Konsep perkongsian baik dalam aspek politik, ekonomi dan sosial serta sikap saling menghormati kewujudan anggota masyarakat lain perlu benar-benar difahami dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Ini bererti bukan semua apa yang kita mahukan mesti dipenuhi dan diperoleh sekelip mata. Perjuangan demi kepentingan kaum pula tidaklah sehingga mengatasi kepentingan nasional iaitu kepentingan segenap lapisan masyarakat.
Tanggapan wujudnya penindasan terhadap kelompok kaum tertentu di negara ini lahir akibat tidak memahami konsep perkongsian dan permuafakatan yang diamalkan selama ini. Tidak salah untuk menyatakan hak namun bukanlah secara beremosional serta melanggar norma budaya sehingga mencetuskan huru-hara dan keganasan.
Tuntutan-tuntutan Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu atau Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang telah difaks kepada kerajaan British semalam (25 November 2007) juga menampakkan hakikat mereka tidak menghayati sejarah awal negara dan kewujudan mereka di tanah air ini.
Tuntutan pertubuhan itu agar kerajaan British membayar ganti rugi berjumlah 4 trilion pounds atau RM27.7 trilion atas dakwaan telah ditindas selama 150 tahun serta tiada perlindungan bagi hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu tindakan yang melampau, bersifat hasutan serta dalam masa yang sama menyinggung perasaan kaum lain.
Jika mereka menganggap sedemikian, orang Melayu juga boleh membuat tindakan yang sama dengan mendakwa kemasukan pendatang mulai kurun ke-19 ke negara ini sehingga mendapat status warganegara telah menafikan perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang mahu mewujudkan sebuah negara Melayu.
Namun, majoriti orang Melayu masih rasional dan dapat memberi pertimbangan yang wajar. Namun, sayangnya sikap ini tidak pula dicontohi dan diikuti oleh sebahagian kaum lain di Malaysia.
Nyata, konsep kontrak sosial tidak lagi menjadi pegangan sebaliknya wujud pula pihak yang suka menangguk di air keruh dengan cenderung menyuburkan syak wasangka antara kaum. Adakah tahap perpaduan antara kaum kini semakin rapuh lantaran sentimen perkauman yang di luar kawalan?
Walaupun kita mengaku dunia hari ini berhadapan dengan pengaruh globalisme yang menekankan pada sifat nilai dan budaya sejagat namun sikap perkauman di negara ini masih menebal. Hindraf sewajarnya sedar bahawa isu-isu berkaitan sentimen kaum dan agama perlu ditangani secara rasional.
Perjuangan demi kepentingan kaum dan agama bukanlah satu tiket mencabar kedaulatan undang-undang. Jika tidak, mereka akan dicap sebagai ‘kacang lupakan kulit’ serta ‘sudah diberi betis mahukan paha pula’.
Benarkah mereka ditindas selama mereka berada di tanah air ini? Adakah jika mereka berada di negara leluhur nenek moyang mereka pada masa ini, mereka akan menikmati kemakmuran ekonomi dan kestabilan sosial sama seperti yang dikecapi di negara ini?
Hakikatnya, tidak pernah tercatat dalam mana-mana sumber sejarah baik dari dalam mahupun luar negara, kedatangan mereka yang dibawa oleh penjajah British ditentang atau diperangi oleh bangsa Melayu.
Malah, jika kita menyusuri sejarah lebih awal daripada itu iaitu semasa zaman kegemilangan kesultanan Melaka, beberapa Sultan Melaka sendiri adalah keturunan Melayu-India. Orang Melayu pada zaman pemerintahan penjajah British pula tidak pernah memulaukan kewujudan apatah lagi memandang hina golongan imigran India yang memenuhi sektor estet dan perladangan.
Telah banyak kali kaum bukan Melayu diingatkan supaya menginsafi kedudukan dan hak mereka tidak pernah dipinggirkan. Walaupun Perkara 153 memberi keistimewaan pada kedudukan orang Melayu namun ‘kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain’ tidak pernah diabaikan.
Mulai 1 Februari 1948 lagi iaitu dengan wujudnya gagasan Persekutuan Tanah Melayu, kaum bukan Melayu yang ketika itu bertaraf pendatang diterima menjadi rakyat tanah air ini dan mendapat hak politik pula seperti orang Melayu. Atas sebab inilah bukan Melayu dituntut menghormati pengorbanan yang telah lama dilakukan oleh orang Melayu selama ini.
[Utusan Malaysia]
No comments:
Post a Comment