Bisnes adalah lubuk wang. Orang yang membuat bisnes memegang wang setiap hari pada setiap masa. Sekejap atau lama, kecil atau besar, tunai atau cek. Ada kalanya wang ini bertukar warna dari merah ke hijau, ke ungu atau biru. Ada syiling dan kertas. Ada tebal, nipis, ringan dan berat. Pendek kata, wang adalah perkara biasa bagi orang bisnes.
Bekerja makan gaji tidak banyak masalah. Mereka tidak perlu fikir macam mana hendak mencari wang, di mana hendak dapat lebih banyak wang dan siapa yang akan beri mereka wang. Apa yang perlu mereka lakukan ialah bekerja bersungguh-sungguh menyempurnakan misi dan visi syarikat. Jika ada wang lebih, insyaAllah hujung tahun akan diberi bonus.
Bisnes dan makan gaji adalah dua jenis pekerjaan yang sangat berbeza. Yang satu perlu berfikir susah dan senang mencari wang manakala satu lagi menunggu wang diberi pada hujung bulan. Orang bisnes pening kepala memikirkan untung dan rugi, orang bekerja menunggu saat-saat bahagia apabila tiba hujung bulan.
Di sekitar kita, ramai orang yang berminat hendak masuk ke dalam dunia bisnes kerana macam-macam ada. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak bermula.
Bisnes sangat berkait dengan peluang. Mencari peluang memulakan bisnes bukannya kerja mudah dan mengharap seolah-olah esok akan menjadi orang kaya. Bisnes perlukan langkah pertama. Dan langkah pertama tersebut adalah tahu adanya peluang di hadapan mata. Peluang sentiasa menunggu untuk dijumpai, oleh itu orang yang hendak memulakan bisnes mesti keluar mencari di mana peluang ini ada. Mereka yang malas dan mengharap, hanya akan menanti dan menanti.
Mencari peluang tidaklah susah. Jika kita sangat bernasib baik, ia hanya berada di depan mata, tidak perlu bersusah-susah mencari ke sana-sini.
Semua orang mempunyai peluang yang sama untuk menjadi kaya, sama ada buruh, pengurus atau towkey besar. Dalam buku Jutawan Senyap, Chef Li menceritakan kisah seorang pendatang asing Indonesia, Diyono Santoso yang datang ke Malaysia dengan bot. Beliau berenang beberapa batu untuk sampai ke pesisir pantai semata-mata hendak mencari peluang pekerjaan di sini.
Ketika merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur mencari pekerjaan, beliau perasan yang orang Malaysia tidak begitu kisah untuk membeli barang-barang yang murah berharga seringgit dua. Diyono berfikir, kalau begitu lebih baik baginya mencari barang-barang yang mudah dan dijual dengan harga seringgit.
Datang ke Malaysia tanpa ada kemahiran yang hebat, tetapi Diyono hanya tahu buat cendol. Itu saja kemahiran yang beliau ada. Semangat kental dan ingin menjadi kaya di bumi Malaysia, dia memberanikan diri menjual cendol kepada orang ramai. Awal-awal berniaga cendol, beliau mendapat RM300 sehari. Wah, ini sudah banyak!
Rajin dan sabar berniaga menjadikan perniagaan cendol Diyono bertambah maju. Dari satu gerai, ia bercambah kepada tujuh gerai di tempat yang berbeza. Kini beliau boleh senyum dengan pendapatan sebanyak RM20,000 satu bulan.
Idea Diyono hanyalah "orang Malaysia tidak kisah dengan seringgit dua untuk membeli."
Kisah lain ialah berkenaan dengan bisnes kecil tetapi berkembang menjadi US$3 bilion.
Steve Jobs adalah pengasas bersama seorang lagi rakannya memulakan perniagaan teknologi komputer Apple di belakang rumah bapanya. Ketika itu umurnya hanyalah 20 tahun. Dalam tempoh 10 tahun, syarikat Apple berkembang menjadi syarikat paling pesat dan dikenali di Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment