Wednesday, March 26, 2008

Kedah sejahtera






Kehadiran YAB Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan disambut ribuan orang ramai yang memenuhi setiap ruang perkarangan tempat ceramah. Deretan kereta dan motosikal menutupi Jalan Padang Golf hinggalah ke cabang tiga berdekatan lampu isyarat. Sambutan orang ramai kali ini sangat luar biasa kerana mereka ingin mendengar dan meraikan seorang menteri besar yang baru.

Ketibaan beliau ke perkarangan Putik bukannya dengan menaiki kenderaan sebaliknya terpaksa berjalan kaki beberapa meter kerana kesesakan di sepanjang jalan menghala ke situ. YAB Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan juga hadir dengan cara yang sama. Ribuan rakyat yang sedia menunggu kehadiran dua orang tokoh utama ini diiringi laungan takbir dari semasa ke semasa. Penceramah lain ialah YB Datuk Husam Musa dan YB Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Ceramah berkenaan adalah untuk meraikan petugas jentera pilihan raya yang lalu di mana jamuan makan dimulakan selepas asar yang melibatkan tujuh ekor lembu.

Kehadiran YAB Ustaz Azizan ke Kelantan umpama pulang ke kampung kerana nenek beliau berasal dari negeri ini sebelum berhijrah ke Kedah untuk membuka sekolah pondok. Beliau masih mempunyai saudara-mara di Pasir Hor.

Dalam ucapannya pada malam tersebut, beliau menceritakan hala tuju kerajaan negeri Kedah yang baru. Perkara pertama ialah menukar slogan "Kedah Gemilang" kepada "Kedah Sejahtera" kerana hidup yang sejahtera di dunia dan akhirat adalah lebih baik dan bermakna.

Rakyat Kedah yang tidak menduga akan berada di bawah pentadbiran negeri yang baru juga sedang mengalami perubahan demi perubahan seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina kemakmuran dan mempastikan rakyat hidup selesa. Meskipun Kedah ditadbir oleh PAS dan PKR, pelaksanaan hidup Islam akan diberi keutamaan di mana model pentadbiran negeri Kelantan akan dijadikan panduan dalam menguruskan hal ehwal negeri.

Ustaz Azizan juga menceritakan pengalaman beliau ketika melangkah masuk ke pejabat menteri besar. Beliau menyatakan kehairanannya kerana di dalam pejabat berkenaan tidak ada fail yang biasa dilihat disusun di sana-sini. Yang ada hanyalah empat buah telefon dan sebuah komputer riba. Lalu beliau membuat keputusan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis yang kemudiannya hadir bersama pakar forensik bagi mengenal pasti punca kehilangan fail-fail berkenaan.

Kerajaan negeri Kedah juga tidak akan menutup pusat tadika Kemas atau memecat mana-mana ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana peranan mereka kepada masyarakat sangat penting ketika ini. Tambahan pula kanak-kanak masih perlukan pendidikan awal supaya dapat memulakan proses membaca sejak kecil lagi. Justeru itu beliau menyangkal khabar angin yang menyatakan kerajaan negeri akan menutup semua tadika Kemas dan memecat ahli JKKK.

Kesejahteraan rakyat negeri Kedah dipanjangkan lagi dengan mengetatkan undang-undang penjualan arak dan judi. Bagi kes judi, nasihat daripada YAB Menteri Besar Kelantan dijadikan sebagai panduan bagi mempastikan masyarakat Islam dan bukan Islam di Kedah bebas daripada mala petaka judi ini.

Rakyat Kedah ingin melihat setiap janji dalam pilihan raya lepas ditunaikan supaya hidup mereka benar-benar berada dalam kesejahteraan. Di samping itu pembangunan juga tidak boleh ditolak ke tepi kerana ia menjana pendapatan negeri. Seterusnya dapat menjadikan semua perancangan ekonomi, peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat ditingkatkan.

Negeri Kedah adalah jelapang padi Malaysia. Kemakmuran yang dicapai sebelum ini diharap akan terus berkembang dan membawa keberkatan kepada semua kumpulan masyarakat.



 

No comments:

Post a Comment