Sunday, November 11, 2007

Revolusi tandas

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 2.5 bilion orang masih hidup tanpa kebersihan kesihatan atau bekalan air yang sempurna.

Kesedaran terhadap menjaga kebersihan diri khususnya tandas menjadi agenda penting ketika Korea Selatan menjadi hos kepada Sukan Olimpik 1988 dan bolasepak Piala Dunia 2002. Bekas Datuk Bandar Suwon, Sim Jae-duck memulakan kempen untuk mencantikkan tandas bandar raya berkenaan sehingga beliau digelar Mr. Toilet, panggilan yang melonjakkan namanya dan mendapat idea untuk membina rumah yang berbentuk tandas.

Rumah tandas ini mempunyai empat buah bilik mandi termasuk satu kolah mandian pusaran air, tandas awam dan kaca besar tempat mandi.

Di bahagian atas, terdapat laluan tambahan bagi penghuni untuk ke bumbung yang berbentuk mangkuk. Untuk naik ke bahagian ini, penghuninya perlu mendaki anak tangga yang lengkap dengan tempat mengumpul air hujan.

Sim bercadang mengenakan bayaran kepada sesiapa yang berminat untuk mendiami rumah ini. Beliau sedia mencari seorang tetamu yang sanggup membayar US$50,000 semalam untuk didermakan kepada negara-negara membangun bagi membina lebih banyak tandas yang baik.

Pelawat-pelawat yang ingin melihat bahagian dalam rumah ini dikenakan bayaran US$1 sebagai sumbangan.

Usaha Sim melalui Pertubuhan Tandas Sedunia tidak berhenti setakat itu. Beliau bercadang mengadakan persidangan tandas di samping ekspo yang berkaitan dengan tandas. Salah satu acara yang akan dipamerkan ialah "Hansel dan Gretel" iaitu bilik mandi yang memberi biskut dan gula-gula kepada kanak-kanak apabila mereka menarik pam tandas dan "galeri kafe tandas" di mana orang ramai boleh duduk bersantai dalam ruang yang luas sambil minum teh.

Tandas yang pelbagai fungsi juga direka di
Jerman, Italy, Perancis, Taiwan, Jepun dan China. Tetapi tandas di India agak aneh.

Masyarakat bukan Islam mendahului kepentingan menjaga kebersihan tandas. Mereka sanggup melaburkan wang dan membuat pelbagai kempen bagi membaiki amalan dan budaya masyarakat antarabangsa untuk mempastikan tandas sentiasa bersih dan terjaga.


Masyarakat Islam di Malaysia yang mementingkan kebersihan tandas kadang kala menghadapi masalah apabila menggunakan tandas awam atau hotel. Kebanyakan tandas yang disediakan siap dengan pancutan air daripada "paip siap bina" yang dibuat di bahagian bawah adalah tetap, sedangkan bentuk dan saiz punggung setiap orang adalah berbeza-beza.

Seorang rakan yang pernah tinggal di sebuah hotel menceritakan kisahnya yang sangat sukar untuk mencari paip di tandas bilik hotelnya ketika membuang air besar. Mahu atau tidak, beliau terpaksa juga menggunakan tandas yang ada. Ketika ditanya apa perasaannya ketika menggunakan tandas jenis itu, beliau menjawab seronok menahan pancutan air yang tepat ke punggungnya sambil menggayakan goyangan pinggang.

Bagi pengguna yang tidak tahu cara menggunakan tandas jenis ini, ia memberi masalah besar. Kalau tidak seluar yang basah, satu gulung tisu dalam tandas akan habis.

Pengguna juga merungut jika ada paip tetapi tidak ada cangkuk kerana tidak pasti sama ada kepala paip itu bersih atau tidak. Mana tahu jatuh di atas lantai yang basah, jatuh ke dalam mangkuk tandas atau terkena najis. Tandas yang disediakan di tempat perhentian bas, keadaannya lebih teruk. Lubang tandas yang kehitaman, tidak ada paip getah, kepala paip rosak, pam air yang tidak dibaiki dan pintu tandas yang tidak ada selak.

Sesetengah penumpang bas sanggup menahan kencing daripada mengunjungi tandas yang disediakan kerana pihak pengurusan tandas tidak prihatin dan mengekalkan mentaliti "tandas kotor adalah lebih baik." Fenomena ini berlaku di seluruh negara termasuk di tandas di kebanyakan masjid dan surau. Ada masjid yang sangat besar dan cantik di pandang dari luar tetapi apabila masuk ke bilik air dan tandas, keadaannya serupa dengan tandas di perhentian bas. Dari jauh bau hapak sudah dihidu.

Di tempat ibadat sekali pun masyarakat Islam masih tidak peduli saranan Rasulullah saw untuk menjaga kebersihan diri.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pernah menganjurkan Forum dan Ekspo Tandas Kebangsaan (NATEF) 2006 yang lalu dengan menjemput pengasas Pertubuhan Tandas Sedunia, Jack Sim dari Singapura. Beliau mempunyai impian untuk melihat setiap orang mempunyai sebuah tandas yang selamat dan seronok menggunakannya apabila mereka pergi ke mena-mana tempat.

Bagi merealisasikan impian tersebut, beliau menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan profesion tandas seperti pencuci tandas, mendedahkan arkitek dan pengurus bangunan kepada reka bentuk susun atur ergonomi tandas, melatih masyarakat miskin berkaitan rekaan tandas moden, melencongkan takungan air kencing dan beberapa kaedah ekologi yang lain.

Pada 2005, pertubuhan beliau menubuhkan Kolej Tandas Dunia di Singapura dan bersedia untuk membuka sebuah kolej tandas di Indonesia.

Kesungguhan bukan Islam seperti Jack Sim untuk melihat orang ramai menggunakan tandas dengan sempurna sangat membanggakan. Walau bagaimanapun konsep kebersihan yang diperjuangkan berbeza dengan kefahaman umat Islam kerana biar pun di dalam tandas, hubungan dengan Tuhan perlu tetap dipelihara.

Amalan kebersihan yang diajar oleh Nabi Muhammad saw sangat jelas dan mengaitkan diri dengan Allah swt. Dalam kehidupan harian Rasulullah saw, Baginda memulakan setiap hari dengan berdoa kepada Allah dan untuk masuk ke tandas, beliau masih lagi berdoa yang bermaksud: "Ya Allah! Aku berlindung dengan Mu daripada kejahatan (syaitan) dan ahli-ahlinya."

Kebersihan diri dengan tandas yang baik mesti diutamakan kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

[
Latihan tandas untuk kucing]

No comments:

Post a Comment