"Tidak ada satu pun universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007 oleh Times Higher Education Supplement (THES), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini."
Tahun lepas Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya berbangga kerana dapat berada dalam kelompok 200 universiti terbaik, tahun ini diletakkan dalam senarai di luar 200 terbaik di dunia. Penilaian THES juga difahamkan menggunakan pendekatan berbeza pada tahun ini.
THES menyenaraikan UM pada kedudukan 246 daripada tangga 192 tahun lepas dan UKM pada tangga 307 tahun ini berbanding 185 sebelumnya.
USM pula yang berada kedudukan 277 tahun lepas, jatuh ke tangga 307 tahun ini manakala UPM pula turun dari tangga 292 ke 364.
Inilah realiti universiti awam di Malaysia. Sekejap cemerlang, sekejap malang. Tidak dapat dipastikan apakah yang menjadi punca utama keadaan ini. Setelah 50 tahun merdeka, institusi pendidikan kita masih lagi jauh daripada mendapat penfiktirafan antarabangsa yang boleh dijadikan tiket untuk menyerlahkan kempen menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan cemerlang serantau. Kita masih berada di belakang Singapura jika dinilai dari kedudukan kualiti universiti ini.
Keputusan tahun ini barangkali kerana naib canselor sedia ada tidak bekerja kuat untuk memenuhi kriteria penilaian. Jika tahun lepas, naib canselor UKM tersenyum bangga, tahun ini keadaannya berubah. Begitu juga universiti yang lain, masing-masing cuba mencari formula kenapa keadaan tersebut berlaku.
Memberi gelar kepada universiti penyelidikan, universiti apex dan sebagainya belum dapat menjamin institusi pengajian awam di Malaysia akan tersenarai dalam seratus yang terbaik. Jika diperhati dengan teliti, universiti di Britain semakin hampir mencabar universiti di Amerika Syarikat dalam lima kedudukan teratas.
Sektor pendidikan Britain mula menunjukkan ego mereka dengan mula mencadangkan kenaikan yuran pengajian di universiti-universiti hebat mereka seperti Oxford dan Cambridge (sini) apabila kedua-dua buah universiti dan institusi pengajian lain menduduki tempat yang lebih baik sejak 2006.
Menilai salah satu aspek pendidikan di Malaysia, masyarakat masih lagi tidak dapat menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun, masih ada saranan untuk mengambalikan pengajaran subjek tersebut ke bahasa Melayu.
Ulasan dari blog Kartun Malaysia ini lebih menarik untuk dibaca,
"Mula matematik dan sains dalam bahasa Melayu, lepas tu bahasa Inggeris, sekarang nak ke bahasa Malaysia pula! Dulu bahasa Melayu, sekarang bahasa Malaysia, lepas ni? Dulu Kementerian Pelajaran, lepas tu Kementerian Pendidikan, balik ke Kementerian Pelajaran. Yang untung penulis, penerbit dan pencetak buku. Yang rugi anak-anak kita semua, anak saya, anak tuan. Akhir sekali, keputusannya ialah universiti di Malaysia gagal dapat tempat ranking 200 terbaik dunia."
Apa yang cuba disampaikan oleh blog berkenaan ialah pemikiran dan tindakan pemimpin yang tidak berprinsip, menukar kaedah setelah kaedah sebelum itu gagal dilaksanakan. Beliau menyifatkan kementerian tersebut sebagai Kementerian YOYO. Begitulah pola pemikiran yang boleh kita lihat secara umum.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan akan dipuji jika memberi kejayaan kepada masyarakat dan negara. Jika ada yang tidak kena, mereka akan bersuara dan suara tersebut harus diberi perhatian.
Jadi, apakah bentuk kepimpinan kementerian yang akan datang supaya institusi pengajian tinggi di Malaysia akan kembali berada dalam kelompok 200 yang terbaik?
Sudah masanya kementerian memikirkan dengan serius tanda aras kecemerlangan pendidikan negara. Ukuran akademik, memenuhi sektor industri dan kelemahan komunikasi yang dijadikan sandaran kepada tiket kecemerlangan pelajar tidak sesuai dengan ukuran penilaian kita walaupun ia memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ekonomi dan sosial negara. Asas kepada ukuran ini adalah kapitalis dan meminggirkan soal agama dan budaya.
Kita harus memikirkan dengan serius tentang kualiti pelajar kita dari sudut akhlak, kekentalan membudayakan ilmu dalam hidup dan kuat cita-cita. Keegoan tamadun Baghdad ialah apabila mempunyai tradisi ilmu yang menjadi rujukan masyarakat dunia suatu ketika dulu.
Jika kita mempunyai kehebatan seperti ini, kita tidak memerlukan penilaian dari luar kerana nilaian dari dalam sudah dapat memenuhi kehendak kita sendiri.
[200 universiti terbaik]
No comments:
Post a Comment