Asas kepada kecemerlangan sesebuah negara ialah pendidikan. Ketika Malaysia merdeka pada 1957, tidak ramai masyarakat negara ini yang mendapat pendidikan formal. Lebih-lebih lagi di kampung atau luar bandar. Jika ada sekolah pun, ianya hanyalah binaan kayu yang usang dalam kawasan yang sempit. Berbanding sekolah bandar, guru-guru di luar bandar terpaksa berhadapan dengan banyak kekurangan.
Pelajar-pelajar dahulu amat menghargai sekolah, menghormati guru dan ingin mengubah hidup keluarga. Jika mereka berjaya dalam peperiksaan, bantuan kewangan akan diberi manakala yang gagal terpaksa bekerja di kampung. Ketika itu tidak timbul masalah pelajar ponteng, penagihan dadah, buli dan apa sahaja yang dikaitkan dengan para pelajar sekolah hari ini.
Evolusi perkembangan pendidikan di Malaysia kelihatan amat pantas berubah. Bermula dengan Universiti Malaya, kini institusi pengajian tinggi awam dan swasta semakin banyak. Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi semakin bertambah dan menarik pelajar asing ke dalam sistem pendidikan Malaysia.
Penekanan kepada bahasa Inggeris adalah antara langkah yang diyakini dapat melonjakkan kemajuan pendidikan ini. Walau bagaimanapun ianya menjarakkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar. Yang kalah, malas dan tidak mendapat pendedahan akan ketinggalan manakala yang terdedah dengan pelbagai kemudahan akan terus bergerak ke hadapan.
Ke mana arah tuju sistem pendidikan Malaysia kini sebagai persediaan ke arah negara maju? Apakah aspek yang diberi keutamaan? Sejauh mana usaha yang sedang dilakukan dapat memberi implikasi yang positif terhadap dasar-dasar kerajaan pada masa depan?
Berbagai-bagai persoalan yang berhubung kait dengan kemajuan pelajar amat signifikan kepada perkembangan mental. Sistem pendidikan wajar mengambil kira lima aspek penting iaitu menggalakkan budaya mencari dan menyoal, suburkan kreativiti, pendedahan terhadap teknologi, keusahawanan dan kepimpinan bermoral. Kelima-lima unsur ini hendaklah diterapkan secara bersungguh-sungguh kepada pelajar supaya asas kehidupan mereka akan mantap, kukuh dan tidak teragak-agak dalam membuat keputusan.
Hasil daripada sinergi kelima-lima aspek ini ialah mampu membentuk arahan kendiri, kawalan kendiri yang kuat, belajar sepanjang hayat dan menghormati maruah manusia. Justeru bagi jangka masa panjang, tidak akan timbul lagi perkaitan bangsa dengan corak kerja kerana yang ada ketika itu adalah persaingan.
Mencapai status negara maju bererti memaksimumkan sumber-sumber sedia ada. YTM Tunku Abdul Rahman dan perdana menteri selepasnya telah membuat asas yang mantap bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Kemajuan yang dimaksudkan harus dalam bentuk pakej iaitu kemajuan pertanian dan pemprosesan makanan, kuasa elektrik yang berkualiti, infrastruktur dan sistem pengangkutan yang berkesan, pendidikan dan kesihatan serta teknologi komunikasi.
Melonjakkan sistem pendidikan negara bererti membangunkan potensi mental, fizikal dan spiritual pelajar. Persediaan harus dibuat bagi mempastikan lima aspek kemajuan negara dipenuhi dengan sumber tenaga yang pintar dan jujur.
Pelajar adalah sumber modal insan yang sangat penting. Kita tidak mahu menjadikan sekolah sebagai kilang pengeluar pelajar ponteng kerana dalam sistem pendidikan di Amerika Syarikat, satu per sepuluh pelajarnya akan gagal dalam pelajaran dan tidak tamat belajar. Kebanyakan daripada mereka adalah kaum minoriti dan berada dalam kelompok masyarakat miskin.
Sudah tentu kita tidak mahu sekolah-sekolah di Malaysia mengeluarkan pelajar yang rosak akhlak dan tidak tahu menilai pendidikan.
No comments:
Post a Comment