Friday, March 14, 2008

21 NGO, hufaz dapat zakat RM1.57 juta






Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan bantuan zakat bernilai RM1.57 juta kepada 21 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan sembilan badan dakwah daerah dalam satu majlis di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, semalam.Turut menerima sumbangan tersebut ialah 45 peserta hafazan al-Quran atau hufaz dari seluruh negeri Selangor.

Pengerusi LZS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kesemua NGO Islam dan badan dakwah daerah masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM50,000 setiap organisasi.

Beliau berkata, hufaz pula masing-masing menerima sumbangan antara RM1,200 hingga RM3,000 mengikut kategori.

"Kesemua sumbangan ini bertujuan untuk menggerakkan aktiviti peningkatan syiar Islam di negeri ini," kata beliau semasa berucap majlis penyampaian sumbangan tersebut di sini.

Hadir sama, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhamed Khusrin Munawi. Mohamad Adzib menerangkan, sumbangan kepada hufaz disalurkan kepada mereka yang berjaya melalui temu duga dalam program menghafaz al-Quran yang diadakan oleh JAIS baru-baru ini.

Jelas beliau, mereka terdiri daripada pelajar, guru tahfiz dan imam di negeri itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, pada tahun lalu, LZS telah mengagihkan bantuan zakat lebih RM174 juta melalui tujuh program antaranya pembangunan sosial, pendidikan dan dakwah.


[Utusan Online, 14/3/08]


 

No comments:

Post a Comment