Thursday, March 06, 2008

Kadar kemiskinan Malaysia turun kepada 3.6 peratus






Kadar kemiskinan di Malaysia berkurang kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 daripada 5.7 peratus pada tahun 2004.

Menurut Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob, pengurangan itu disumbangkan oleh pertumbuhan ekonomi yang positif dan usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan.

Katanya, tahap kemiskinan di bandar berkurangan daripada 2.5 peratus pada tahun 2004 kepada 2 peratus pada tahun 2007, manakala kadar kemiskinan di kawasan luar bandar turun kepada 7.1 peratus berbanding 11.9 peratus pada tahun 2004.

''Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 diyakini akan dapat dicapai,'' katanya dalam satu kenyataan bagi mengumumkan hasil Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2007, di sini hari ini.

Mengenai kemiskinan tegar pula, beliau berkata, kadarnya juga berkurangan kepada 0.7 peratus pada tahun 2007 berbanding 1.2 peratus pada tahun 2004.

Bilangan isi rumah miskin tegar pula turut menurun sebanyak 43 peratus kepada 38,400 orang pada tahun lalu berbanding 67,300 pada tahun 2004.

Dr. Sulaiman juga menjelaskan bahawa pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat kepada RM3,686 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,249 sebulan pada tahun 2004.

Peningkatan ini disebabkan oleh hasil pertumbuhan ekonomi yang positif yang dapat menjana banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan semua rakyat.

Pendapatan isi rumah di bandar naik kepada RM4,356 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,956 sebulan pada tahun 2004, manakala pendapatan isi rumah di luar bandar bertambah kepada RM2,283 sebulan berbanding RM1,875 sebulan, katanya.

Sementara itu, semua kumpulan etnik mencatat peningkatan pendapatan isi rumah dalam tempoh 2004 hingga 2007.

[Utusan Online, 6/3/2008]


 

1 comment:

  1. Anonymous9:49 AM

    baguslah kalau rakyat malaysia dah semakin kaya...tapi jgan smpai lupa diri pulak

    ReplyDelete