Asas menulis bukannya susah. Terdapat beberapa perkara yang mesti diketahui oleh kita sekiranya hendak mula belajar menulis. Setelah kita mendapat tips dan mula berminat dengan penulisan, ianya sangat sukar untuk berhenti daripada menulis.
Penulisan terdapat dalam berbagai-bagai bentuk dan jenis. Ianya boleh jadi dalam bentuk cerita pendek, buku kanak-kanak, buku bergambar, novel ataupun artikel ilmiah. Panjang atau pendek tulisan berkenaan tidak begitu penting selagi kita membina sendiri keupayaan menulis dan dapat memberi maklumat kepada orang lain.
Menulis menjadi tugas yang sangat mudah jika kita minat hendak menulis. Ia akan lebih bermakna apabila kita mempunyai latar belakang bahasa yang baik seperti tatabahasa dan karangan. Lebih banyak kita berlatih menulis, kita sedang membina masa depan yang cemerlang sebagai seorang penulis yang hebat.
Penulis Barat yang telah berjaya menjadi jutawan ialah JK Rowling, 41 tahun dari Britain yang mempunyai kekayaan sebanyak US$1 bilion. Beliau mempunyai tiga orang anak dan pernah hidup dengan bantuan kebajikan di Edinburgh, Scotland. Belajar di University of Exeter dalam jurusan sastera.
Berada pada kedudukan 891 dalam senarai individu terkaya Forbes 2007, jualan keseluruhan buku siri Harry Potter telah menjangkau sebanyak 325 juta naskah. Manakala bayaran royalti dan hasil jualan barang-barang yang berkaitan Harry Potter dianggarkan sebanyak US$3.5 bilion. Baru-baru ini, sebanyak 2.6 juta naskah buku "Harry Potter and the Deathly Halows" dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan jualannya.
Penulis lain yang berjaya ialah Paulo Coelho. Jika Rowling memberi perhatian kepada kanak-kanak dan remaja, Coelho memberi perjatian kepada kelompok dewasa. Beliau terkenal dengan buku "The Alchemist" yang menjadi buku paling laris di Brazil. Manakala "The Zahir" telah diterjemahkan ke dalam 44 bahasa. Buku pertama beliau ialah "Hell Archives" yang ditulis pada 1982 merupakan pengalaman benar yang dialaminya.
Sehinga sekarang, Coelho telah menjual sebanyak 85 juta naskah buku dan menjadi penulis paling banyak menjual buku pada tahun 2003. "The Alchemist" sahaja telah dijual sebanyak 30 juta naskah di lebih 18 buah negara.
Bagaimana dapatkan idea?
Tetapkan matlamat untuk menulis. Dapatkan idea atau isu yang kita mahir dan menguasai bidang berkaitan. Contohnya idea mengenai kesihatan dan cara gaya hidup masyarakat hari ini. Sebagai pengamal perubatan atau pakar pemakanan, anda mungkin tertanya-tanya apakah yang dimakan oleh orang ramai, kenapa mereka tidak mengambil berat apa yang dimakan dan apakah penyakit yang kerap dikatikan dengan cara hidup moden hari ini?
Topik yang paling sesuai ialah "Sepuluh cara gaya hidup sihat" atau "Panduan memilih makanan yang betul." Semakin banyak idea yang kita dapat, semakin bertambah topik yang kita perlu bincangkan.
Bagi memulakan penulisan kita, adalah penting untuk menulis berdasarkan keupayaan kita sendiri dan perlahan-lahan membina kemahiran mengarang sehinggalah kita berjaya mengatasi halangan demi halangan.
Jika kita menetapkan matlamat menulis untuk mendidik diri dan masyarakat, kita akan dapati terlalu sibuk dengan puluhan idea setiap hari.
Untuk mendapatkan idea yang banyak dan meluas, membaca adalah kunci kepada hasil tulisan yang bermutu. Pemerhatian, sensitif dengan perkembangan semasa dan membuka pancaindera keenam adalah asas kepada penghasilan bahan penulisan yang dapat menarik perhatian pembaca.
Kembangkan idea
Soalan yang sering ditanya kepada saya ialah "Di mana kamu mendapat idea untuk menulis?" Ia adalah soalan yang sangat susah dijawab menyebabkan saya menarik nafas panjang.
Kerapkali kita mengambil kesempatan mengatakan kekurangan idea adalah dalih untuk tidak mahu menulis. Tetapi kenyataannya ialah idea kita tidak membentuk secara lengkap dan menyeluruh di dalam minda sebaliknya penjanaan idea merupakan satu kemahiran sepertimana kemahiran-kemahiran latihan yang lain.
Setiap orang ada idea. Masalahnya ialah kita jarang dapat mengenal pasti idea tersebut tetapi bagi penulis yang hebat, mereka lebih cepat mencerap idea yang datang. Sebaik sahaja imaginasi disambar oleh maklumat yang dibaca, secara mendadak muncul idea yang menarik dan sukar hendak dilepaskan. Ketika mendengar kata-kata, lagu, nyanyian kanak-kanak atau bunyi bising motor mat rempit, kita secara tidak langsung mendapat idea. Apa yang muncul di dalam minda kita ketika itu disebut nukleus idea.
Seperti juga bom nuklear, idea kita yang ringkas perlu disokong oleh persekitaran yang mengambil sedikit masa untuk dikembangkan. Contohnya pada hari ini ramai penunggang motosikal tidak menghiraukan lampu isyarat berwarna merah. Walaupun tahu perlu berhenti tetapi kenapa penunggang motosikal masih ada yang tidak ada rasa malu dan takut untuk memberhentikan motosikalnya. Sedangkan mereka tahu risiko kemalangan dan disaman adalah tinggi.
Ideanya ialah nilai yang ada pada diri penunggang motosikal. Ini adalah anggapan dan andaian yang boleh dijadikan sebagai isi perbincangan supaya idea asal kepada nilai tadi dikembangkan dan dikaitkan dengan keadaan semasa. Elemen yang membantu idea tersebut menjadi kukuh ialah pengalaman sendiri yang dialami ketika memandu jalan raya.
Pemerhatian ialah elemen yang kuat bagi mengembangkan idea sedia ada. Suka dengan isu, tidak jemu dan rasa letih untuk mencari isu dan sentiasa bertanya kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku. Kemahiran ini boleh dibina secara berperingkat-peringkat supaya minat untuk mengkaji dan memerhati akan lebih terarah apabila kita sudah biasa dengan menulis kelak.
Siapa yang boleh menulis?
Semua orang ada pengalaman menulis, jadi semuanya boleh menulis. Kebanyakan mereka yang berjinak-jinak dengan bidang penulisan sangat percaya yang mereka tidak dapat berjaya dalam bidang itu. Apatah lagi hendak menulis sebuah buku. Mereka takut hendak bermula kerana takut untuk gagal.
Biasanya setelah memahami isu yang hendak ditulis, tidak ada halangan bagi kita untuk terus menulis.
Kenapa menulis?
Fadzli Yusuf, belum mencapai umur 30 tahun telah menulis 20 buah judul buku dalam tempoh empat tahun. Ada buku beliau yang telah dipasarkan di Jakarta sejak 2006.
Jadi, kenapa kita menulis, sedangkan banyak kerja lain yang boleh dilakukan?
1. Kita menulis apa yang kita tahu.
Pengalaman hidup, bekerja dan bermasyarakat memberi ilmu yang sangat berharga untuk dikongsi dengan orang lain. Kehidupan setiap orang adalah unik dan wajarlah dikongsi bersama supaya setiap detik suka dan duka menjadi teladan.
2. Menulis menambah pengalaman hidup.
Kehidupan anda kini berwarna-warni. Artikel yang kaya dengan semangat, prihatin dan tenaga kemanusiaan. Anda sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku kerana penulisan adalah dunia yang penuh dengan kebarangkalian. Apabila anda berfikir warna merah dan kuning, tiba-tiba ia menjadi biru, sesuatu yang berada di luar lingkaran pemikiran biasa anda.
3. Memberi apa yang kita mahu.
Hidup kita ada makna dan kita menterjemahkan makna tersebut. Mungkin ramai pembaca artikel yang kita tidak kenal tetapi dapat berkongsi tangisan dan ketawa apabila membaca artikel kita. Kejayaan kita ialah dapat membina hubungan hati dengan pembaca walaupun tanpa bertemu dengan mereka. Menulis adalah menyayangi orang lain dan membantu mereka menyayangi diri mereka sendiri.
Ketika kita di bangku sekolah, tidak ada sesiapa pun yang mentertawakan hasil tulisan kita walaupun terdapat pelbagai kesilapan. Kita terus berusaha untuk menulis dan akhirnya dapat membuktikan keupayaan tersebut melalui peperiksaan.
Apakah tulisan kita akan dibaca?
Apakah kita sudah mula menulis dalam bidang masing-masing sehingga berangapan tidak ada yang akan membacanya? Kata orang belum cuba belum tahu.
Dalam media hari ini, pelbagai jenis tulisan ada dan masyarakat akan terus membaca perkara yang yang sama tanpa ada perubahan. Sudah tiba masanya kita merancang untuk membuat satu bentuk tulisan yang dapat mengubah keadaan itu. Perkenalkan era baru dalam bidang ini dan hasilnya selepas itu barulah dapat dinilai pasaran pembacanya.
Kelompok pembaca terdiri daripada kanak-kanak, pelajar sekolah, remaja, orang dewasa, lelaki dan perempuan. Setiap kelompok ini ada selera masing-masing yang boleh dikenal pasti. Jika kita ada 50 jenis idea dan diberikan kepada semua kelompok pembaca berkenaan, pastilah tulisan kita akan mendapat maklum balas walaupun berbentuk negatif.
Seterusnya, menjiwai bidang penulisan yang kita minat, ianya dapat membawa idea yang lebih banyak kepada khalayak dan sedikit demi sedikit kita mula membina pengaruh yang kukuh.
Tidak susah untuk menulis. Pengalaman sendiri, pengalaman orang lain dan pemerhatian boleh dijadikan sebagai idea awal untuk merancang sebuah penulisan yang mudah. Bagi yang mula berjinak-jinak dengan penulisan, setiap masa sediakan alat bantu menulis yang dapat menyimpan maklumat seperti perakam audio atau kertas.
Penulis yang berjaya
Mereka yang membiasakan diri dengan menulis akan berjaya menjadi penulis kerana setiap masa mereka menajamkan kemahiran penulisan yang ada. Ulama-ulama dahulu banyak menulis kerana mereka menyibukkan diri dengan menulis dan mengajar kepada orang lain.
Penulis zaman moden semakin banyak menghadapi cabaran khususnya persaingan mendapat khalayak pembaca. Apabila JK Rowling menamatkan siri terakhir buku Harry Potter, akan ada kekosongan buku seperti itu di pasaran. Justeru, sudah ada penulis-penulis Barat yang mula mencongak buku mereka sebagai buku popular selepas ini.
Keazaman dan semangat seperti inilah yang membuatkan penulis-penulis muda lebih aktif dan mencari pelbagai tema bagi menakluk minat pembaca. Timbul pula pertanyaan, mana yang lebih baik: menulis kerana minat kita atau kerana selera semasa pembaca?
Terpulang kepada penulis sendiri, jika beliau hendakkan wang dan populariti, menulis kerana selera pembaca patut menjadi pilihan. Jika menulis kerana kepakaran dan menambah bahan rujukan, ia dapat memberi kepuasan kepada diri sendiri dan mengangkat martabat bidang pengkhususan tersebut.
No comments:
Post a Comment