Ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengajak generasi muda Umno menggalas amanah mengangkasakan tamadun bangsa bagi mengangkat martabat orang Melayu ke tahap setinggi mungkin dalam 50 tahun kedua pembinaan peradaban negara.
Timbalan Presiden Umno berkata, orang Melayu mesti menjadi 'bangsa angkasa', yang sentiasa mempunyai impian tertinggi dan memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global. Pesanan Najib itu walaupun bukan perkara baru, tetapi menggunakan istilah baru iaitu 'mengangkasakan', dengan matlamat memacu semangat unggul masyarakat Malaysia supaya tidak terus berada pada takuk lama.
Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang Melayu lebih yakin pada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang menguasai pemikiran selama ini. Dua peringatan itu adalah sama bagi menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu bahawa tiada bangsa akan mundur jika lebih yakin pada diri sendiri, berfikiran positif dan tidak mudah mengaku salah. Maksud 'mengangkasa' seperti dinyatakan Najib adalah menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang ada sekarang ke tahap lebih tinggi.
Dalam persaingan global sekarang, sikap 'jaguh kampung' perlu dikikis dan orang kita perlu membuka minda untuk melihat jauh ke depan. Ia bermakna, orang Melayu dan Umno tidak boleh terlalu dibuai dengan nostalgia lalu. Justeru, orang Melayu perlu mencipta pemikiran baru dalam persekitaran dan realiti baru supaya roh perjuangan sentiasa segar dan relevan kerana kuasa minda paling penting bagi memastikan kegemilangan tamadun dibina.
Berdasarkan hakikat ini, minda Melayu juga perlu dipacu supaya lebih terarah kepada pemikiran positif, kreatif, inovatif dan proaktif. Contoh terbaik ialah kejayaan angkasawan negara iaitu satu pencapaian yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita ketika menuntut kemerdekaan 50 tahun lalu, selepas manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 1969 lalu.
Bagi mencapai sesuatu kejayaan luar biasa seperti itu memerlukan komitmen dan apa yang penting, sebagai asasnya ialah ilmu pengetahuan. Pelaburan dalam pendidikan seharusnya sentiasa menjadi keutamaan terpenting sesebuah keluarga Melayu yang tidak seharusnya terus berbangga dengan pemilikan harta seperti tanah, rumah dan kereta besar.
Kepada sayap muda dalam parti iaitu Pemuda dan Puteri, di tangan mereka harapan diletakkan bagi menggalas tanggungjawab memimpin masa depan. Pada bahu mereka nantilah diharapkan dapat bersama-sama mendidik anak bangsa bagi menjayakan misi nasional dan menempuh gelombang pembangunan fasa kedua bagi 50 tahun akan datang, menjelang 2057.
Golongan muda ini harus ingat perjuangan mulia mendaulatkan Islam hendaklah sentiasa dikekalkan sejajar dengan perjuangan Umno sebagai peneraju, pembela dan pejuang agama. Pendekatan Islam Hadhari adalah contoh kreatif pemikiran yang melihat Islam melebihi kebiasaan daripada agama yang hanya berbentuk ritual.
Umat Islam wajar menjadi contoh, termasuk dalam mencipta sejarah dan membina personaliti terbilang seperti pada zaman kegemilangannya. Sempena perhimpunan agung ke-58 ini, ahli Umno, terutama generasi muda harus merenung sejenak apakah bentuk Malaysia yang mereka inginkan untuk 50 dan 100 tahun akan datang.
Kita sudah melalui episod pengisian kemerdekaan dengan penuh gemilang dan bagi mengisi cabaran 50 tahun akan datang, komitmen lebih jitu diperlukan. Jadikan kejayaan ke angkasa itu sebagai lonjakan menggubah persepsi kita bahawa Melayu tidak boleh selama-lama bersikap mengalah.
[Berita Harian Online]
No comments:
Post a Comment