Thursday, March 06, 2008

Ada pengundi didaftar lebih 40 tempat berbeza - Mafrel






Pilihan raya umum ke-12 ini akan terdedah kepada gejala penyamaran dan pengundian berganda apabila dakwat kekal dibatalkan penggunaannya oleh SPR hanya empat hari sebelum hari pengundian.

Pengerusi Malaysians For Free and Fair Election (Mafrel), Abdul Malek Hussin, berkata menurut kajian yang dijalankan ke atas daftar pemilih yang digazetkan untuk kegunaan pilihan raya umum ini, rekod-rekod dengan jelas menunjukkan bahawa terdapat nama-nama pemilih, khasnya pemilih pos didaftarkan secara berganda sebagai pemilih biasa.

"Dalam hubungan ini, Mafrel ingin menarik perhatian dengan satu contoh yang berlaku di Kelantan, di mana bahagian pilihan raya P026 Ketereh, didapati seramai 195 orang pemilih pos didaftarkan secara berganda sebagai pemilih biasa di beberapa lokaliti dengan pendaftaran yang menggunakan nama penuh dan tahun lahir yang sama, meskipun mempunyai nombor kad pengenalan yang berbeza," jelas Mafrel kepada media, dalam sidang media semalam.

Jelasnya, secara keseluruhannya bagi negeri Kelantan, Mafrel mendapati kes yang paling kronik melibatkan nama seorang pemilih pos (tentera), Ismail Ibrahim, yang berdaftar dalam Parlimen Ketereh, tetapi butiran nama penuh dan tahun lahir (1962) beliau didapati berdaftar sebagai pemilih biasa di 46 lokaliti yang berasingan.

Begitu juga, katanya bagi negeri Terengganu, yang melibatkan seorang pemilih pos (polis) yang berdaftar dalam P039 Dungun, didaftarkan sebagai pemilih biasa secara berganda di 40 lokaliti berasingan dengan butiran nama penuh dan tahun lahir (1957) yang sama.

"Keadaan sedemikian sangat berleluasa berlaku melibatkan beberapa bahagian pilihan raya yang lain di negeri Kelantan dan Terengganu dan tidak syak lagi ianya terdedah kepada gejala penyamaran dan pengundian berganda yang menjejaskan integriti proses pilihan raya," kata beliau.

 
[HarakahDaily.Net]

 

No comments:

Post a Comment