Tuesday, July 31, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (2)

Belajar ialah perubahan tingkah laku yang disebabkan oleh pengkayaan pengalaman. Proses belajar terlaksana melalui perkaitan mudah antara rangsangan dan maklum balas ataupun melalui siri aktiviti kognitif yang kompleks.

Terdapat dua kategori teori dalam pendidikan yang sentiasa diperdebatkan di kalangan pendidik. Dua teori ini tidak difahami dengan jelas oleh ibu bapa, pelajar ataupun pentadbir kerana tradisi pendidikan melihat kepada pemerhatian yang lebih menyeluruh dalam perkembangan minda, sikap dan tingkah laku manusia. Tidak seperti perubatan di mana pengamal perubatan akan melakukan diagnosis menyeluruh termasuk latar belakang untuk mencari sejarah pesakit. Kemudiannya barulah mencadangkan penyelesaian segera seperti makan ubat, ubah cara hidup atau menjalani pembedahan.

Teori pembelajaran tingkah laku mengandaikan bahawa pembelajaran adalah kesan daripada tindak balas persekitaran. Bagi mengesahkan teori ini, tingkah laku positif dan negatif akan disusuli dengan ganjaran atau dendaan. Jika tingkah laku berkenaan diikuti, ganjaran yang melimpah-ruah seperti pujian, makan percuma, potensi kerjaya dan sebagainya akan diperolehi. Jika tidak diikuti, tindakan kekerasan menjadi pilihan seperti dendaan, diberi amaran ataupun dibuang sekolah.

Pembelajaran kognitif adalah hasil daripada proses mental. Ingatan jangka masa pendek dan panjang yang tersimpan di minda separa sedar berperanan membekalkan maklumat untuk membuat keputusan.

Dalam masa seminggu ini, bidang pendidikan menjadi tumpuan seluruh negara apabila media menonjolkan tindakan seorang guru di Sarawak mendenda pelajar-pelajarnya di dalam kolam. Kemudian di Johor, pelajar mencekik guru kerana didakwa tindak balas spontan. Sebagai balasan, pelajar berkenaan dibuang sekolah.

Ada banyak kejadian yang melibatkan guru-pelajar diketengahkan oleh media kepada pembaca umum dengan pelbagai tujuan. Yang menjadi mangsanya adalah sistem pendidikan Malaysia yang sedang diperhati, dianalisis dan dibuat penilaian bukan sahaja masyarakat tempatan malah antarabangsa yang berminat untuk belajar di sini.

Ulasan yang keterlaluan, beremosi dan tidak ada semangat untuk membaiki keadaan hanya akan merosakkan sistem pendidikan negara yang sedang dibina. Semua pihak tentunya tidak mahu melihat sistem pendidikan yang menjadi nadi kepada pembentukan sosial masyarakat musnah sedikit demi sedikit kerana tidak telusnya pelaksanaan pendidikan oleh golongan pendidik.

Ulasan daripada semua pihak jika diamati adalah seimbang. Setengahnya berpendapat guru wajar diberi kuasa yang lebih luas untuk mendisiplinkan pelajar. Kuasa merotan umpamanya, wajar dikembalikan. Cadangan memperkenalkan kursus berkaitan psikologi juga menarik kerana masalah disiplin dan moral pelajar dewasa ini ada kaitannya dengan perkembangan jiwa mereka. Kita tentunya tidak mahu melihat suatu hari nanti guru atau profesor ditembak oleh pelajar seperti yang berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Di pihak pelajar, ibu bapa melihat anak-anak menjadi mangsa kepada sikap panas baran dan cepat melenting sesetengah guru. Justeru, mereka sanggup membuat laporan polis untuk menuntut keadilan. Sesetengah ibu bapa yang "tidak pernah menjentik telinga" anak mereka juga menggambarkan betapa mereka sangat sayang kepada anak-anak. Walau bagaimanapun terdapat beberapa kaedah lain yang lebih baik untuk membentuk peribadi pelajar yang lebih berani dan bertempat.

Alasan dan cadangan yang dianalisis di dalam media sangat baik ke arah penyelesaian yang menyeluruh. Pentadbir, guru dan ibu bapa masing-masing dengan pandangan yang bernas beserta justifikasinya.

Asas kepada pembentukan individu yang baik, berdisiplin, aktif dan punya jati diri yang sangat cemerlang ialah pendidikan akhlak sejak kecil. Atau dengan kata lain, pendidikan anak-anak bermula di rumah. Imam Hassan al Banna ketika ditanya bagaimana hendak mengubah masyarakat Mesir ketika itu yang sangat jauh daripada agama dan mengagungkan penjajah, beliau menegaskan ianya bermula dengan pendidikan di peringkat individu, kemudiannya keluarga seterusnya membebaskan masyarakat daripada pengaruh jahiliyah. Beliau mampu berkata demikian kerana beliau juga merupakan seorang guru dan perspektif pemikirannya ialah mendidik.

Justeru itu, apabila seorang guru mengambil tindakan disiplin untuk membetulkan pelajar dan memberi pengajaran yang sangat bermakna bagi masa depan anak didiknya, adakah guru itu telah melakukan kesalahan demi masa depan masyarakatnya?

Monday, July 30, 2007

Prosiding konvensyen kebangsaan agenda pembangunan sosial ke arah pembentukan masyarakat sejahtera dan saksama

Penyunting : Roziah Omar, Sivamurugan Pandian, Abd. Rahim Ibrahim, Chua Soo Yean dan Azrina Husin.
Tahun : 2006
Penerbit : Institut Sosial Malaysia, KPWKM
Muka surat : 261

Buku ini adalah kumpulan kertas kerja yang dibentangkan di Konvensyen Kebangsaan Agenda Pembangunan Sosial Ke arah Pembentukan Masyarakat Sejahtera dan Saksama pada Julai 2006 yang lalu. Terdapat sepuluh isu yang dibincangkan merangkumi keluarga, perpaduan masyarakat, agensi kerajaan, kemiskinan, media, wanita, dasar sosial negara, komuniti, pendidikan, sekuriti sosial dan belia.

Kertas kerja yang ditulis oleh pensyarah dan pakar dalam bidang sosial di Malaysia memberi pendedahan betapa kehidupan masyarakat semakin kompleks dengan pelbagai agenda pembangunan. Tidak dapat dielak lagi keperluan negara untuk mempunyai hala tuju sosial yang jelas bagi melahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera.

Dasar Sosial Negara (DSN) yang sedia ada wajar ditonjolkan sepertimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi katalis kepada pembangunan negara selama dua dekad. Pentingnya dasar sosial ini diberi perhatian adalah kerana isu-isu sosial negara tidak akan selesai jika semua pihak tidak memberi perhatian kepada perkara asas dalam pembentukan masyarakat.

Hari ini, dalam isu pendidikan umpamanya, pelajar dan guru sedang menghadapi masalah. Perkara ini turut mengheret sama pentadbir dan ibu bapa untuk bersama-sama mencari penyelesaian. Tidak ada masalah yang tidak dapat ditangani. Justeru, idea yang dibentangkan dalam buku ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu pendidikan untuk kembali melihat hala tuju dan apa yang mesti dilakukan.

Isu sekuriti sosial juga menjadi semakin penting ketika negara sedang menghadapi peningkatan golongan warga tua. Soal sama ada umur persaraan wajar dinaikkan atau tidak bergantung kepada keperluan golongan muda hari ini untuk menjadi lebih produktif. Akan sampai masanya, kita akan mengalami keadaan yang sama seperti masyarakat Barat pada hari ini yang sedang berhadapan dengan kadar kelahiran rendah dan memerlukan golongan pelapis untuk menjana pendapatan negara.

Ulasan Editor: Tidak banyak program seperti ini yang dapat dilaksanakan dalam setahun. Justeru penerbitan prosiding konvensyen ini dapat menebarkan maklumat terkini kepada khalayak untuk turut aktif membincangkan pembangunan sosial negara.

Friday, July 27, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (1)

Mendidik adalah profesion yang sangat penting hari ini. Dengan kaedah pengajaran dan penyelidikan yang semakin baik, menjadi seorang guru memerlukan kemahiran profesional yang lebih menonjol daripada sebelumnya. Kecemerlangan pada awal-awal tahun pengajaran seringkali menjadi satu cabaran yang menggentarkan kepada guru-guru baru. Jika kita bertanya guru-guru yang berpengalaman apakah resepi ketahanan mereka dalam proses mendidik pelajar, kebanyakannya akan berkata mengenai kepentingan memilih mentor.

Mengajar dan mendidik adalah proses yang mencabar. Ianya tidak mudah dilaksanakan. Banyak sebab kenapa seseorang memilih kerjaya sebagai guru. Barangkali ia ada kaitannya dengan pengalaman positif dengan guru ketika masih kanak-kanak. Barangkali juga melihat mengajar sebagai satu cara untuk menyumbangkan pengalaman bermakna kepada masyarakat dan berasa bangga dapat melihat orang lain berjaya. Atau mungkin juga tertarik dengan kehidupan sebagai guru yang menyeronokkan, pelbagai dan memberi rangsangan hidup yang istimewa.

Kajian oleh National Educatioan Association, NEA Research: Status of the American Public School Teacher 2000-01, Washington 2003 ke atas 1,467 guru mendapati keinginan bekerja dengan orang yang lebih muda mencatatkan 73 peratus dan peluang untuk mengembangkan kehidupan sebanyak 12 peratus. Lain-lain alasan ialah nilai pendidikan dalam masyarakat (44%), berminat dengan subjek tertentu (36%), pengaruh guru (32%), cuti yang panjang (21%), pengaruh keluarga (20%), pilihan utama (18%) dan pekerjaan yang selamat (16%).

Daripada alasan-alasan yang diperolehi ini, keinginan bekerja dengan orang yang lebih muda menjadi alasan yang kukuh kenapa seseorang memilih kerjaya guru. Walaupun mereka bekerja dalam suasana yang mencabar, gaji yang berpatutan dan terdapat kejadian yang tidak menggembirakan, kebanyakannya masih mengambil berat mengenai masa depan orang muda di dalam masyarakat. Guru yang baik akan berasa sangat puas apabila dapat menjadikan kehidupan pelajar lebih baik daripada sebelumnya.

Interaksi guru dan pelajar setiap hari akan membina ikatan yang amat kuat. Interaksi harian ini membolehkan guru dan pelajar saling kenal mengenal dari aspek peribadi dan keperluan akademik. Mengambil berat terhadap kebajikan pelajar akan membantu guru berhadapan dengan kesukaran dan kekecewaan sebagai seorang guru.

Carl Jung, pakar psikoanalisis terkenal berpendapat, "Jika direnung kembali, guru yang hebat adalah yang dapat menyentuh perasaan seseorang. Kurikulum adalah sesuatu yang sangat penting, tetapi kemesraan adalah elemen yang sangat kuat untuk perkembangan jiwa seorang kanak-kanak."

Guru biasanya akan menghargai kualiti-kualiti unik yang wujud pada kanak-kanak dan remaja iaitu peringkat perkembangan pelajar yang ada di sekolah. Mereka terhibur dengan sifat terbuka, percaya dan keinginan untuk tahu yang ada pada pelajar di samping jenaka, semangat dan idealisme seorang dewasa. Semua guru ingin dikaitkan dengan kejayaan pelajar mereka. Justeru terdapat satu hari khusus untuk guru yang dipanggil "Hari Guru" bagi memperingati jasa dan sumbangan guru di seluruh negara.

Cabaran sebagai guru

Seorang guru di sekolah menengah berkata: "Mengajar tidaklah susah. Saya sukakannya. Kecewa hanya masa-masa tertentu." Guru sentiasa berhadapan dengan cabaran dan pada masa yang sama wajar mengambil langkah untuk mengimbanginya dengan kepuasan. Maklumat yang banyak dapat membantu program mengajar yang berkesan, membina falsafah pengajaran yang mantap, membangunkan stratagi pengajaran, menguatkan kemahiran kepimpinan dan mencari pengetahuan berdasarkan penyelidikan dan teori sedia ada. Dengan cara inilah guru dapat mengimbangi kekecewaan dan cabaran.

Antara masalah yang sering dihadapi dan diketahui oleh guru ialah ibu bapa yang kurang memberi sokongan, pelajar tidak berminat, kurang bantuan kewangan, disiplin diri yang merosot, masalah keluarga, bilangan pelajar yang ramai dalam kelas, penyalahgunaan dadah, merokok, bergaduh dan masalah moral. Terdapat banyak lagi cabaran yang dihadapi oleh guru ketika berhempas-pulas mengajar dan mendidik ini.

Semua cabaran yang dihadapi sedikit sebanyak meninggalkan tekanan ke atas guru bagi jangka masa yang lama. Ada pendapat yang mengatakan kebanyakan penghuni hospital bahagia adalah guru. Ia kerana tekanan kerja menyebabkan pemikiran guru berkenaan menjadi bercelaru dan akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri.

Bekerja ketika pelajar tidak berminat, konflik dengan pentadbir, kritikan daripada masyarakat, kelas riuh-rendah kerana pelajar yang ramai, kurang sumber dan pendedahan negatif media menyumbang kepada tahap tekanan yang lebih tinggi. Jika tidak dibendung, tekanan kerja seperti ini akan menjurus kepada ketidakpuasan kerja, letih mental dan fizikal, dan tidak berupaya berhadapan dengan masalah secara berkesan. Akhirnya guru akan mendapat "burnout" iaitu sindrom klasik akibat tekanan kerja. Bagi mengelak sindrom ini, pihak pentadbir boleh mewujudkan elemen sokongan sosial dengan menggerakkan persatuan dan komuniti secara aktif, menyediakan kemudahan untuk latihan fizikal statik di sekolah, rangsangan intelektual melalui kursus, bengkel, seminar dan lawatan, menggalakkan perkembangan hobi yang lebih terancang, maklumat mengenai pengurusan diri yang lebih berkesan dan dinamik, dan galakan sokongan perubahan sikap yang berterusan.

Mengajar dan mendidik melibatkan banyak perkara, bukannya sekadar menyebarkan maklumat kepada pelajar dan lulus peperiksaan. Ianya melibatkan kasih-sayang, tanggungjawab, iltizam, dedikasi dan kesabaran. Untuk mengajar, guru perlu mempunyai keyakinan yang utuh dan menghormati keupayaan pelajar. Mengajar juga bukan hanya mengetip kad perakam waktu dari pukul 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Justeru, menjadi guru bukannya mudah tetapi kesabaran tentang mengajar dan mendidik akan menjadikan dunia guru penuh warna-warni.

Guru memberi cahaya kepada pelajar. Ketika semangat dan keyakinan pelajar mulai luntur, belaian dan tegas guru memberi inspirasi kepada kejayaan mereka. Guru mengajar dan mendidik untuk perubahan. Sekiranya pelajar tidak berubah, apakah guru telah melaksanakan peranannya?

Thursday, July 26, 2007

Tabiat 6 Pilih sikap yang betul

Perubahan masa menyebabkan kita berubah. Jika demikian kita dikatakan mengikut perubahan masa. Perubahan seharusnya memberi kebaikan seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam hadis berikut yang diriwayatkan oleh Al Dailami,

“Seseorang yang mempunyai dua hari yang tidak berbeza (dari segi pencapaian) pasti menemui kegagalan.”

Membuat perubahan sering menjadi masalah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan. Masalah yang paling besar ialah takut kepada perubahan kerana belum mengetahui apa yang bakal berlaku. Islam dapat mengatasi rasa takut ini dengan memberi semangat dan rangsangan untuk berusaha membuat lebih baik.

Kenapa sesetengah daripada kita berasa hairan apabila melihat individu, organisasi atau negara lebih berjaya daripada yang lain sedangkan persekitaran mereka adalah sama? Walaupun di luar sama tetapi apa yang terkandung di dalam diri berbeza-beza. Perkara yang terdapat di dalam diri membuatkan kita maju adalah sikap kita.

Terdapat seorang lelaki yang menjual belon di karnival kanak-kanak. Dia mempunyai belon yang berwarna merah, kuning, biru dan hijau. Apabila jualannya lembap, dia akan melepaskan belon berisi helium ke udara dan apabila kanak-kanak melihat ia naik tinggi, mereka ingin memilikinya. Mereka datang kepada lelaki itu membeli belon dan perniagaannya maju semula. Dia mengulangi keadaan itu setiap hari.

Suatu hari dia terasa ada seseorang menarik hujung jaketnya. Dia menoleh dan ternampak seorang budak lelaki yang bertanya, “Kalau awak melepaskan belon berwarna hitam, bolehkah ia terbang juga?” Lelaki itu menjawab, “Nak, bukan kerana warna belon tersebut tetapi apa yang terkandung di dalamnya yang membuatkan ia naik ke atas.”

Sikap dan kejayaan sentiasa bergerak selari. Sikap yang positif menentukan kejayaan manakala sikap yang negatif memberi laluan kepada kegagalan.

Di Malaysia, kita mendengar kisah jutawan internet yang masih muda iaitu Irfan Khairi, 28 tahun. Beliau bekerja dari rumah dan memperolehi pendapatan RM1 juta. Beliau adalah pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom, mula memegang status jutawan muda sejak berumur 25 tahun.

Irfan Khairi mempunyai sikap yang positif terhadap kekayaan dan usaha-usaha ke arah itu. “Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata tetapi terpaksa berusaha selama tujuh bulan untuk menjadi jutawan,” ujar anak muda ini ketika mendedahkan rahsia. Impiannya jelas iaitu duduk sebaris dengan tokoh-tokoh jutawan internet yang lain.

Sikap dan perilaku sangat selari dengan kejayaannya. Semasa berumur 18 tahun, beliau menetapkan matlamat hendak menjadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. “Saya menulis matlamat hendak menjadi jutawan di atas kertas yang disimpan di dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari.”

Keinginan hendak menjadi kaya lahir daripada dalam dirinya sendiri dan diperkuatkan lagi dengan keazaman dan kemahuan yang kuat. “Saya percaya apa yang dibaca dengan berulang-ulang, akhirnya akan menjadi kenyataan.” Irfan Khairi percaya pada apa yang ditulis dan beliau membuktikannya.

Sikap yang mantap dan berterusan bermula dengan perubahan cara berfikir. Ianya bermula dengan menyiapkan pemikiran ... jika kita fikir boleh melakukan sesuatu, kita akan mulakan langkah merancang dan bergerak ke arah tersebut. Barulah kita boleh lihat sama ada kita betul-betul mahu atau tidak.

Pakar motivasi di Malaysia, Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pernah bercerita mengenai ais batu yang menyebabkan tangan seorang peserta seminarnya rasa seperti melecur. Ketika memilih peserta berkenaan, dia meminta peserta itu memejamkan mata sambil meminta izin hendak memanaskan hujung jari supaya rasa sedikit panas. Ketika asyik memejamkan mata, Dr. Fadzilah meletakkan seketul ais batu di atas tapak tangan pesertanya.

Kekuatan mental dan kepercayaan bahawa tangannya semakin panas, tapak tangan peserta tadi hampir kelepuhan. Di fikirannya ialah apa yang dia fikirkan ialah api panas sedang merayap di atas tapak tangannya. Apabila dilihat sendiri, barulah dia percaya tangannya melecur.

Minda adalah benteng terakhir perubahan sikap dan tindakan. Roger Barrister membuktikan dia boleh berlari satu batu dalam masa kurang daripada empat minit. Jarak satu batu dapat ditamatkan dalam masa 3 minit 59 saat setelah beliau yakin dirinya boleh melakukan sesuatu yang difikirkan mustahil oleh orang ramai sebelum itu.

Pakar motivasi Amerika Syarikat, Anthony Robbins yang terkenal dengan kata-kata berapi, “The mother of skills is repetation,” maksudnya ialah punca kepada segala kemahiran adalah ulangan. Anthony Robbins terkenal kerana keupayaannya memberi motivasi kepada ramai orang di seluruh dunia khususnya di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain.

Jujur kepada tindakan dan usaha juga merupakan sikap yang amat bermakna. Kejujuran memberikan kekuatan biarpun memberi kesusahan kepada diri sendiri. Kisah seorang kanak-kanak yang terpilih menjadi pengganti maharaja ini boleh membuatkan kita berfikir betapa pentingnya kejujuran.

Seorang maharaja di negara sebelah Timur semakin meningkat umur dan sudah sampai masanya untuk memilih pengganti yang layak bagi memerintah kerajaannya. Baginda membuat keputusan untuk membuka pencalonan kepada rakyatnya di seluruh negara dan tidak mempedulikan penolong atau anak-anaknya sendiri. Maharaja ini mahu melakukan sesuatu yang berbeza!

Pada suatu hari, baginda memanggil anak-anak muda yang pintar, cerdas dan terpilih datang ke taman istana kerana mahu melihat bakal-bakal pewaris takhta. Katanya,“Sudah sampai masanya beta turun dari takhta dan memilih maharaja yang baru. Beta telah merancang untuk memilih salah seorang daripada kamu yang ada di sini, wahai anak-anak muda.”

Kanak-kanak ini terkejut!

Tetapi maharaja meneruskan titahnya.

“Beta akan memberi anak benih kepada kamu semua pada hari ini ... sangat istimewa. Beta mahu kamu menanam biji benih ini, siram dengan air dan jaga betul-betul. Setahun dari sekarang, kamu datang semula ke sini. Beta akan memilih tanaman yang kamu bawa dan beta juga akan memilih salah seorang daripada kamu untuk menjadi maharaja.”

Seorang kanak-kanak yang bernama Ling sangat seronok menerima bijih daripada maharaja dan pulang ke rumah lalu menceritakan kepada ibunya apa yang harus dilakukan.

Ibu menyediakan pasu bunga dan mencari tanah yang sesuai untuk mempastikan biji benih ini dapat tumbuh dengan baik.

Setiap hari Ling akan menyiram pasu bunga dan hatinya sentiasa teruja untuk melihat biji benih tadi tumbuh.

Tiga minggu telah berlalu, kawan-kawannya yang lain mula bercakap mengenai biji benih masing-masing yang mula tumbuh. Ling sentiasa memeriksa biji benihnya tetapi tidak ada tanda-tanda hendak membesar atau mengeluarkan tunas.

Tiga minggu, empat minggu, lima minggu telah berlalu tetapi tidak ada apa-apa.

Sehingga sekarang, rakan-rakannya yang lain bercakap tentang pokok masing-masing yang telah membesar, merimbun dan sangat cantik tetapi Ling telah menyalahkan dirinya kerana membunuh biji benih maharaja. Dia menyesal.

Enam bulan berlalu, Ling masih terkial-kial dan berasa malu dengan rakan-rakan setiap kali ditanya apa yang berlaku pada pokoknya. Ling diam sahaja tetapi terus berharap ada pokok yang akan tumbuh nanti.


Sampai genap setahun, anak-anak muda yang diberi tugasan oleh maharaja perlu kembali mengadap baginda untuk mempersembahkan hasil masing-masing. Ling memberitahu ibunya yang dia keberatan untuk pergi kerana pasu bunganya kosong, biji benih tak mahu hidup!

Seorang ibu yang baik menasihati anaknya. “Pergilah, awak mesti jujur dan beritahu apa yang telah berlaku”. Ling tahu ibunya betul lalu dia mengambil pasu bunga dan beredar ke istana maharaja.

Apabila Ling sampai ke taman istana, dia terkejut kerana melihat pelbagai jenis pokok yang berwarna-warni. Cantik dan menarik. Ling meletakkan pasu bunganya yang kosong.

Kah! Kah! Kah! Semua rakannya ketawa. Mana pokoknya?

Ling menundukkan kepala dan mulai risau apabila maharaja berangkat untuk melihat hasil bakal maharaja, pemegang amanah negara. Dia memilih untuk berada di belakang rakan-rakannya yang lain kerana takut maharaja murka.

Apabila berada di hadapan pokok bakal maharaja, baginda terkejut. “Pokok apa yang telah kamu tanam ni, macam-macam jenis. Tapi tak mengapa. Hari ini beta akan memilih bakal pengganti beta.”

Semua pasu bunga bakal maharaja ada pokok masing-masing kecuali Ling. Dari celah-celah rakan-rakannya, Ling dipanggil ke hadapan oleh Maharaja.

Hati Ling semakin bergetar. “Mahu aku dibunuhnya kerana aku telah gagal!”

“Siapa nama kamu?” tanya Maharaja.

“Ling.” Ketika ini rakan-rakannya mula ketawa. Lucu.

Maharaja mula merah mukanya dan meminta semua sekali diam. Bukan masanya untuk berjenaka dan bergelak ketawa.

Baginda melihat ke arah Ling dan membuat pengumuman kepada yang hadir.“Inilah maharaja yang baru, namanya Ling!”

Ling tidak percaya. Macam mana dia boleh menjadi maharaja? Biji benihnya tak pernah tumbuh?

Maharaja seorang yang bijak. “Setahun yang lalu, beta telah memberi setiap orang bakal pengganti beta sebiji benih. Beta menyuruh kamu menjaga biji benih ini dengan baik, menyiramnya dan bawa balik kepada beta pada hari ini. Tetapi tahukah kamu apa jenis biji benih tersebut? Ia telah dimasak dengan air panas dan tidak akan tumbuh. Apabila kamu dapati biji benih ini tidak tumbuh, kamu gantikan dengan yang lain. Jadi, pada hari ini hanya Ling seorang yang berani membawa pasu bunga kosong kepada beta. Oleh itu, beta memilih Ling sebagai maharaja baru!”

Jika menanam kejujuran, kamu akan mendapat kepercayaan.
Jika menanam kebaikan, kamu akan mendapat persahabatan.
Jika menanam kemanusiaan, kamu akan mendapat penghormatan.
Jika menanam ketekunan, kamu akan mendapat kemenangan.
Jika menanam pertimbangan, kamu akan mendapat keharmonian.
Jika menanam kuat bekerja, kamu akan mendapat kejayaan.
Jika menanam kemaafan, kamu akan mendapat keakraban.
Jika menanam kesabaran, kamu akan mendapat kekuatan dalaman.
Jika menanam keimanan, kamu akan mendapat syurga.

Jika menanam penghinaan, kamu akan mendapat pembelotan.
Jika menanam kepentingan diri, kamu akan mendapat kesepian.
Jika menanam bangga diri, kamu akan mendapat kekecewaan.
Jika menanam kemalasan, kamu akan mendapat kebuntuan.
Jika menanam permusuhan, kamu akan mendapat pemencilan.
Jika menanam ketamakan, kamu akan mendapat kerugian.
Jika menanam fitnah, kamu akan mendapat musuh.
Jika menanam kebimbangan, kamu mendapat kekedutan di wajah.
Jika menanam dosa, kamu akan mendapat neraka.

Wednesday, July 25, 2007

Tiga menteri kabinet mahu guru tidak putus asa

“Kami dulu terdiri daripada anak murid yang kena cubit, kena piuh telinga, kena rotan di tapak tangan dan kena pelbagai disiplin tetapi ibu bapa hormat tindakan itu bagi melahirkan masyarakat berdisiplin,’’ kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau mencadangkan kaedah hukuman jenis itu wajar ‘dilihat balik’ dalam usaha mendisiplinkan pelajar.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, masih terdapat sebilangan besar anggota masyarakat yang mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan guru. Justeru, katanya, guru perlu tabah dan tidak mudah berputus asas dalam menjalankan amanah mereka.

‘‘Saya nak ingatkan kepada guru yang lain, jangan perkara-perkara yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini meluntur dan melemahkan semangat mereka,’’ katanya.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin pula berkata, tindakan tegas para guru sering kali disalahertikan oleh segelintir pihak sedangkan kaedah pengajaran yang tegas telah terbukti melahirkan generasi yang berdisiplin.

Beliau berkata, apa yang cuba dibuat oleh warden asrama sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini mungkin satu pengajaran kepada kumpulan pelajar itu supaya tidak mengulangi kesalahan mereka.

“Kita tak dapat nafikan ada guru yang berniat baik. Kita tidak nafikan guru di Sarawak itu mempunyai niat baik kerana masalah yang dihadapi telah berpanjangan dan bukan baru. “Malah dari segi agama pun kadang-kadang Tuhan turunkan bala untuk memberi peringatan dan pengajaran. Apa yang guru ini buat ialah supaya setiap murid bersama berkongsi perbuatan salah dan mencegah orang lain daripada membuat perkara sama,” katanya.

Ketiga-tiga menteri itu ditemui selepas pertandingan akhir Kuiz Perdana Khas Kemerdekaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini hari ini.

Menurut mereka, para guru tidak seharusnya mudah berputus asa dengan kritikan negatif yang dilemparkan terhadap profesion itu dalam media sejak akhir-akhir ini dan mereka perlu bersikap profesional menangani isu berkaitan dengan cara guru menangani masalah disiplin pelajar.

Mereka meminta masyarakat supaya tidak menghukum terlalu cepat guru yang dianggap bersikap keterlaluan dalam menangani disiplin a pelajar kerana terdapat guru yang betul-betul komited dalam menjalankan tugas mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Menteri-menteri itu juga mahukan para guru bersikap terbuka dan menjadikan laporan media itu sebagai suatu iktibar.

Media sejak akhir-akhir ini menyiarkan laporan mengenai tindakan yang dianggap keterlaluan oleh guru ketika menghukum pelajar yang melanggar disiplin.

Terbaru adalah kes seorang guru yang juga warden asrama sebuah sekolah di Sarawak yang bertindak merendam 200 pelajar perempuan di dalam kolam ekoran kesalahan mereka membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sungguhpun telah ditegur berkali-kali.

Hishammuddin turut mengingatkan para guru supaya berhemah dalam tindakan mereka menghukum pelajar supaya ia tidak disalahertikan dan menyebabkan guru lain berasa bersalah. Sementara itu, Rais berkata, pendekatan untuk mendidik pelajar memerlukan penggabungan pendekatan lembut, pendekatan tegas dan tindakan disiplin.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan disiplin itu boleh diperhalusi supaya ia sesuai dengan tuntutan zaman tanpa mengurangkan nilai pengajaran terhadap murid-murid yang terlibat.

Sumber: Utusan Online

Tuesday, July 24, 2007

Fenomena Harry Potter di Malaysia

Harry Potter telah mengenakan sihir kepada pembaca-pembaca di seluruh dunia, yang membeli 72.1 juta naskah siri akhir pengembaraan seorang budak lelaki. Bagaimanapun jumlah terkini hanya akan dikeluarkan pada Selasa ini.

Di Britain sahaja, sebanyak 2.6 juta naskah buku "Harry Potter and the Deathly Hallows" dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan jualannya pada pukul 12.01 pagi Sabtu lepas. Buku berkenaan dijual secara besar-besaran di kedai buku, pasar raya, Internet dan wakil penjual. Ia tidak dihadkan kepada mana-mana kedai buku seperti yang berlaku di Malaysia.

Perbalahan harga di antara pengedar buku MPH, Popular, Times dan Harris dengan pasar raya Tesco dan Carrefour menyebabkan empat pengedar buku berkenaan memboikot jualannya kepada masyarakat umum. Ketika Carrefour dan Tesco menawarkan harga RM69.90 senaskah, pengedar lain tetap mahukan harga pada RM109.90. Perbezaan RM40.00 ini amat menguntungkan pembaca kerana boleh mendapat buku yang diminati dalam julat harga yang kompetitif.

Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata perang harga berkenaan sangat baik bagi pengguna dan menggalakkan orang ramai membaca.

"Jika harga barang yang rendah dan dapat ditanggung oleh pembekal, ia sangat baik dan tidak menyalahi undang-undang. Jika peniaga dapat mengurangkan harga, kita wajar menggalakkannya kerana dapat memberi manfaat kepada orang ramai."

Harry Potter dicetuskan oleh JK Rowling yang merentap minat dan menarik perhatian pembaca di seluruh dunia dengan mengadunkan pelbagai elemen emosi: jenaka, daya juang, keselamatan, sedih, ganas dan kelemahan manusia – kadangkala dalam satu watak. Terdapat juga bahagian yang membuatkan pembaca ketawa berpanjangan di samping elemen sedih yang membuatkan pembaca menangis tidak tentu pasal.

Rowling adalah penulis yang berbakat, berkongsi pelbagai perasaan yang menyentuh hati dan telah membina watak-watak yang sarat dengan mesej. Jalan ceritanya juga kompleks. Bagi menghargai pembaca setia, beliau memuatkan sindiran, menambah kesaktian terhadap mentera dan objek-objek tertentu. Dia juga berjaya melindungi kelemahan-kelemahan yang terdapat pada buku-buku sebelumnya.

Dari "Harry Potter and the Sorcere's Stone" ke "Deathly Hallows," Rowling telah melengkapkan kitaran yang menakjubkan mengenai pengembaraan seorang budak lelaki bestari. Kisah ini bakal menjadi cerita klasik pada masa depan.

Sambutan buku terbaru Rowling di kalangan pembaca tempatan lebih kurang sama dengan rakan-rakan mereka di Amerika Syarikat dan Britain. Mereka beratur panjang ketika subuh masih gelap dan terus menerpa ke rak buku sejurus selepas pintu kedai dibuka. Konflik di antara pengedar buku dan pasar raya mungkin menjadikan orang ramai berminat untuk mendapatkan buku berkenaan.

Membaca novel adalah tabiat yang dibina sejak kecil dan berterusan. Seawal umur tiga tahun, seorang kanak-kanak boleh diajar membaca untuk mengenali huruf, membunyi dan membuat ayat-ayat yang mudah. Bimbingan dan peneguhan bagi menanam minat membaca dapat mempercepatkan budaya membaca walaupun ibu bapa dan rakan-rakan yang lain agak malas membaca.

Kita jarang melihat penulis tempatan dinanti-nanti penerbitan novel terbarunya seperti yang berlaku ke atas Rowling. Di Malaysia, belum ada penulis yang hidup mewah semata-mata dengan menulis buku. Di sinilah bezanya menulis untuk memberitahu dan menulis untuk memberi hiburan. Penerbit buku di Barat berjaya mencetuskan fenomena Harry Potter melalui kempen pemasaran yang sangat berkesan.

Mereka mencipta watak, mengangkat watak tersebut ke tahap tertinggi dan menyebarkannya ke seluruh dunia pada masa yang serentak. Kelebihan era globalisasi digunakan sepenuhnya bagi melariskan jualan. Seterusnya cerita berkenaan difilemkan dan pembaca kini mempunyai pilihan: buku atau filem.

Rowling, 41 tahun dari Britain mempunyai kekayaan sebanyak US$1 bilion. Beliau mempunyai tiga orang anak dan pernah hidup dengan bantuan kebajikan di Edinburgh, Scotland. Pernah belajar di University of Exeter dalam jurusan sastera. Berada pada kedudukan 891 dalam senarai individu terkaya Forbes 2007, jualan keseluruhan buku siri Harry Potter telah menjangkau sebanyak 325 juta naskah. Manakala bayaran royalti dan hasil jualan barang-barang yang berkaitan Harry Potter dianggarkan sebanyak US$3.5 bilion.

Jualan DVD bagi Goblet of Fire (2005) membawa pulangan sebanyak US$259 juta. Universal Studio pula akan membina taman tema Potter pada tahun 2009 nanti.

Penulis lain yang berjaya di peringkat dunia ialah Paulo Coelho. Jika Rowling memberi perhatian kepada kanak-kanak dan remaja, Coelho memberi perhatian kepada kelompok dewasa. Beliau terkenal dengan buku "The Alchemist" yang menjadi buku paling laris di Brazil. Manakala "The Zahir" telah diterjemahkan ke dalam 44 bahasa. Buku pertama beliau ialah "Hell Archives" yang ditulis pada 1982 merupakan pengalaman benar yang dialaminya.

Sehingga sekarang Coelho telah menjual sebanyak 85 juta naskah buku dan menjadi penulis paling banyak menjual buku pada tahun 2003. "The Alchemist" sahaja telah dijual sebanyak 30 juta naskah di lebih 18 buah negara.

Kejayaan penulis-penulis Barat sangat mengagumkan. Keupayaan mereka menembusi pasaran pembaca seluruh dunia dengan karya-karya yang menarik membuka mata masyarakat untuk melihat betapa menulis dapat membina kekayaan dan kemewahan. Bagi Malaysia yang mempunyai penduduk 26 juta orang, usaha melahirkan penulis berbakat seperti Rowling dan Coelho perlu digalakkan dari semasa ke semasa. Gerakan kempen aktif membaca di kalangan masyarakat hendaklah sentiasa diperhebatkan supaya penulis-penulis tempatan boleh juga menjadi kaya-raya seperti rakan-rakan mereka di Barat.

Monday, July 23, 2007

Masyarakat Islam Hadhari: satu tinjauan epistemologi dan kependidikan ke arah penyatuan pemikiran bangsa

Penulis : Wan Mohd Nor Wan Daud
Tahun : 2007
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Muka surat : 247

Islam apa? Islam siapa? Apakah "Islam Hadhari" merupakan suatu gagasan yang menyeleweng dan harus ditolak, atau sesuatu yang boleh membantu umat Islam mengharungi cabaran-cabaran genting masa kini? Dalam keadaan perpecahan politik dalam kalangan umat Islam dan bangsa Melayu yang begitu meruncing, apakah terdapat kemungkinan untuk kita bersatu semula demi agama, bangsa dan negara?

Sebenarnya, apakah umat Islam dan bangsa kita ini telah merdeka, dan bagaimanakah kemerdekaan ini harus dinilai? Bagaimanakah umat Islam di Malaysia, khasnya bangsa Melayu boleh memastikan bahawa kegemilangan dan keterbilangan umat Islam dan bangsa melayu pada zaman lampau dikecap semula dengan mengambil kira kekuatan-kekuatan bangsa pada masa kini?

Kesemua soalan besar ini akan terjawab jikalau kita membaca buku ini dengan hati-hati dan merenung fikir hujah-hujah, analisis serta saranan-saranannya dengan teliti dan fikiran terbuka. Perbincangan tentang "Islam Hadhari" dikaitkan dengan penelitian terhadap epistemologi Islam dan kaedah berfikir Melayu. Konsep ini turut dihubungkan dengan peranan pendidikan, khususnya yang tertinggi sebagai tahap terpenting dan strategik dalam pembinaan sebuah Masyarakat Islam Hadhari yang menjadi teras sesebuah peradaban.

Buku ini menghidangkan satu lagi santapan akliah yang berupaya membantu semua lapisan rakyat berpendidikan serta golongan pentadbir di negara ini berfikir memusatkan cita dan usaha dalam perjalanan panjang membawa umat ke tahap yang terbilang, dengan mengunakan kaedah keilmuan dan pendidikan yang terpancar daripada pandangan alam Islam dan dibantu pula oleh pengalaman-pengalaman semasa yang bermanfaat.

Ulasan Editor: Huraian yang padat di dalam buku memerlukan analisis yang lebih mendalam. Kumpulan pemikir, usrah atau halaqat dapat membantu menambah kefahaman mengenai Masyarakat Islam Hadhari ini yang sedang rancak dibincangkan.

Friday, July 20, 2007

Kemelut guru dan pentadbir

Penangguhan pelaksanaan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam perkhidmatan Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh negara merupakan satu keputusan yang sangat berkait dengan keupayaan merancang dan menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan dalam sektor pendidikan. Bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap kemasukan secara tidak teratur pegawai PTD ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri itu dilihat sebagai penolakan kuat ke atas penguasaan skim berkenaan.

Beberapa bulan yang lalu NUTP bersetuju untuk berkompromi dengan kemasukan PTD 41 tetapi tidak bersedia untuk menyerahkan dominasi kepada PTD 48 dan PTD 52. Selepas sahaja mereka melihat terdapat keputusan yang tidak konsisten dengan kompromi awal, semua kemasukan PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri ditolak oleh NUTP. Menteri yang bertanggungjawab telah membuat pengumuman bagi menggantung pelaksanaan tersebut secara mendadak walaupun sebelum ini terdapat kata putus yang kukuh daripada kementerian sendiri.

Artikel ini ingin mengkaji kenapa keputusan tersebut dibuat dan apakah kesannya ke atas kewibawaan pihak yang merancang pelaksanaannya. Perspektif yang ingin diberikan ialah melihat pendidikan tidak boleh dijadikan sebagai eksperimen peluasan kuasa sesuatu perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang lain lebih-lebih lagi yang melibatkan profesionalisme perguruan.

Perkara pertama yang difikirkan ialah kenapa Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera bagi menggantung kemasukan PTD ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri? Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Dari sudut perancangan, ternyata pelaksanaannya tidak seindah yang dirancang. Profesion perguruan adalah satu kerjaya profesional yang hanya dapat ditunaikan oleh mereka yang melalui proses yang panjang. Bukannya guru jika datang mengajar dan tidak tahu apa yang sepatutnya diajar. Tugas guru di Malaysia hari ini sangat mencabar. Selok-belok kerjaya guru hanya dapat dinyatakan oleh mereka yang telah melalui latihan perguruan, bukannya pentadbir yang inginkan penguasaan atas alasan ingin menambah baik perkhidmatan pendidikan.

Guru ialah guna untuk rakyat umum. Mereka yang menjadi guru diletakkan pada kedudukan istimewa di dalam masyarakat kerana peranan yang sangat penting dan bermakna. Seorang guru akan dipanggil "cikgu" di sepanjang hidupnya sehinggalah dia mati. Namanya akan dikenang oleh anak muridnya dan ibu bapa selama-lamanya. Ingatan dan jasa guru akan dibawa sehingga ke akhirat di mana peranannya membuat kebajikan ke atas akhlak manusia akan dibentangkan di hadapan Tuhan.

Seorang pentadbir amat berbeza dengan guru. Jangka hayat diingati oleh orang lain tidak lama kerana yang akan ingat hanyalah mereka yang pernah berjumpa dan berkhidmat dengannya. Panggilan "tuan" hanya setakat di dalam perkhidmatan, selepas itu hanya dikenali sebagai pak cik sahaja. Sehinggalah lima hingga sepuluh tahun pencen, namanya sudah dilupai. Jasanya ketika berkhidmat seperti membuat keputusan penting tidak akan diingati lagi kerana peredaran masa sangat cepat. Apabila mati, ramai yang telah lupa kepadanya.

Pendidikan dan persekolahan adalah elemen penting bagi sesebuah kerajaan. Di Malaysia, guru mewakili sebahagian besar ahli sektor awam dan perlu diberi pehatian serius. Masalah mereka mesti didengari dan diselesaikan. Keperluan mereka mesti dipenuhi dan difikirkan supaya dalam pilihan raya yang akan datang, sokongan tidak beralih kepada pihak lain. Justeru pembuatan keputusan yang tidak memihak kepada guru, walaupun dilihat kecil, ianya memberi impak yang besar ke atas persepsi para guru. Justeru, para guru yang mendapat DG 41 tetapi bergaji rendah wajar diselesaikan segera. Jika berlarutan, bukan sahaja anak murid yang tidak tenteram, ibu bapa juga resah dan gelisah.

NUTP, sebagai suara utama para guru, telah memainkan peranan memberi maklum balas kepada kementerian supaya mendengar dan merasai masalah pegawai pendidikan yang tidak ada lagi peluang kenaikan pangkat setelah PTD mula menjejakkan kaki ke Jabatan Pelajaran Negeri. Kerisauan pegawai pendidikan ini memang amat dirasakan kerana amat sukar bagi mereka untuk bergerak dari gred 41 ke 48. Skim PTD berbeza. Dari gred 41 ke 44 hanya mengambil masa tiga hingga lima tahun seterusnya dalam tempoh sepuluh tahun, ada yang telah mendapat gred 48. Bagi pendidik, gred 48 terlalu jauh untuk untuk dicapai.

Umum melihat penarikan balik keputusan menempatkan PTD di sektor pelajaran negeri tidak konsisten. Keputusan telah pun dibuat dan ianya akan dilaksanakan.

Jangan pula konflik ini mengganggu kelancaran sistem pendidikan negara yang dilihat dinamik ketika ini dengan pengenalan PPIP, RIMUD dan sekolah pintar. Tugas guru juga bertambah. Gaji juga lebih baik. Walau bagaimanapun pentadbir lebih berkuasa.

Kadangkala penguasaan satu perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang lain mengundang rasa tidak puas hati. Suatu ketika dulu ada cadangan untuk menempatkan PTD sebagai ketua jabatan di sektor kesihatan tetapi apabila para pegawai kesihatan berpadu dan menetapkan ketua berkenaan harus melaksanakan kerja di bilik pembedahan, tidak ada lagi cadangan demikian. Barangkali para guru harus berpadu dan mencadangkan pegawai yang ingin berkhidmat di sektor pendidikan perlu mengajar di kelas selama 100 jam sebelum layak ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri.

Tugas profesional harus dilaksanakan oleh mereka yang profesional dan arif dalam bidangnya. Tidak perlu mencampuri urusan orang lain yang telah lama melaksanakan kerja mereka disebabkan ingin menambah baik perkhidmatan sedia ada kerana ia hanyalah "umpama tikus membaiki labu" yang tidak ada faedahnya kepada sesiapa, lebih-lebih lagi anak murid di sekolah.

Thursday, July 19, 2007

Tabiat 5 Kehebatan “Ya”

“Ya” memberikan inspirasi, harapan, kekuatan dan keinginan. “Ya” menghadirkan sinar dan peluang untuk menzahirkan keyakinan diri yang sebenar. Pengalaman mengiktiraf “Ya” memberikan tenaga, cabaran dan melihat sesuatu secara positif.

“Ya” bukan hanya untuk menjawab soalan tetapi untuk dinyatakan pada impian, angan-angan dan kenangan yang indah. “Ya” untuk mengukuhkan hubungan sesama rakan, kerjaya dan persekitaran.

Adakah membenarkan “Ya” bererti mengesahkan semua perkara? Jelas, sekali-kali tidak. Kefahaman, pertimbangan yang adil, kesejahteraan, sensitiviti, kesedaran dan keselamatan masih diperlukan.

Kita harus berupaya mengambil setiap kesilapan dan merasai pengalaman melakukan kesalahan dengan perubahan tingkah laku, kepercayaan dan gerak kerja. Timbang baik dan buruk, bermulalah “Ya” untuk perubahan.

“Ya” dan “Jangan” – kuasa pengukuhan yang sangat hebat.

Pengukuhan adalah positif. Sama ada “Ya” atau “Jangan”, kedua-duanya sangat hebat pengaruhnya ke atas setiap orang yang melafazkannya. Ia mengawal pemikiran, emosi, kehendak dan tindakan yang membuahkan hasil.


Seorang peminta sedekah yang menghulurkan mangkuk duit kepada jemaah masjid di pintu pagar masjid setiap hari Jumaat akan teruja apabila diberi sedekah seringgit dua. Pemberian yang berulang-ulang ini menyebabkannya menadah mangkuk setiap kali solat Jumaat. Kerja sebenar kita tidak pasti tetapi tubuh badannya sangat sihat untuk bekerja.

Bagaimana satu perkataan ini mampu memberi pengukuhan yang sangat hebat? Hal ini membuatkan saya berfikir. Kenapa sesetengah orang sanggup meninggalkan pekerjaan yang bergaji besar di sektor swasta untuk memiliki gaji yang lebih rendah di perkhidmatan kerajaan? Saya membuat kesimpulan yang mereka ingin berubah kerana empat alasan:


1. Gambaran yang jelas ke mana hendak pergi

Faizal dan Kamal, dua orang sahabat baru yang saya jumpa semasa program penilaian untuk mamasuki perkhidmatan awam menyatakan kerjaya di sektor swasta memang menarik tetapi gambaran akhir di penghujung kerjaya tidak jelas. Kedua-duanya bekerja di bank. Peluang kerjaya di sektor kerajaan lebih jelas, boleh dilihat dan dialami. Mereka mampu melihat semua faedah untuk diri sendiri dan keluarga.

Tokoh-tokoh jutawan dunia, Henry Ford (Ford Motor Company), Bill Gates (Microsoft Corporation), Larry Page dan Sergey Brin (Google) mempunyai kemampuan untuk memandang ke hadapan. Gambaran kejayaan. Gambaran jutawan. Dari sini kita akan mencambahkan “mood” untuk maju, melakukan transformasi dan merealisasikan impian ke arah kejayaan.

2. Memberi jawapan kepada soalan

Jangka masa panjang, kerjaya di sektor kerajaan akan menjamin hidup selepas pencen. Faizal dan Kamal ingin mendapatkan faedah pinjaman perumahan, pinjaman kereta, akses lebih luas kepada perkhidmatan kerajaan yang lain dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.

Jawapan kepada soalan pasti mengaktifkan minda untuk terus mencari dan mencari. Jawapan menguatkan spirit, membina tekad dan menyediakan harapan baru bagi diri sendiri.


3. Pernah mendapat kejayaan peribadi

Berubah untuk kejayaan. Mereka berdua pernah mencuba mencari kerja dan kejayaan mendapatkan kerja di sektor kerajaan adalah pengesahan terhadap keupayaan dan kebolehan mereka.

4. Menerima hakikat perubahan sentiasa berlaku

Persekitaran berubah. Masa berubah. Semuanya berubah. Jaminan kerjaya dan keadaan hidup yang lebih stabil menjadi pilihan. Yang kita yakini, perubahan ini kemungkinan besar akan mendapatkan respon yang bermacam-macam, dari respon yang positif hingga yang melontarkan aneka pertanyaan yang mempersoalkan mengapa harus berubah.

Produk yang paling cepat berubah ialah teknologi. Kenapa? Kerana banyaknya kajian dan penyelidikan. Kadang-kadang kita tidak sempat menggunakan teknologi sedia ada, tahu-tahu sudah ada teknologi yang baru.


Rasanya baru berapa tahun sahaja kita menikmati teknologi GPRS dan CDMA. Sekarang kalau tidak ber3G, rasanya kuno. Baru saja menggunakan “i-pod”, tahu-tahu sudah ada “i-phone”. Baru hendak mempelajari dan menyukai teknologi, kita terpaksa mengadaptasi derap inovasi dan perubahan dari perkembangan teknologi.

Wednesday, July 18, 2007

Kemaruk buli terima balasan

Ketegasan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak akan mempertimbangkan rayuan ibu bapa kepada 15 pelajar di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin sangat dihargai. Beliau berkata tindakan yang diambil itu adalah sebagai satu teladan dan peringatan kepada semua pelajar di MRSM seluruh negara agar tidak berkelakuan tidak senonoh dan tidak berdisiplin.

Masalah membuli dan mendera pelajar junior memang menjadi masalah kepada pihak sekolah. Ada kalanya ia menjadi beban kepada sekolah, ibu bapa dan kementerian sendiri untuk menangani gejala buli seperti ini. Beberapa tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran seperti memaparkan laman web khas bagi aduan buli sehingga saat ini mencatatkan 59 peratus pengundi tidak bersetuju Sistem Aduan Disiplin (SAD) yang diperkenalkan dapat membantu meleraikan masalah buli di sekolah.

Kajian-kajian yang dilakukan di Barat mendapati pelajar yang suka membuli ini kemungkinan besar akan menjadi penjenayah, suatu tingkah laku yang membahayakan masyarakat dan menambah beban pihak berkuasa keselamatan.

Kajian mengenai kejadian buli di kalangan pelajar sekolah menengah di Kedah dan Perlis pada tahun 2002 menunjukkan dua jenis buli iaitu fizikal dan psikologi. Jenis fizikal melibatkan kecederaan di tubuh badan seperti lebam, calar dan berdarah manakala jenis psikologi pula membabitkan tekanan mental yang berakhir dengan kemurungan dan halusinasi. Kedua-dua jenis buli ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pembuli dan mangsa buli.

Sekolah sebagai tempat untuk merangka tumbesaran pelajar supaya lebih matang dan bertanggungjawab akan terencat fungsinya kerana kegagalan pihak sekolah mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan yang segera sebaik sahaja menyedari masalah buli berlaku. Lebih malang jika deraan fizikal dan psikologikal ini berlaku di sekolah berasrama penuh seperti MRSM di mana para pelajarnya merupakan mereka yang terpilih.

Dalam kes di MRSM di atas, perbuatan pelajar yang menjadi pembuli bukan sahaja merosakkan nama dan masa depan dirinya sendiri malah mengheret sekali ibu bapa. Dalam keadaan ini, siapa yang patut disalahkan? Pelajar, ibu bapa atau sekolah? Bangunan sekolah yang cantik tidak akan ada serinya jika tidak ada pelajar. Pelajar tidak akan menjadi seorang yang terdidik jika tidak ada guru. Ibu bapa tidak akan mendapat anak yang cerdik dan pintar jika tidak ada guru yang berdedikasi dengan sitem pendidikan yang cemerlang.

Begitulah peranan ketiga-tiga pihak ini sangat penting bagi membentuk sebuah masyarakat yang berpendidikan. Kejadian buli adalah proses intervensi sosial remaja yang mahu memecahkan keharmonian hubungan tiga serangkai tadi akibat kegelojohan satu pihak.

Lima belas pelajar membelasah sepuluh pelajar lain yang lemah bukannya perbuatan orang yang berakal dan berperikemanusiaan. Justeru tindakan menghukum yang dibuat selepas pihak pengurusan MRSM membuat pertimbangan yang sewajarnya diharap memberi peringatan yang berpanjangan. Ia demi menjaga nama baik MRSM sendiri dan menghalang anasir jahat yang cuba merosakkan sistem pendidikan yang dibina sejak dulu.

Seperti kata Mohamed Khaled, “Mereka masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa tetapi bukan dengan MRSM,” menyahkan rasa simpati kepada rayuan ibu bapa pelajar berkenaan kerana pada hakikatnya pelajar yang terlibat tidak pun bersimpati dengan mangsa buli dan masa depannya sendiri. Pembuli tidak ada tempat dalam sistem pendidikan bertaraf dunia dan kehadiran mereka hanyalah sebagai parasit yang akan merosakkan perancangan agresif negara untuk menjadi hab pendidikan global yang disegani.

Penyelesaian buli bukannya terletak di atas bahu pentadbir dan guru di sekolah sahaja. Peranan ibu bapa yang membentuk anak-anak juga sangat mempengaruhi keupayaan berfikir dan bertingkah laku anak-anak mereka. Kempen yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran melalui pelbagai cara sama ada iklan di media atau menyediakan laman web khas anti buli perlu digandakan supaya kesedaran masyarakat bertambah menebal.

Gejala buli bukan sekadar menjadi duri dalam daging kepada para guru, pelajar dan ibu bapa malah menggugat keyakinan orang luar untuk mencontohi kecemerlangan sistem pendidikan Malaysia.

Tuesday, July 17, 2007

Menghadapi tekanan kerana kalah dalam pertandingan bolasepak

Kalah 1-5 kepada China dan 0-5 Uzbekistan hanya mengundang kutukan dan kritikan kepada pasukan bolasepak Malaysia dalam saingan Piala Asia 2007. Kekalahan sepuluh jaringan bolos yang diberikan kepada pasukan lawan meninggalkan kesan psikologi kepada pemain dan jurulatih. Malaysia juga mendapat tempat tercorot dalam kumpulan berkenaan.

Kekalahan itu juga menyebabkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan semua jawatan dalam badan induk itu berkuat kuasa serta merta selepas 15 tahun menjawat jawatan tersebut.

Peminat bolasepak juga turut kecewa dengan persembahan pasukan kebangsaan dan menuntut dibuat rombakan besar-besaran.

Masyarakat Malaysia berhak untuk melihat pasukan bolasepak kebangsaan bermain dengan cemerlang kerana banyak wang yang dilaburkan bagi membentuk sebuah pasukan yang hebat. Tetapi mereka harus sedar bahawa setiap pemain bolasepak sedang berhadapan dengan tekanan yang maha hebat kerana kekalahan tersebut. Para pemain ketika ini sedang melawan perasaan sendiri kerana tekanan kekalahan yang dialami itu.

Tekanan sentiasa dialami oleh setiap orang termasuk pemain bolasepak. Badan kita memang dicipta untuk berhadapan dengan tekanan dan memberi reaksi terhadap setiap tindak balasnya. Walau bagaimanapun tidak mudah untuk mengelak daripada menerima tekanan dan menukar keadaan yang menyebabkan tekanan tersebut berlaku. Kadangkala kita terperangkap dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kunci kepada pengurusan tekanan yang berkesan ialah mengenal pasti punca tekanan di dalam hidup dan belajar untuk mengurangkannya dengan cepat.

Apakah tekanan? Tekanan adalah reaksi terhadap sebarang perubahan yang memerlukan penyesuaian atau tindak balas. Penting untuk diingatkan betapa kita boleh mengawal tekanan kerana ianya datang daripada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap sebarang situasi yang sedang berlaku.

Apakah pula punca-punca tekanan? Tekanan boleh disebabkan oleh sebarang perkara yang memerlukan penyesuaian atau perubahan dalam persekitaran. Badan kita bertindak balas melalui fizikal, mental dan emosi. Setiap orang mempunyai mekanisme sendiri untuk menghadapi tekanan ini, justeru itu setiap orang mempunyai kaedahnya sendiri berdasarkan punca tekanan berkenaan. Punca-punca umum ialah: kematian, kesakitan, kemalangan, perkahwinan, kehamilan, penceraian, perubahan kerja, kesuntukan masa, perpindahan, masalah wang, konfrontasi, keraian, kesesakan jalan raya, masalah undang-undang dan persaraan.


Apabila kita tidak pasti apakah punca sebenar kepada tekanan yang dialami, adalah lebih baik untuk kita megenal pasti tanda-tanda awal tekanan. Setelah itu barulah diambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkannya.

Tanda-tanda emosi ialah ketakutan, gangguan tidur, marah, tidak berupaya untuk menumpukan perhatian, kurang produktif, sedih dan seringkali berlaku perubahan cita rasa. Manakala tanda-tanda fizikal pula termasuk sering membongkokkan badan, tapak tangan berpeluh, letih yang kronik, bertambah atau hilangnya berat badan dan simptom-simptom fizikal yang lain.

Perubahan mental dan fizikal berkait rapat dengan kesan ke atas tingkah laku seperti perlakuan ganas, berubah perangai secara tiba-tiba, kerap mengambil alkohol atau dadah, masalah dalam hubungan, kerap bertukar kerja dan sentiasa merasa seperti dihasut setiap masa.

Jadi, bagaimanakah langkah terbaik untuk mengurangkan tekanan ini? Mahu ataupun tidak, kes yang berlaku ke atas pemain bolasepak Malaysia ini hanya dapat dileraikan ketika ini dengan berfikiran positif. Mereka wajar menerima hakikat betapa kekalahan yang besar adalah realiti kerana kemampuan untuk bermain dengan cemerlang di tengah ribuan peminat bolasepak Malaysia adalah di luar kawalan. Setiap pemain harus memberikan masa untuk berehat sepenuhnya supaya bebanan kalah tersebut tidak menggugat semangat bermain yang masih ada. Rehat yang lama juga tidak baik, jadi sebaiknya mereka masih perlu melakukan aktiviti senaman yang ringan supaya tenaga negatif yang ada di dalam badan dapat dikeluarkan.

Pemakanan juga perlu diberi perhatian kerana tersalah makan akan mengganggu proses pelepasa tekanan. Minuman yang memberi kesegaran dan tenaga hendaklah sentiasa dikekalkan supaya kekuatan fizikal dapat berhadapan dengan asakan tekanan yang dialami. Hindari dari semua maklumat negatif yang dapat memberi tekanan mental kerana membaca surat khabar dan menonton berita akan menaikkan lagi tahap tekanan para pemain.

Tekanan yang berlebihan akan mengganggu tumpuan pemain untuk melawan pasukan yang akan datang. Yang berlalu telah berlalu. Tidak ada apa yang dapat menarik kembali keputusan yang telah diketahui melainkan membuat persediaan untuk bermain dengan bersungguh-sungguh. Seperti titah Sulatan Pahang, "I am fighter," semangat berlawan itu juga perlu disematkan di dalam hati setiap pemain bolasepak supaya mereka tidak lagi menerima kekalahan yang memalukan kelak.

Monday, July 16, 2007

Bahasa Melayu di samudera

Penulis : Asmah Haji Omar
Tahun : 2006
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Muka surat : 214

Gambar kulit buku ini sangat unik; sebiji kelapa tua yang sedang tumbuh tunas hanyut di lautan. Mesejnya sesuai dengan isi kandungan buku yang sarat dengan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Australia Timur dan Australia Barat. Penulis buku secara santai bercerita pengalaman beliau mengembara selama sebulan untuk mengumpul data berhubung dengan sejarah penyebaran bahasa Melayu serta anjakan dan pemeliharaan bahasa berkenaan oleh komuniti-komuniti Melayu di situ. Tujuan penulisan buku ini ialah memberi paparan perpindahan orang-orang Melayu ke kawasan berkenaan yang mana mereka telah membina tompok-tompok penyebaran bahasa Melayu di Australia.

Terdapat lima gelombang gerakan orang Melayu ke kawasan yang diperkatakan iaitu:

Gelombang pertama : Pergerakan keluar orang-orang Melayu dari Banjarmasin ke Kepulauan Cocos (Keeling) dalam tahun 1826.

Gelombang kedua : Pergerakan orang-orang Melayu khususnya dari Melaka ke Pulau Christmas, bermula pada awal abad ke-20.

Gelombang ketiga : Pergerakan keluar orang-orang Melayu Kokos dari kepulauan Cocos (Keeling) ke Pulau Christmas, Singapura dan Sabah dalam pertengahan abad ke-20 hingga tahun 1970-an.

Gelombang keempat : Penghijrahan dari Pulau Christmas ke Australia Barat mulai tahun 1970-an.

Gelombang kelima : Penghijrahan orang-orang Melayu dari Malaysia, Indonesia dan Singapura mulai tahun 1960-an.

Gelombang migrasi ini menggambarkan perantauan orang Melayu dari alam Melayu ke alam baru di Australia dan wilayah-wilayahnya mulai awal abad ke-19 dan menjadikan kawasan itu sebagai kawasan penyebaran bahasa Melayu.

Kepulauan Cocos (Keeling) merupakan kawasan "kosong bahasa" dan "kosong peradaban" sebelum penempatan orang-orang Melayu di situ. Dalam kehidupan mereka yang tersisih daripada komuniti lain selama 150 tahun, orang Melayu Kokos dapat mempertahankan warisan budaya dan agama Islam serta juga bahasa Melayu.

Pulau Christmas yang juga " kosong bahasa" dan "kosong peradaban" sebelum akhir abad ke-19, telah bertukar wajah dengan kedatangan komuniti dari luar, khususnya Melaka, Singapura dan Hong Kong setelah terbukanya perlombongan fosfat.

Di benua Australia, baik di pantai timur dan di pantai barat, terdapat tompok-tompok komuniti Melayu yang berasal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Komuniti Melayu yang mastautinnya lebih kekal di benua ini, terutama sekali di Australia Barat ialah komuniti orang Melayu Kokos dan Pulau Christmas.

Ulasan Editor: Buku ini memperihalkan sejarah mastautin orang-orang Melayu di kawasan tersebut dan usaha mereka mempertahankan warisan sambil menyesuaikan diri dengan alam dan tradisi yang baru. Di tempat baru ini, bahasa mengalami anjakan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu sebagai pendukung budaya Melayu dan dengan itu penyampaian agama Islam kepada anak cucu, menyebabkan komuniti tersebut mengadakan program bahasa Melayu yang bergandingan dengan pengajaran agama Islam. Di Perth umpamanya, bahasa Melayu dianggap sebagai salah satu bahasa perniagaan dan dapat dilihat di lapangan terbang antarabangsa Perth. Ibu bapa Melayu biasanya memilih Perth sebagai tempat pengajian anak mereka. Justeru, buku ini sangat sesuai dibaca dan menjadi sumber rujukan untuk melihat usaha pemeliharaan dan pengembangan bahasa Melayu di luar daripada rumpun Melayu.

Friday, July 13, 2007

Memilih biar bertempat

Berkeluarga adalah tuntutan yang sangat mulia. Membina keluarga yang sejahtera dapat membantu ke arah membentuk masyarakat penyayang yang dikempenkan sejak lebih 20 tahun yang lalu. Kebahagiaan keluarga menjadi nadi kepada keutuhan hidup bermasyarakat. Justeru, hidup dengan sejahtera adalah hidup bersama nilai-nilai yang disepakati dan diterima di dalam masyarakat.

Kadangkala dalam proses membina keluarga, ahli masyarakat tidak terlepas daripada mendengar kisah-kisah yang sering menjadi pertikaian berpanjangan seperti mana yang berlaku ke atas sepasang suami isteri yang berkahwin dan melibatkan wang hantaran sebanyak RM999,999.99. Jumlah ini sangat banyak bagi sesebuah perkahwinan.

Dalam kes ini, si isteri menuntut fasakh dengan menyenaraikan empat sebab utama iaitu (suami) seorang pembohong, kedua dia dikehendaki polis, ketiga cuba mengikis harta bapanya dan akhir sekali tindakan suami membuatkan dirinya mengalami tekanan mental dan emosi. Bagaimanapun kita tidak tahu apakah motif sebenar perkahwinan ini dilangsungkan.

Dari laporan media, si isteri (Puteri Netty) berkata, suaminya seorang pembohong kerana berniat menyembunyikan status dirinya yang sudah beristeri, menyamar sebagai peguam yang mempunyai firma sendiri di Kuala Lumpur serta kerabat Diraja Brunei dengan menggunakan nama Pengiran Sufi Tengku Ahmad Zacrie. Bagi penyamaran identiti, kerabat Diraja Brunei tidak menggunakan Tengku sebaliknya Pengiran yang mempunyai gelar tertentu. Dalam kes ini, si isteri ditipu bulat-bulat oleh suaminya.

Memilih pasangan hidup yang betul akan memberi kebahagiaan kepada kehidupan berkeluarga. Latar belakang pasangan yang dikenali sama ada masa yang singkat atau panjang wajar diteliti supaya tidak menyesal kemudian hari. Kes rumah tangga yang berakhir dengan penceraiaan adalah sangat malang bagi mana-mana pasangan walaupun banyak usaha yang dilakukan bagi mengelakkan penceraian itu berlaku.

Dari perspektif Barat, seringkali kita didedahkan sebab musabab sesebuah perkahwinan yang sihat dan menggembirakan. Mereka mengambil kira keperluan hidup yang lebih mementingkan kedudukan kewangan pasangan sebelum membuat pilihan.

Wang sangat penting pada hari ini. Wang adalah kunci kepada mempunyai rumah sendiri, kereta yang baik dan semua keperluan peribadi. Ada yang menyifatkan wang dapat membeli 3C iaitu car (kereta), condominium (kondominium) dan credit card (kad kredit).

Komunikasi adalah laluan yang penuh dengan cabaran. Ia menjadi landasan yang akan mengembalikan segala macam masalah dan konflik ke pangkal jalan dan menghindari krisis. Perubahan hidup, pertentangan dan tekanan semasa hidup dapat menggugat kestabilan keluarga.


Keluarga di Barat lebih cenderung memiliki keluarga yang kecil. Mempunyai anak adalah perkara yang serius diambil kira kerana kos hidup dan melihat kehadiran anak yang ramai akan menjejaskan kualiti hidup mereka.


Agama adalah pilihan terakhir yang diambil kira. Nilai-nilai Barat yang menyerahkan pilihan hidup beragama kepada individu menjadikan nilai sekular lebih mendominasi hidup mereka. Kesan sekularisme ini menjadikan kadar kelahiran di Eropah hampir sifar kerana mereka tidak ada panduan kenapa memiliki anak yang ramai adalah satu keistimewaan.

Nilai masyarakat Timur yang berbeza daripada Barat membuatkan pandangan mereka terhadap keluarga juga berbeza. Di dalam masyarakat Islam, panduan untuk memilih pasangan diutamakan kepada yang beragama berbanding berharta, kecantikan dan keturunan. Ini kerana nilaian Tuhan bukannya kepada harta, rupa dan keturunan sebaliknya ketakwaan. Faktor ini yang semakin diketepikan kerana tidak dilihat sebagai memberi kelebihan dalam hidup hari ini yang lebih mementingkan kedudukan dan keturunan.

Jodoh adalah ketentuan Tuhan. Berkahwin dengan seseorang adalah cabaran dan rahmat. Mencabar kerana ia memberi kekuatan dan rahmat kerana ia memberi pahala dan membawa redha Allah SWT.

Thursday, July 12, 2007

Tabiat 4 Programkan sistem kepercayaan diri (2-akhir)

Suatu hari Amran duduk di pintu rumahnya melihat sebiji kepompong tergantung-gantung pada ranting pokok bunga di halaman. Dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak, kanak-kanak berusia 8 tahun itu memerhati dengan penuh minat lubang kecil yang terdapat pada kepompong tersebut.

Tiba-tiba, keluar kaki-kaki halus seekor rama-rama dari lubang berkenaan. Tanpa berputus asa, rama-rama menolak badannya keluar tapi kelihatan amat payah untuk meloloskan diri. Akhirnya rama-rama itu berhenti. Ia tidak berdaya lagi.

Kasihan melihat serangga itu, Amran meluru ke dalam rumah untuk mengambil gunting bagi membesarkan lubang kepompong tersebut. Keluarlah seekor rama-rama cantik, tapi sayapnya terkatup. Amran menanti rama-rama itu mengembangkan sayapnya yang berwarna kuning, biru dan hitam. Dia tidak sabar hendak melihat serangga berkenaan terbang dari kuntuman bunga ke bunga yang lain untuk menghisap madunya.

Tetapi Amran hampa. Rama-rama itu terlalu lemah. Ia hanya boleh merayap dari ranting ke ranting, mengheret badannya yang besar penuh sukar. Akhirnya ia jatuh ke tanah.

Niat Amran memang baik tapi kanak-kanak itu tidak faham fitrah rama-rama. Secara semula jadinya rama-rama memerlukan masa berjam-jam sebelum berjaya keluar. Perjuangan itu adalah proses semula jadi supaya badan dan sayapnya cukup kuat apabila bebas dari kepompongnya. Rama-rama yang keluar dari kepompong sebelum sampai waktunya samalah seperti bayi yang lahir tidak cukup bulan. Apabila rama-rama menguak-nguak daripada kepompongnya untuk keluar, rongga-rongga yang kosong di dalam badannya akan dimasuki darah yang memberinya tenaga untuk terbang. Sayapnya akan kuat dan ia boleh terbang sekuat hati.

Fikirkan sejenak perkataan “Jangan” dalam suasana halangan dan sempadan. Ia adalah perkataan yang sangat besar dan kuat pengaruhnya bagi mencegah konflik, kecederaan atau keganasan.

Bagaimana pula dengan perkembangan pemikiran? Apabila anda berkata “Jangan,” hakikatnya anda menyatakan keraguan. Anda mengisytiharkan bahawa anda tidak mempunyai keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri dan menggunakan peluang yang diberi dalam hidup. “Jangan! Jangan! Jangan!” Sangat menyusahkan.

Pernah terjadi seorang peminat perubatan homeopati ingin mempelajari kaedah canggih bagi mengesan penyakit dalam badan. Malangnya, “doktor homeopati” ini enggan memberi tunjuk ajar malah memberi pelbagai alasan. “Jangan kacau aku!” Itulah bahasanya. Peminat ini terus berlalu dan terputuslah hubungan mereka yang telah dibina selama tiga tahun. Kekuatan perkataan “Jangan” memberi rangsangan kepada saraf dan otak untuk bertindak yang menyebabkan fikiran bercelaru, hilang kewarasan dan menimbulkan kemarahan.

Bahasa mempengaruhi seseorang itu berfikir. Kalau bahasanya rosak, maka rosaklah cara berfikir. Apabila bertukar bahasa dan pengertiannya, pemikiran juga bertukar. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, orang ketujuh terkaya di Malaysia dan ke-32 di Asia Tenggara. Kekayaannya ialah RM1,425 juta dan mula berniaga ketika berusia 19 tahun sebagai penjual lembu dan kerbau di Kedah.

Beliau memiliki saham di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Bernas, DRB-Hicom, Bank Muamalat dan syarikat besar yang lain. Kereta rasminya ialah Proton Perdana, kereta buatan Malaysia.

Selain daripada kekayaan, beliau dikenali kerana menubuhkan Yayasan Al-Bukhary untuk memberi sumbangan sosial kepada masyarakat. Antara sumbangan yang lain ialah menubuhkan institusi pengajian untuk 3,000 orang pelajar, menaja kelas tuisyen, membina Muzium Kesenian Islam dan menghantar jemaah haji Malaysia yang tidak mampu mengeluarkan belanja sendiri.

Cara dia bekerja sangat berbeza seolah-olah tidak ada hari esok. Ketika ditanya kenapa orang Melayu tidak maju? Beliau berkata, “Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa dan agama. Ia berkait dengan sikap dan cara berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan. Tetapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.”

Kejayaan pada Tan Sri Syed Bukhari juga berbeza. “Saya gembira jika dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai kesenangan apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya kata kepada diri saya sendiri, apa yang saya dapat saya mesti beri kepada orang lain untuk turut sama merasainya. Jangan beri kurang, lebih tak apa. Itu yang membuatkan saya seronok.”

Kejayaan mengejar kekayaan adalah sesuatu yang dibanggakan oleh sesiapa sahaja dari dulu, kini dan selamanya. Keghairahan dan kemaruk untuk mengejar kekayaan adalah sifat tamak yang akan menghancurkan diri sendiri. Qarun tenggelam bersama gelaran jutawan yang diidamkannya kerana tamak dan mabuk dengan kekayaan.

Kekayaan adalah impian. Kaya yang sebenarnya bukanlah harta tetapi jiwa. Kekayaan jiwa akan membawa kebahagiaan. Begitulah maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim,

“Golongan yang kaya sebenarnya bukanlah mereka yang kaya harta sebaliknya mereka yang kaya jiwa.”

Wednesday, July 11, 2007

Segerakan penubuhan pusat konflik setempat

Pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 3 tahun, Ooi Ying Ying, sangat mengejutkan. Dilaporkan hilang dan berakhir dengan kematian kerana disyaki dibunuh oleh orang yang paling rapat dengannya. Tanpa ada alasan yang jelas, munasabah dan berperikemanusiaan, pembunuh cuba melenyapkan kesan mayat mangsa dengan perancangan yang sungguh rapi.

Dibunuh di rumah, mayatnya dibakar dan tulangnya dibuang di beberapa tempat menggambarkan kesungguhan pembunuh untuk membunuh mangsa. Jenayah seperti ini yang melibatkan kalangan ahli keluarga terdekat mangsa sangat sukar dipercayai melainkan ada motif tertentu yang sangat terdesak.

Keupayaan pihak polis mengenal pasti orang yang disyaki sebagai pembunuh dalam masa yang singkat sangat dikagumi. Proses soal-siasat ke atas dua orang yang disyaki membawa kepada penemuan abu mayat, tulang dan pakaian mangsa di beberapa tempat. Kesungguhan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelesaikan kes ini sangat diharapkan supaya tidak ada lagi pembunuhan kejam seperti ini berulang kembali.

Penglibatan orang terdekat mengundang persoalan yang bercampur-baur dengan konflik keluarga dan keadaan masyarakat. Tergamaknya seorang ibu merancang pembunuhan adalah diluar perikemanusiaan naluri keibuan. Pasti terdapat motif utama yang lebih dominan sehingga mendorong pembunuhan ini seperti tertekan, dipengaruhi ataupun hilang kewarasan berfikir.

Ketika menghadapi perpisahan dan saat-saat penceraian, biasanya fikiran seseorang akan keliru, tertekan dan tidak dapat berfikir dengan rasional. Kegelisahan ini akan mendorong kepada tingkah laku yang berlawanan dengan sikap sebenar pelaku. Ketika inilah dia memerlukan kumpulan sokongan yang dapat memberi bantuan moral dan menguatkan jiwa yang lemah.

Perlakuan ganas akan mula muncul apabila pemikiran dihasut oleh orang lain yang berniat jahat lantaran terlalu bergantung kepadanya. Mangsanya adalah anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Lebih malang apabila ia melibatkan peranan penjenayah yang mempunyai rancangan jahat yang memusnahkan hidup.

Masyarakat yang sedang meningkat maju tidak wajar dibebani dengan pembunuhan kejam ke atas sesiapa pun. Nyawa manusia adalah anugerah Allah untuk dihargai dan dijaga dengan sempurna dan sebaik-baiknya. Walaupun masyarakat sering berbeza pendapat dan bertelagah bagi menyelesaikan masalah, membunuh adalah langkah yang tidak boleh dijadikan sebagai pilihan kerana masih ada banyak lagi ruang untuk mengendurkan konflik dan menguruskan masalah berkenaan.


Sudah tiba masanya bagi agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan pusat konflik di kawasan bandar khususnya bagi membantu masyarakat hari menyelesaikan sebarang konflik yang ada. Banyak isu yang sedang berlegar di dalam masyarakat tidak dapat diselesaikan dengan pantas dan betul seperti keluarga, pendidikan, harta benda dan juga amalan hidup sihat. Konflik yang kelihatan sukar, insyaAllah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat jika kena caranya. Harapan untuk melihat masyarakat penyayang akan kembali cerah jika usaha-usaha pengemblengan sumber dilaksanakan dengan teratur.

Tuesday, July 10, 2007

Penurunan kadar kesuburan beri kesan kepada sasaran 70 juta penduduk

Malaysia tidak boleh membenarkan kadar kesuburan penduduknya (TFR) menurun di bawah 1.5 daripada 2.8 seperti yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Profesor Madya Tey Nai Peng dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya berkata penurunan itu akan memberi kesan kepada sasaran untuk mendapatkan jumlah 70 juta penduduk menjelang 2100.

TFR ialah jumlah anak yang akan dilahirkan seseorang wanita sepanjang hidupnya, yang menurun daripada lima pada 1970 kepada tiga pada 2000.

Dalam kertas kerjanya bertajuk "Peningkatan Penduduk dan Perubahan Sosial di Malaysia" pada hari kedua Persidangan Kependudukan Nasional 2007 di sini hari ini, beliau berkata penurunan itu juga bermakna peningkatan penduduk kosong menjelang 2060-70.

Beliau berkata kependudukan negara disasar mencapai 33 juta pada 2020, 37 juta pada 2030, 40.4 juta pada 2040 dan 43 juta pada 2050. "Jumlah penduduk Bumiputera akan meningkat sehingga 2050 dan seterusnya tetapi penduduk China dan India akan berhenti berkembang sekitar 2025.

"Menjelang 2050, penduduk Bumiputera dijangka mencapai 28 juta, manakala China akan mencapai jumlah tertinggi iaitu kira-kira tujuh juta pada 2040 dan penduduk India akan kekal pada kira-kira 2.3 juta menjelang 2030," katanya.

Bagaimanapun, Tey berkata kegagalan untuk mencapai sasaran 70 juta bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangkan.

"Apa yang penting ialah untuk memastikan kualiti penduduk dengan memberi penekanan kepada pembangunan sumber manusia," katanya.

Mengenai urbanisasi, beliau berkata tahapnya dijangka melepasi 80 peratus menjelang 2030."Penduduk pedalaman dijangka berkurangan selepas 2010 manakala penduduk bandar akan terus berkembang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata rekod dari Jabatan Imigresen sehingga Mac 2006 menunjukkan terdapat 1.85 juta pekerja asing berdaftar di negara ini.

Sumber: BERNAMA (4 Julai 2007)

Membebaskan minda yang terjajah

Penulis : Victor S.L. Tan
Tahun : 2000
Penerbit : Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd, Subang
Jaya, Selangor
Muka surat : 183

Penulis buku ini, Victor S.L. Tan seorang yang berpengalaman dalam bidang pengurusan dan pelaksanaan perubahan organisasi. Huraian yang mudah mengenai minda dan perubahan. Satu petikan yang menarik dalam buku ini ialah: terlalu ramai yang menghabiskan banyak masa mewajarkan kenapa sesuatu perkara itu tidak boleh dilakukan, ataupun mengapa mereka bukan orang yang sesuai untuk melakukannya dengan memberi 1000 alasan.

Kadangkala kita menghabiskan masa berbincang tentang "tidak boleh," "menyusahkan" dan "tidak ada faedah" bagi sesuatu perkara. Jika kita melihat kembali sejarah kejayaan reka cipta dan kecemerlangan organisasi, kejayaan itu dicetuskan oleh mereka yang menggunakan pemikiran sendiri dan yakin dengan apa yang difikirkan. Ada juga yang mengubah dunia dengan mempertahankan prinsip yang diketahui.

Penerima Anugerah Nobel 2006, Profesor Mohamad Yunus dari Bangladesh yang menubuhkan Bank Grameen untuk membantu orang miskin memberi penyelesaian ke atas program pembasmian di seluruh dunia. Beliau telah membebaskan pemikiran totok pegawai-pegawai bank di Bangladesh yang sangat sukar memberi pinjaman kepada orang miskin untuk memulakan perniagaan. DI Malaysia, program ini dikenali sebagai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Pembaziran sumber manusia yang terbesar di dalam organisasi ialah minda yang terjajah. Minda yang terjajah tidak berupaya menyesuaikan diri atau berubah mengikut keadaan. Ia menyekat kebolehan seseorang. Ia tidak imaginatif, kreatif atau inovatif dan tidak mampu memikirkan penyelesaian baru. Bagi menjamin kejayaan organisasi mereka, pemimpin dan eksekutif harus membebaskan minda yang terjajah.

Buku yang hebat ini menawarkan suatu panduan unutk membebaskan minda yang terjajah ke arah peningkatan produktiviti dan keuntungan organisasi. Ia menerangkan secara terperinci mengenai cara-cara: membebaskan minda dan mendapatkan komitmen pekerja, mengatasi kegawatan, mencipta peluang, memotivasi pekrja dan memimpin dengan cemerlang.

Kesesuaian mempraktikkan saranan-saranan di dalam buku ini dapat meningkatkan organisasi menepati wawasan dan hala tuju kepimpinan.


Ulasan Editor: Rumusan kandungan buku ini saya petik beberapa ungkapan tokoh-tokoh pembangunan diri yang terkenal. Kata-kata mereka sangat bermakna dan boleh dijadikan sebagai panduan yang membina. William James berkata: penemuan yang paling agung dalam generasi saya ialah manusia boleh menukar haluan hidupnya hanya dengan menukar corak mindanya. William Shakespeare mengungkapkan: semuanya sudah sedia, jika minda kita sedia. Manakala pakar perubahan diri, Dale Carnegie memberikan kata-kata berapinya: satu caranya saya boleh menyuruh anda membuat apa-apa ialah dengan memberi apa yang anda mahu.

Saturday, July 07, 2007

Pendekatan agama dalam rawatan dadah: utamakan konsep kefahaman Islam daripada amalan ritual

Penglibatan golongan kaum Melayu dalam penagihan dadah mendominasi peratus penagih dadah di seluruh negara. Pusat Serenti yang diwujudkan bagi mengatasi ketagihan dadah ini majoritinya dihuni oleh kaum Melayu. Dari tempoh Januari hingga April 2007, jumlah penagih Melayu adalah 3,809 orang daripada 5,324 kes. Angka tersebut mewakili 71.54 peratus daripada kes yang ada.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi penagihan dadah. Berjuta-juta ringgit peruntukan dibelanjakan bagi membantu penagih dadah untuk keluar daripada ketagihan dan memulakan hidup baru. Tetapi kejayaan yang diharapkan tidak begitu memberangsangkan. Statistik untuk penagih yang keluar dari Pusat Serenti dan pulih sepenuhnya tidaklah begitu membanggakan.

Menggunakan pendekatan agama sebagai sebahagian daripada program rawatan dan pemulihan penagihan dadah adalah langkah bijak. Walau bagaimanapun belum tentu berkesan kerana terdapat banyak kekangan yang menghalang kejayaan pelaksanaan kaedah ini.

Hasrat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menerapkan pendekatan ini dengan melibatkan ilmuwan agama, pentadbir hal ehwal agama Islam dan imam melalui program kem motivasi, ekspo pendidikan, khemah ibadat, keluarga angkat, sukaneka dan khidmat komuniti wajar dirancang dengan teliti. Kefahaman terhadap agama yang ada di dalam pemikiran penagih-penagih ini perlu dikaji supaya aras kefahaman tersebut dapat dinilai dan diberi peningkatan mengikut tahap masing-masing.

Kerap terjadi bentuk penyampaian agama masih lagi membincangkan soal fiqah dan tidak banyak mendedahkan konsep kefahaman Islam yang menjurus kepada perubahan hidup secara menyeluruh. Akhirnya jadilah mengajar agama sama seperti mengajar di masjid dan surau yang menekankan cara hendak mengambil air sembahyang, cara berdiri betul ketika hendak bersolat dan membetulkan bacaan al-fatihah. Jika bentuk pengajaran agama cara begini dilaksanakan, mesej perubahan yang ada di dalam Islam tidak akan sampai dan niat menggunakan pendekatan agama dalam rawatan akan terbantut sama sekali.

Kaedah yang seharusnya dijadikan sebagai intipati kepada pengajaran agama Islam seharusnya menggunakan pendekatan mengubah hati dan jiwa dengan merangka modul pembangunan diri yang bermula dari asas iaitu membaikkan hati. Teori-teori Barat meletakkan perubahan pada minda dan persekitaran tanpa mengambil kira keupayaan hati manusia yang boleh dibentuk, dididik dan diubah. Justeru, antara buku yang boleh diberi perhatian ialah "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" oleh Ustaz Fathiyakan yang membincangkan konsep asas dalam beragama. Buku ini sangat mudah untuk difahami dan penerangan yang disampaikan oleh penulis sangat jelas. Bermula dengan kefahaman menjadi seorang Islam seterusnya suntikan kesedaran melangkau kepada keperluan menjadi seorang warganegara yang baik, taat dan setia kepada negara.

Buku seterusnya ialah "Asas-Asas Islam" oleh Maulana Al-Maududi yang juga membincangkan asas kefahaman Islam yang mudah, ringkas dan padat. Huraian buku yang dianggap klasik dalam kumpulan-kumpulan usrah dan halaqat sebenarnya dapat membuka pemikiran penagih untuk melihat Islam sebagai agama yang membantu mereka untuk berubah, menjanjikan kejayaan dan memberi sinar masa depan yang lebih baik.

Kedua-duka buku ini sentiasa mendapat sambutan dan telah diulang cetak beberapa kali. Kefahaman penulis berkenaan terhadap amalan beragama dan bagaimana harus mengamalkan agama Islam telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Mereka yang terlibat dalam pendekatan ini juga perlu melalui proses yang sama yang bakal dilalui oleh penagih supaya dapat menjiwai kefahaman Islam yang betul. Kem motivasi yang dicadangkan hendaklah menggunakan modul pembangunan diri berteraskan pembinaan hati sepenuhnya dan mengelakkan bercampur-baur dengan konsep yang kebaratan kerana jika kedua-duanya bercampur, penagih akan menjadi keliru. Mana satu yang hendak dipilih, Islamkah atau Baratkah? Pengisian dalam kem ini juga tidak perlu bersifat ketenteraan yang keterlaluan kerana pendidikan hati tidak meletakkan jerit dan pekik sebagai kayu ukur kepada perubahan.

Apabila mesej yang hendak disampaikan kepada penagih menusuk tepat ke hati mereka dan membuahkan kesedaran, itu sudah cukup untuk melihat perubahan demi perubahan pada masa yang akan datang. Program susulan juga perlu diteruskan dalam bentuk kumpulan sokongan sosial. Antaranya yang sangat dicadangkan ialah penubuhan kumpulan usrah yang menggabungkan penagih-penagih yang insaf dan diketuai oleh seorang ketua yang telah berubah dari kalangan mereka sendiri. Biar penagih yang membimbing penagih kerana hanya mereka yang tahu realiti sebenar hidup sebagai penagih dadah.

Kejayaan Pengasih membuat perubahan adalah kerana kumpulan sokongan sosial yang sangat kuat dan penagih akan rasa bersalah dan lemah jika tidak mendapat sokongan berkenaan. Seterusnya kumpulan sokongan sosial ini di perluaskan di peringkat daerah dan negeri dengan mewujudkan kumpulan usrah gabungan bagi daerah dan negeri. Di akhir nanti, boleh dibuat pertandingan "pengendalian usrah yang berkesan" yang sama konsepnya dengan pertandingan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (MKKM) yang diadakan di jabatan-jabatan kerajaan ketika ini.

Kita sering kecewa apabila kerajaan mendedahkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit untuk memulihkan penagih dadah, hasil daripada pelaburan itu tidak memberi pulangan yang sewajarnya. Penagih yang keluar dari Pusat Serenti kembali menagih dan dimasukkan semula ke situ. Berapa lama kita harus melihat muka penagih yang sama untuk beberapa kali?

Menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada mereka yang terlibat khususnya imam di kampung, daerah dan negeri juga wajar mengambil kira kesediaan dan minat para imam ini. Jika imam berkenaan telah berumur dan tidak berminat untuk menjadi penggerak kepada perubahan diri penagih, wajarlah dibuka tugas berkenaan kepada anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan agama Islam supaya tenaga-tenaga muda ini dapat digerakkan sepenuhnya. Imam akan menghadapi masalah jika enggan berkursus dan berenggang dengan kehidupan selesa untuk menambah ilmu dalam bidang-bidang yang berkait dengan manusia. Tahap dan kesediaan imam ini perlu juga diperhalusi dengan bersungguh-sungguh supaya setiap sen yang dibelanjakan tidak akan hilang begitu sahaja.

Salah satu kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran mengendalikan kerja kelompok. Kemahiran ini memerlukan tahap kesabaran dan praktikaliti yang tinggi supaya mudah mengendalikan kumpulan usrah kelak. Imam atau pegawai hal ehwal agama Islam yang tidak berminat untuk mendengar, kurang ilmu pengetahuan serba-sedikit mengenai manusia dan menganggap susah untuk mengubah hati manusia yang degil dan keras seperti penagih dadah ini, amatlah sukar bagi kita hendak melihat kejayaan setiap program yang dilaksanakan kelak.

Apabila modul pembangunan diri menggunakan konsep dan pendekatan kefahaman Islam yang betul, barulah boleh dikatakan rawatan keagamaan sebagai benteng penghalang kepada godaan najis dadah.

Friday, July 06, 2007

Wang bukan modal penting

MCCLELLAND, seorang ahli psikologi yang sangat dihormati di kalangan ahli ilmu jiwa ada membentangkan 11 sifat seorang usahawan. Penulis juga ingin mengupas sejauh manakah sifat-sifat keusahawanan saranan McClelland itu juga sebenarnya menggambarkan orang Melayu. Ini penting agar kita tidak lagi menjadi mangsa momokan bekas penjajah atau orang yang tidak senang dengan kita.

Sifat-sifat tersebut ialah inginkan kejayaan, inginkan tanggungjawab, memilih risiko yang sederhana, sentiasa yakin kepada kejayaan, menerima kritikan sebagai penggalak, suka aktiviti lasak, sentiasa memandang ke hadapan, mahir mengurus wang, bersifat positif, mampu mengawal keadaan serta sifat kepimpinan dan kebebasan.

Kesemua sifat ini sebenarnya ada pada kebanyakan orang namun pada tahap yang berbeza. Setiap orang ada sifat keusahawanan; namun persoalan terbesar ialah kaedah yang perlu digunapakai.

Sifat-sifat semula jadi sedia wujud sejak dari kecil lagi. Kita boleh lihat anak-anak kita cuba main olok-olok berjual beli. Ini hanya contoh sahaja. Lihat pula dari segi sejarah, kita dapati orang Melayu begitu pandai berdagang. Rujuk kembali sejarah Melaka. Kita lihat pula ke hadapan. Kita semua ingin menjadikan negara kita maju dalam masa yang dirancangkan. Bukankah ini memerlukan sifat-sifat keusahawanan.

Sedikit masa dahulu, menjadi askar boleh dikatakan kerjaya terjamin, kemudian menjadi pegawai kerajaan kerjaya terjamin, kemudian kerja swasta, dan sekarang kerjaya usahawan boleh dijadikan kerjaya terjamin.

Siapa kata makan gaji kerjaya terjamin. Anda mungkin berpangkat besar, tetapi organisasi anda mungkin tidak sebesar mana atau bermasalah. Apa yang terjamin ialah andalah modal dan anda- lah yang menjadi usahawan.

Dikatakan definisi modal bukannya duit. Definisi modal yang sangat besar ialah orang itu sendiri. Rakan taulan, inovasi, produk dan banyak lagi. Dikatakan juga modal duit adalah yang terakhir sekali dalam senarai modal.

Jadi dalam usaha untuk menjadi usahawan kita menonjolkan modal terakhir iaitu duit sebagai halangan. Pernahkah kita terfikir modal terbesar kita ialah diri kita sendiri, orang kita sendiri, dan modal kita sendiri?

Kita telah didiamkan selama 500 tahun. Kita mula buka mata. Kitalah yang dikatakan harimau yang baru sedar kembali. Lebih daripada itu kita akan kembali menjadi siapa diri kita sebenarnya. Jati diri kita akan terbuka nanti. Pernahkah kita terfikir bahawa kuasa membeli terbesar di Malaysia ini ialah orang-orang tua. Bukankah itu modal terbesar kita? Sekarang ini kerjaya usahawan adalah kerjaya pilihan. Gunakan peluang ini untuk kita dikenali oleh dunia.

Oleh Khairol Anuar Masuan (Utusan Malaysia)

Tabiat 4 Programkan sistem kepercayaan diri (1)

Kita ialah apa yang kita percaya. Sekiranya kita percaya perkataan “Jangan” itu membawa keburukan, selama itulah kita akan mengikut sistem kepercayaan tersebut walaupun hakikat sebenarnya adalah membawa kebaikan. Sebagai contoh, kempen Kementerian Kesihatan yang menggunakan perkataan “Tak Nak” secara meluas untuk menghentikan tabiat merokok. Kempen ini nilainya jutaan ringgit tetapi tidak mencapai matlamat menghentikan tabiat membakar wang itu. “Tak Nak” bererti tidak mahu, mengelak, menafikan dan enggan. Kegagalan kempen ini dilihat berkait dengan sistem kepercayaan diri perokok yang telah sebati dengan keseronokan dan ketenangan yang diperolehi daripada merokok.

“Tak Nak” juga seerti dengan “Tidak” atau “Jangan”. “Tidak” bermula pada hampir semua permulaan. Kita dilahirkan oleh ibu bapa yang mengajarkan perkataan “Tidak”. Mereka menetapkan sempadan, peraturan, prosedur, panduan dan halangan untuk dipatuhi. Mereka juga mengajar kita tentang kepercayaan dan tingkah laku yang diterima dan kita menganggapnya sebagai “kebenaran”.

Setiap hari beratus-ratus kali kita diulang-ulang dengan perkataan “Jangan”. Kita telah membesar dan mempelajari apa yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat dengan pelbagai jenis frasa seperti “Jangan pegang!”, “Jangan pergi!” dan “Jangan buat!”.

Dalam masyarakat Melayu, perkataan “Jangan” adalah di antara yang paling kerap didengar. “Jangan berlari!” yang sentiasa akan muncul dalam kamus hidup zaman kanak-kanak telah menyekat perkembangan mental dan fizikal masyarakat Malaysia untuk menjadi jaguh lari pecut Asia.

Kajian-kajian yang dibuat oleh para pendidik pada awal tahun 1980-an mendapati secara purata kanak-kanak mendengar beratus-ratus perkataan “Jangan” bagi setiap satu perkataan “Ya”. Cuba kita perhatikan bagaimana ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak kecil mereka. Apakah perkataan yang lebih kerap digunakan?

Hidup terlalu banyak halangan. Kita belajar untuk hidup dalam pelbagai jenis halangan dengan penciptaan peraturan, penguatkuasaan dan mencegah kita untuk menyelidik, mengkaji, memerhati dan membuat tafsiran. Barangkali bagi sesetengah orang, perkataan “Jangan” adalah untuk mengawal, melindungi dan mencegah sesuatu keadaan. Halangan umpama minyak yang menggerakkan enjin. Tanpa halangan samalah seperti kisah seekor rama-rama kecil ini.

Thursday, July 05, 2007

Belajar untuk berdikari di menara gading

Keluhan seorang bapa mengenai jenis orientasi pelajar-pelajar baru di salah sebuah universiti baru-baru ini sangat mendukacitakan. Antara perlakuan tersebut ialah diarahkan menari yang dinamakan "cheer" yang melampau sehingga lewat pukul 3 pagi dan bercampur lelaki dan perempuan seperti dalam konsert.

Juga dinyatakan terdapat senior yang menjadi fasilitator tetapi tidak menitikberatkan soal solat. Lebih malang apabila tidak dibenarkan bersolat kerana dihalang oleh fasilitator.

Kesimpulan bapa ini yang mengaitkan kejatuhan dalam senarai 200 universiti terbaik dunia dengan minda mahasiswa yang dicemari hiburan jelas menggambarkan betapa marahnya beliau kepada bentuk pelaksanaan orientasi demikian.

Setiap kali pelajar baru mendaftar di mana-mana institusi pengajian tinggi, terdapat rungutan sama ada dari pelajar ataupun ibu bapa mengenai bentuk orientasi yang diadakan. Bagi institusi yang telah matang, seharusnya pelajar senior memperlakukan pelajar baru dengan lebih rasa hormat, mempunyai sifat ingin membantu dan bersedia dengan segala soalan mengenai bentuk pembelajaran di universiti atau kolej. Hanya senior yang belum matang yang tidak mampu membuat perubahan kerana keadaan pelajar sekarang jauh berbeza daripada pelajar sebelum ini.

Kelakuan fasilitator yang mencipta watak garang hanya meninggalkan kesan negatif yang mendalam kepada pelajar baru. Kenangan pertama yang buruk pasti akan dibawa sepanjang tiga atau empat tahun pengajian dan menjadi dendam yang berpanjangan. Keadaan ini tentulah membina hubungan yang tidak harmoni di antara pelajar lebih-lebih jika tinggal di satu kampus atau fakulti.

Era 80-an dahulu terdapat institusi pengajian tinggi yang tercemar kerana perlakuan "ragging" pelajar senior. Istilah yang agak terkenal ialah "kipas pusing" yang berlaku di kalangan pelajar baru lelaki. Walau bagaimanapun keadaan selepas itu semakin reda dan digantikan dengan perlakuan yang lebih lembut seperti berkokok di atas almari, berenang di atas lantai dan sembunyi di bawah katil. Bagi mahasiswa senior yang beranggapan hidup di universiti sama seperti hidup di kem askar, beliau akan memperlakukan keadaan begitu kerana pengalamannya sebelum ini pun penuh dengan kepayahan. Payah kerana terpaksa berjuang untuk belajar dan menamatkan pengajian.

Seminggu sebelum pelajar-pelajar baru mendaftar, biasanya fasilitator sibuk merancang agenda untuk melengkapkan orientasi supaya lebih padat, menarik dan yang penting, memberi faedah kepada pelajar. Ada yang menjemput pasukan perunding untuk melaksanakan kursus singkat kaedah orientasi yang berkesan dan ada yang hanya berbincang sesama sendiri sambil menjemput pensyarah yang dikenali boleh mengendalikan modul orientasi ini.

Bagi pentadbiran institusi pengajian tinggi yang peka dengan keperluan ilmu dan kemahiran membimbing pelajar, mereka tidak akan teragak-agak untuk melantik syarikat perunding luar untuk mengadakan program kepimpinan fasilitator yang berkesan supaya wujud keseragaman ketika minggu orientasi diadakan kelak. Melabur sedikit untuk kebaikan fasilitator dan pelajar baru tidak akan membazir kerana impak yang bakal diterima oleh kedua-dua pihak menjadi lebih positif.

Keadaan orientasi yang berlaku di institusi pengajian tinggi terkemuka di ibu negara seperti keluhan bapa ini memberi gambaran yang sangat negatif seolah-olah ianya berlaku ke atas seluruh institusi berkenaan. Ibu bapa yang tinggal di kampung dan mendidik anak-anak dengan nilai tradisi dan solat pasti akan terkejut besar apabila mendengar anaknya tidur jam tiga pagi dan dihalang daripada menunaikan solat. Perasaan mereka bercampur-baur dan keliru di antara prestij universiti dan realiti.

Alasan yang sering digunakan oleh fasilitator dan senior ini biasanya berkait dengan alam hidup di universiti iaitu pelajar harus berdikari tanpa mengira masa untuk meraih kejayaan. Jika terpaksa belajar lewat malam demi kejayaan, hal itu wajar dilakukan. Malah cabaran hidup di universiti bukannya sedikit. Mereka perlu berani untuk mencuba dan berikhtiar hidup. Kerapkali berlaku apabila wang biasiswa atau pinjaman lambat masuk, terpaksalah pelajar-pelajar ini mengikat perut dan berhutang bagi tempoh yang tertentu. Keadaan inilah yang cuba diberi pendedahan oleh fasilitator supaya pelajar tidak dimanjakan dan tahu apa yang patut dan wajar dilakukan bagi survival masa depan mereka.

Aspek memperkenalkan survival hidup ini sangat terkenal semasa orientasi tetapi aspek memperkenalkan cara hendak menjadi pelajar cemerlang di universiti jarang didedahkan. Tidak banyak orinentasi yang memasukkan kaedah untuk berkenalan dengan pensyarah, mendapat tips bagi keputusan peperiksaan 100 peratus atau kaedah belajar yang lebih berkesan di universiti. Pembentukan nilai-nilai yang menjurus kepada pembentukan jati diri turut tidak ditekankan, justeru itu lahirlah seperti dikeluhkan oleh bapa berkenaan yang menganggap hiburan adalah matlamat akhir kepada orientasi sehingga meminggirkan solat.

Kaedah pelaksanaan orientasi di universiti dan kolej wajar berubah dengan peredaran kematangan pelajar. Di negara-negara yang lebih baik tahap pendidikan, pelajar dilayan dengan lebih hormat dan tidak ada halangan bagi mereka untuk mencapai kejayaan. Diharap selepas ini pihak universiti berkenaan memikirkan semula perancangan bagi mendedahkan fasilitator mereka dengan keseragaman pelaksanaan orientasi kepada pelajar-pelajar baru. Hanya mereka yang pernah bergelar mahasiswa yang tahu betapa bertuahnya hidup di menara gading.