post a Comment