Friday, November 02, 2007

Kalau hendak berniaga, baik berhenti kerja sebagai penjawat awam

Masyarakat umum tertanya-tanya siapakah yang dituduh mempunyai harta RM27 juta yang melibatkan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehinggalah Datuk Ramli Yusoff, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman membuat sidang media beberapa hari yang lepas memberitahu bahawa beliaulah orang yang dimaksudkan.

Kenyataan beliau agak memeranjatkan kerana bagaimana seorang penjawat awam boleh mempunyai harta di luar kemampuan diri sendiri.

Antara harta yang dimaksudkan dan dizahirkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga kini ialah dua petak lot ruang pejabat berharga RM1,302,840 dan saham 154,000 unit dalam sebuah syarikat hartanah serta menjadi pengarah syarikat ketika menjawat jawatan dalam sektor kerajaan.

Datuk Ramli telah mendaki tangga-tangga kejayaan sehinggalah menjawat jawatan kanan dalam PDRM. Dalam proses pendakian ini, tentulah banyak sekali halangan yang diatasinya dengan tabah dan yakin. Pengalaman yang lama dan panjang ini menjadikan beliau lebih matang dalam membuat keputusan bagi mengambil tindakan. Matang terhadap diri sendiri dan matang dalam menilai keupayaan pegawai-pegawai di bawah jagaannya. Tetapi Datuk Ramli membuat kesilapan apabila gagal membuat perisytiharan harta sebagai penjawat awam.

Dalam sektor perkhidmatan awam di Malaysia, pengesahan borang isytihar harta pegawai atau kakitangan hanya ditanda tangani oleh Ketua Setiausaha kementerian. Ini menunjukkan betapa penting membuat perisytiharan harta kerana implikasi mengabaikannya boleh didakwa.

Mengagihkan-agihkan harta yang entah dari mana datangnya kepada kakak dan adik memberi mesej yang jelas betapa beliau menyembunyikan sesuatu. Laporan media massa mengaitkan kakak dan adiknya mengundang persoalan apa yang mahu dibolot oleh beliau. Apakah beliau ingin menjadi kaya-raya hingga tidak peduli sempadan sebagai penjawat awam?

Begitu juga dengan integriti. Menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mendapat beratus-ratus hektar kawasan tanah di Sabah bukan sahaja dilihat tidak bermaruah malah membawa kesusahan kepada masyarakat setempat yang terlibat.

Banyak maklumat akan didedahkan apabila perbicaraan berlangsung di mahkamah nanti.

Rakyat Malaysia telah mengetahui pertuduhan ke atas pegawai kanan polis ini iaitu berkaitan rasuah, integriti dan salah guna kuasa. Kes ini juga menunjukkan ada pegawai kanan polis yang berniaga semasa bergelar penjawat awam. Tentulah teladan yang ditunjukkan ini merupakan teladan paling buruk dalam institusi kepolisan negara.

Menjadi penjawat awam memerlukan kejujuran. Pelbagai sistem yang diguna pakai oleh kerajaan bagi mengekang amalan rasuah dan salah guna kuasa jarang dinilai secara objektif. Mengharapkan Laporan Tahunan Ketua Audit Negara tidak menggambarkan keberkesanan sistem yang ada.

Masyarakat Malaysia ingin melihat sistem pentadbiran kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, bukannya tenggelam timbul mengikut musim. Pemilihan anggota kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau suruhanjaya yang lainnya perlu menjadikan integriti dan kejujuran sebagai elemen utama tanpa mengesampingkan pencapaian akademik dan pengalaman. Tidak perlu bagi penemuduga meninggikan suara untuk bertanya soalan atau meminta pendapat kerana perbuatan seperti ini diumpamakan seperti refleksi bercakap dengan orang pekak.

Ketika pemimpin kerajaan menekankan kemesraan dan mengutamakan integriti, wajarlah semua pihak yang berkaitan mempastikan penjawat awam menumpukan perhatian kepada kerja yang diamanahkan, bukannya berniaga atau mengintai peluang-peluang bisnes.

No comments:

Post a Comment