Produk yang hendak dijual kepada bakal pembeli boleh dikelaskan kepada tiga iaitu berbentuk fizikal, perkhidmatan atau maklumat.
Produk fizikal adalah yang paling biasa kerana senang diperolehi dan bakal pelanggan cepat membuat pilihan. Mereka boleh melihat dan menyentuh serta merasai produk yang hendak dibeli itu. Contohnya barang antik. Produk jenis ini perlu dipamer supaya bakal pembeli dapat melihat dan menilai kecantikannya. Bakal pembeli ingin melihat kerana mereka hendak pastikan produk yang dibeli kelak dapat memberi kepuasan kepada diri dan meningkatkan imej syarikat atau organisasi.
Kebanyakan bisnes di bandar hari ini melibatkan sektor perkhidmatan seperti perunding perkahwinan. Setiap tahun ramai orang berkahwin dan membelanjakan wang RM10,000 hingga RM15,000 untuk melengkapkan majlis perkahwinan mereka. Perunding perkahwinan bertindak menguruskan sesuatu majlis perkahwinan dari mendapatkan tempat, membuat jemputan, menentukan menu makanan dan mempastikan acara berkenaan berjalan dengan lancar. Kadang kala pemilihan pengerusi majlis juga diberikan kepada perunding perkahwinan ini.
Perkhidmatan seperti perunding perkahwinan ini biasanya memerlukan tahap kemahiran yang tinggi kerana jemputan yang datang ke majlis perkahwinan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada orang kenamaan, ahli perniagaan, pegawai kerajaan dan juga orang yang bergelar. Jadi, pekerja dalam bidang ini harus berpengalaman dan mampu membuat keputusan yang tepat apabila berhadapan dengan situasi yang berada di luar jangka.
Alvin Toffler, seorang peramal masyarakat masa depan menulis dalam bukunya The Third Wave, menerangkan, "Terdapat tiga jenis masyarakat - gelombang pertama ialah masyarakat pertanian; gelombang kedua adalah masyarakat industri yang dicirikan dengan keluarga nukleus. Ketika ini banyaklah pengeluaran yang dikeluarkan secara besar-besaran. Manakala gelombang ketiga adalah berkaitan maklumat, era elektronik dan pengeluaran berasaskan maklumat. Maklumat menggantikan sumber-sumber material sedia ada."
Pentingnya produk maklumat hari ini dapat kita lihat dalam pelbagai jenis seminar, kursus atau bengkel yang diadakan di merata tempat. Contohnya kursus perkahwinan. Mewajibkan orang ramai menghadiri kursus perkahwinan adalah lubuk wang kepada usahawan yang melibatkan diri dalam produk jenis ini. Setiap minggu ada sahaja kursus perkahwinan dijalankan kerana hanya orang yang layak sahaja dapat menyampaikan ilmu perkahwinan. RM80.00 seorang untuk kursus ini cukup menjana pendapatan pengusahanya kerana kursus ini berjalan sepanjang masa.
Selain dari itu, menjual maklumat kepada mereka yang berminat menjangkau ke dalam dunia saham atau lebih dikenali dengan forex.
Forex sangat hebat kuasanya dalam menjana pendapatan yang sebelum ini tidak terfikir oleh ramai orang. Dagangan forex dibuka 24 jam sehari tanpa henti dengan jumlah dagangan melebihi USD$2.5 trillion setiap hari. Jumlah ini sangat besar untuk mengkayakan semua orang. Warrent Buffet, seorang jutawan turut mengakui kuasa yang ada pada forex sebagai senjata kekayaan terhebat.Urus niaga forex ini tentunya melibatkan maklumat yang sentiasa berlegar di sekeliling pelabur. Bayangkan, dengan satu isu sahaja uasahawan forex boleh menjadi kaya-raya atau muflis dalam sekelip mata.
Bisnes forex mungkin terlalu besar bagi kita yang baru sedang mencari idea memulakan bisnes. Katakan anda adalah seorang setiausaha di syarikat atau agensi kerajaan. Bertahun-tahun anda menjadi setiausaha kepada ramai ketua jabatan. Pengalaman yang anda miliki sebenarnya sangat berharga untuk dikongsi oleh pekerja-pekerja baru. Anda boleh menjual maklumat dan kepakaran bagaimana hendak menyusun fail, selok-belok pengurusan pejabat, menyelaras pesanan makan-minum mesyuarat, teknik menjawab telefon yang berkesan dan kemahiran-kemahiran lain yang sesuai.
Usahawan yang menjadikan maklumat sebagai produk perlu juga mencari pasaran, merangka pelan perancangan bisnes, membuat unjuran aliran wang dan berusaha menukar pengalaman kepada kekayaan. Potensi untuk mendapatkan wang yang banyak sebenarnya terlalu besar kerana pengguna sanggup membayar kepada kepakaran.
Bisnes dengan produk fizikal, perkhidmatan atau maklumat adalah langkah awal menjejakkan kaki ke dunia bisnes yang lebih besar. Jika tidak ada produk, bisnes yang anda idamkan hanyalah angan-angan. Ianya tidak akan ke mana.
Seorang rakan saya telah berjaya menjadi kontraktor kerana menjual kepakarannya membuat gelanggang tenis dan badminton. Pada masa yang sama beliau juga menjual perkhidmatannya untuk membaiki bumbung bangunan yang bocor. Peringkat awal difokuskan kepada kebocoran masjid dan dikembangkan kepada semua jenis kebocoran yang berkaitan dengan air.
Bayangkan dengan ribuan masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Selangor, berapa banyak wang yang telah dijana oleh syarikat beliau?
Memulakan bisnes, beliau mengupah dua orang pekerja dan kini mempunyai sebuah kilang dan puluhan pekerja. Syarikatnya juga dikembangkan mengikut zon utara, selatan dan timur serta cawangan di Sabah dan Sarawak. Beliau juga kerap mengadakan lawatan keluar negara dan menyertai delegasi usahawan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan. Kini beliau sibuk melayan pesanan daripada usahawan Arab Saudi dan negara-negara Asian yang lain.
Bagaimana menentukan produk untuk bisnes anda?
Tiga pertanyaan harus anda jawab bagi memberi arah dan memperjelaskan apa yang anda ingin jual kepada orang ramai. Pertama, apa yang anda tawarkan? Di peringkat ini, mengenal pasti jenis produk dapat menjadikan perhatian anda lebih fokus dan pada masa yang sama, membantu anda membuat kira-kira tentang perancangan pasaran, reka bentuk produk dan anggaran perbelanjaan.
Anda boleh pilih produk fizikal, perkhidmatan atau maklumat berdasarkan keupayaan anda sendiri. Jika betul, anda sedang menuju ke arah gelaran "jutawan" kerana ramai yang telah berjaya melakukannya.
Remaja perempuan, Ashley Qualls berumur 17 tahun tetapi telah bergelar jutawan, dan beliau masih belajar. Ashley adalah perancang dan ketua kepada laman web whateverlife.com iaitu laman yang dimulakannya ketika berusia 14 tahun. Selepas tiga tahun, whateverlife.com telah menjana pendapatan lebih daripada US$1 juta setahun.
Bagaimana Ashley melakukannya?
Ideanya berkaitan undang-undang ekonomi iaitu penawaran dan permintaan (the law of demand and supply). Ashley berminat dengan kreativiti dan mereka bentuk pelbagai jenis grafik untuk MySpace. Cek pertama yang diterimanya berjumlah US$2,700, kemudiannya meningkat kepada US$5,000. Cek ketiga yang diterima lebih tinggi iaitu US$10,000.
Sewaktu menerima cek yang pertama, ibunya sangat terkejut kerana tidak menyangka Ashley dapat membuat wang dengan laman web. Tetapi Ashley yakin, mendapatkan ibunya dan berkata, "Tidak, saya yakin dengan apa yang saya buat."
Ashley berfikir betul. Cek-cek yang diterima seterusnya telah meningkatkan pendapatan dan membawa sekali bisnesnya sampai ke tahap sekarang.
Sebelum menjadi usahawan Internet, beliau seorang yang sangat pemalu hinggakan hendak memesan pizza dengan telefon pun sangat sukar. Sekarang Ashley berdiri dengan yakin di hadapan eksekutif perniagaan bagi membentangkan hasil kerjanya.
Memilih produk umpama memilih jalan. Dalam filem Labu Labi, ada dialog yang menarik berkenaan jalan iaitu: "I don't know where I'm going, to the hell or to the heaven." Kalau tidak ada produk, anda sedang memilih jalan kegagalan.
Kedua, apa yang menjadikan produk anda sangat istimewa?
Dunia bisnes adalah dunia persaingan. Hanya mereka yang kuat akan menang. Tanpa ada kekuatan, syarikat yang besar dan ternama akan kalah dan muflis. Kekuatan yang dimaksudkan boleh jadi macam-macam.
Dulu, sebelum ada konsep hypermart, orang ramai memilih supermarket untuk membeli barangan keperluan mereka walaupun harganya agak mahal.
Sebaik sahaja syarikat-syarikat besar seperti Tesco atau Giant membuka hypermart, orang ramai mula beralih ke situ kerana ditawarkan harga yang murah. Di sini, kekuatan hypermart ialah dapat menjual barang pada harga yang rendah. Konsep hypermart akan terus mendapat keuntungan selagi tidak ada pesaing yang dapat mengalahkannya.
Ketiga, apa yang anda akan lakukan bagi menarik perhatian pelanggan untuk berurusan dengan anda?
Strategi pemasaran sangat penting. Industri iklan membuat wang hanya dengan memasarkan idea untuk mencari strategi pemasaran yang berkesan. Salah satu cara untuk membezakan produk anda ialah memilih slogan syarikat atau imej produk yang anda tawarkan.
Syarikat-syarikat besar seperti IBM, Xerox atau Outward Bound menggunakan slogan yang menarik bagi menarik pelanggan sebagai strategi pemasaran mereka. Pemilihan slogan yang tepat dengan produk akan melonjakkan pendapatan syarikat. IBM memilih "Solutions for a small planet," Xerox menggunakan "A simpler way to do a good work," manakala Outward Bound mencetuskan slogan "Where born leaders are born."
Memilih slogan yang tepat dengan produk bukan sahaja dalam sektor perniagaan, agensi kerajaan juga turut berhati-hati memilih slogan yang menggambarkan hala tuju, komitmen dan aspirasi kakitangan.
No comments:
Post a Comment