Sunday, November 04, 2007

Beri perhatian kepada isu pendidikan bangsa

Perhimpunan Agung UMNO ke-58 yang akan berlangsung esok hingga Jumaat ini sekali lagi akan diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. UMNO sebagai parti politik yang berpengaruh khususnya kepada orang Melayu memberi harapan kepada pembangunan dan perubahan. Dari isu ekonomi kepada politik dan sosial, aspek pendidikan sentiasa menjadi perhatian kerana setelah 50 tahun merdeka, masih banyak ruang pembaikan yang boleh diberi tumpuan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Ketika Malaysia berbangga kerana Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dipilih sebagai salah seorang ahli lembaga eksekutif Unesco dengan jumlah undi paling banyak, sistem pendidikan negara sedang berhadapan dengan cabaran bagi menempuh 50 tahun yang akan datang.

Isu akhlak pelajar, pendidikan di sekolah agama rakyat, sistem vernakular dan perkhidmatan perguruan dan pencapaian universiti tempatan adalah cabaran yang sedang dihadapi dan menuntut penyelesaian yang terbaik.

Semua negara di dunia impikan pencapaian pendidikan dalam semua bidang: perubatan, kejuteraan, sains, politik atau ekonomi, begitu juga Malaysia. Justeru kita menghantar pelajar ke Ireland dengan melibatkan kos sebanyak €35 juta (RM145 juta) setiap tahun untuk pengajian, timbul pertanyaan: kenapa kita perlu belajar di Ireland atau luar negara? Kenapa kita tidak belajar sahaja di dalam negara?

Apakah Malaysia dapat bertahan dengan sistem pendidikan sedia ada jika menilai semua masalah yang berkaitan dengan pelajar dan pendidikan sekarang? Antaranya:

Pengangguran. Hampir 60,000 pelajar yang masih belum bekerja, kenapa? Alasan yang diberi ialah kemahiran komunikasi yang lemah; jika mereka bercakap dalam bahasa Inggeris, kefasihannya sangat kurang dan lemah ketika memilih perkataan. Tidak menghairankan jika universiti awam gagal melahirkan pelajar yang diingini oleh pasaran.

Salah pasangan. Terdapat kelemahan ketika menentukan apa yang dilahirkan oleh universiti dengan kehendak pasaran. Universiti terasing daripada pasaran semasa seperti dalam industri yang mana prestasi kerja yang diinginkan amat tinggi.

Pengaruh politik. Dalam semua peringkat pendidikan, ia berada dalam pengaruh politik. Sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Malaysia, sementara sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menarik perhatian kelompok etnik lain nampaknya masih belum berjaya. Hampir 95 peratus pelajar Cina masih memilih sekolah jenis kebangsaan sebagai pilihan utama ketika sekolah rendah.

Diketepikan. Suatu masa dulu parti politik dikuasai oleh guru tetapi kini didominasi oleh kelompok korporat. Pendidikan secara beransur-ansur dipandang sebelah mata dan terpisah daripada agenda pokok pembangunan negara.

Kawalan. Hanya baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi memberi penarafan kepada universiti awam dengan meletakkan Universiti Sains Malaysia sebagai universiti cemerlang. Ada pelajar yang melihat universiti swasta menawarkan pengajian yang lebih berkualiti, ataupun melanjutkan pelajaran ke luar negara sama ada ke Ireland atau UK.

Kurang tempat. Pelajar-pelajar muda yang layak tidak mendapat tempat kerana terhad.

Kurang dana. Tidak banyak peruntukan yang diberi untuk penyelidikan dan pembangunan. Pensyarah mengeluh tidak cukup data sedangkan bidang yang hendak dikaji amat banyak. Kekurangan dana ini amat ketara bagi penyelidikan sains sosial.

Pembaharuan pengajaran. Disebalik kualiti pengajaran, inovasi kaedah pengajaran datang daripada pihak atasan iaitu pembuat polisi tetapi kerap kali ada ketirisan dalam pelaksanaan.

Bahasa. Apabila kita berbicara mengenai globalisasi, kita juga berbicara mengenai rentas sempadan bahasa. Hari ini, lebih banyak bahasa yang dituturkan, lebih banyak pasaran boleh diterokai dan lebih banyak perniagaan dapat diceburi. Tetapi di Malaysia orang ramai masih belum memberi perhatian kepada perkara ini. Pengajaran menggunakan bahasa Malaysia kerana jika dilakukan dalam bahasa Inggeris, dikhuatiri akan merendahkan martabat bahasa kebangsaan.

Isu-isu pendidikan ini amat berkait dengan usaha Malaysia untuk masuk ke dalam masyarakat berasaskan berpengetahuan. Bagi mempercepatkan proses ini, kerajaan mesti mula memberi fokus kepada usaha meningkatkan kreativiti dan pemikiran kritikal pelajar, bukannya pembelajaran menghafal.

Untuk maju seperti negara-negara lain, pendidikan adalah kunci kepada pencapaian tersebut. Anjakan paradigma masyarakat menjadi teras kepada pelaksanaan sistem pendidikan yang berkesan walaupun peringkat awal mendapat tentangan. Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan adalah langkah betul tetapi jurang di antara sekolah bandar dan luar bandar mesti dikecilkan. Jika tidak, akan berlaku keciciran pelajar secara besar-besar dan menjejaskan perancangan sumber manusia pada masa depan.


Keberanian pemimpin membuat perubahan amat dihargai kerana memacu masyarakat kepada pola pemikiran baru. Barangkali tulisan Bakri Musa ini dapat membuka minda kita untuk melihat kejayaan negara Ireland merubah masyarakat Irish yang kerap kali dibayangi kehebatan bangsa Inggeris.

Penulis buku “Malaysia in the Era of Globalization,” Bakri Musa, seorang pakar bedah rakyat Malaysia di Lembah Silikon, California. Dalam majalah “Malaysia Today” pada 21 Ogos 2006 berkata:

“Semasa zaman Titanik, Ireland adalah sinonim dengan kemiskinan dan kemelaratan. Ireland waktu itu ialah sumber yang tidak pernah berpenghujung membekalkan pendatang-pendatang yang miskin ke Amerika Syarikat dan di tempat lain. Terdapat lebih ramai orang Ireland yang keluar meninggalkan negara berkenaan daripada yang sedia ada. Di Amerika, notis dan papan tanda seperti “Orang Ireland tidak perlu memohon!” ada di mana-mana.

Hari ini, sebagai tambahan kepada pencapaian cemerlang Ireland, individu atau yang ada pertalian darah dengan Ireland, mereka menjadi kedengkian kepada negara-negara Eropah khususnya dan dunia amnya. Orang-orang Melayu hari ini, seperti orang Ireland sebelum itu, berada dalam sangkar ketaatan beragama (Islam untuk Melayu, Khatolik untuk Irish). Anak-anak muda Melayu berkerumun ke madrasah untuk belajar bahasa Arab, hadis dan ilmu wahyu berbanding mempelajari bahasa Inggeris, sains dan matematik. Orang Ireland juga mencari biara-biara untuk belajar pelajaran agama. Orang-orang Melayu hari ini berada dalam cengkaman psikologi ulama dan ustaz, sebagai mana orang Ireland dicengkam oleh uskup dan paderi mereka.

Orang Ireland dimomok untuk menghidupkan semula bahasa mereka yang telah mati, Gaelic. Anak-anak muda Melayu hari ini diingatkan untuk memastikan bahawa mereka tidak perlu mempelajari apa-apa bahasa selain daripada bahasa Melayu. Mempelajari bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, dilihat sebagai satu tanda penyataan benci kepada bahasa sendiri.

Dalam perniagaan, perusahaan-perusahaan utama berada di tangan minoriti etnik Cina, dan politik dikuasai Melayu. Ireland juga begitu. Syarikat-syarikat utama berada di tangan bangsa Inggeris manakala orang Ireland sendiri terlibat dengan politik dan usaha penyatuan semula negara. Pendidikan di Ireland berada dalam kawalan dan arahan gereja, institusi intelektual utama dan kolej swasta bahasa Inggeris pula menekankan sains, teknologi dan ilmu sekular yang lain.”

Dia kemudian menyimpulkan:

“Pengajaran daripada Ireland adalah secara langsung. Pertama, menghapuskan pengaruh pertubuhan keagamaan, bukannya menghapuskan agama. Seperti Ireland, kita harus menghadapi globalisasi dan syarikat-syarikat yang bebas. Menarik pelaburan asing dengan cara mengurangkan cukai korporat dan menjadikan undang-undang lebih telus dan mudah. Syarikat-syarikat global ini membawa banyak pelaburan yang diperlukan di samping kepakaran pengurusan dan teknologi.

Membuka ruang ekonomi dan mempunyai satu dasar fiskal yang mendorong kepada pelaburan lapangan terbang, jalan dan sekolah, bukannya projek mega yang menunjuk-nunjuk. Pelaburan dalam sumber manusia, bukannya dalam saham syarikat.

Pengajaran daripada Ireland adalah mudah: the challenge is with their execution. Tidak perlu untuk satu 'revolusi mental' atau untuk Melayu menjadi kurang ajar (uncouth). Jika kita memerlukan satu revolusi, biarkannya seperti yang dilakukan oleh orang Ireland iaitu
Irish Quiet Revolution."

Pengalaman Ireland dan negara-negara lain yang berjaya membuat transformasi masyarakat melalui pendidikan harus diperhalusi. Tidak perlu untuk meniru bulat-bulat sistem mereka tetapi wajar disesuaikan dengan keperluan dan kehendak kita. Membina nilai supaya pelajar kita, dari tadika hinggalah universiti dapat berfikir dengan bebas dan bijak mengambil tindakan.

Arab Saudi yang mula melihat kebebasan akademik sebagai tonggak memajukan bidang pendidikan, mendirikan King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) dengan pelaburan sebanyak US$3 bilion (RM10.5 bilion) bagi menarik ahli akademik antarabangsa dan pelajar lepasan ijazah dengan tujuan menjadikan penyelidikan mereka bertaraf dunia.

Pada masa yang sama, mengurangkan kadar pengangguran dan pergantungan kepada hasil minyak dan gas. Di KAUST, pelajar dan pensyarah boleh berbincang secara terbuka dan bebas, manakala wanita dapat memandu kereta di dalam kawasan kampus. Wanita juga akan dipilih untuk megetuai beberapa jabatan.

Malaysia tidak perlukan tindakan radikal seperti Arab Saudi untuk mengubah paradigma masyarakat. Banyak kaedah lain untuk berhadapan dengan cabaran pendidikan ini.

Kepada peserta perhimpunan kali ini, mengutamakan pendidikan bangsa dan negara adalah nadi kepada pencapaian masa depan yang cemerlang. Berbincang dan berbahas, tetapi jangan lupa isu pendidikan.

No comments:

Post a Comment