Sunday, November 25, 2007

Data kualitatif dan pengumpulan data

Data ialah maklumat mentah yang dikumpulkan oleh penyelidik daripada lapangan kajian yang menjadi asas kepada sesuatu analisis. Contoh-contoh data merangkumi transkrib temuduga, catatan pemerhatian, diari, gambar, dokumen rasmi dan artikel surat khabar. Data memberi bukti dan panduan bagi melaksanakan sesuatu kajian kualitatif.

Dalam kajian kualitatif, nota lapangan ialah maklumat yang didengar, dilihat, pengalaman yang dilalui dan apa yang difikirkan serta menjadi imbasan ke atas data yang ada. Maklumat yang diperolehi adalah seperti idea, strategi dan refleksi yang mempelbagaikan corak maklumat berkenaan. Kepentingan nota lapangan ialah:

1. memberi tumpuan dalam pemerhatian
2. menjelaskan konteks sesuatu temuduga dilaksanakan
3. menyediakan log peribadi bagi penyelidik menjejak perkembangan kajian
4. memberi gambaran terhadap pelan penyelidikan yang berkaitan dengan pengumpulan data
5. memberi kesedaran kendiri terhadap pengaruh data


Bagaimanapun kepentingan utama nota lapangan ialah meningkatkan kualiti penulisan sama ada kualiti isi, ejaan dan memberi rangsangan bagi membentuk ketajaman pemerhatian penyelidik.

Bagaimana nota lapangan diatur? Ia dipecahkan kepada dua iaitu:

1. Muka hadapan mengandungi maklumat tarikh dan masa, nama penemuduga, tempat berjumpa, nombor set dan tajuk setiap lapangan.

2. Perenggan dan sisi. Susun atur nota lapangan harus mengambil kira perubahan yang berlaku seperti topik baru dan maklumat baru. Apabila penyelidik ragu-ragu, dia harus memulakan perenggan baru manakala di ruang sebelah kiri, boleh dibiarkan kosong supaya catatan tambahan boleh dilakukan jika perlu.
Post a Comment