Sepuluh ramadhan yang terakhir adalah kritikal. Ketika ini umat Islam digalakkan membanyakkan iktikaf di masjid, memohon maaf di atas kesilapan dan kesalahan serta memuji Allah swt sebanyak-banyaknya. Inilah salah satu peluang kepada umat Islam bagi merebut satu malam yang dijanjikan keberkahan iaitu malam lailatul qadar.
Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah saw memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-quran, berzikir dan lainnya), baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”
Kekuatan umat Islam terdahulu adalah kerana keupayaan mereka melakukan sesuatu perintah kerana faham benar kenapa ianya perlu dilakukan. Kefahaman ini memberi keyakinan yang kuat kepada mereka untuk beribadah pada malamnya dan bekerja bersungguh-sungguh pada siangnya. Mereka faham dan yakin betapa kerja-kerja dakwah adalah tanggungjawab yang perlu dibuat walaupun sedikit.
Apa yang boleh diisi ketika iktikaf di masjid? Antaranya solat tahajjud, taubat, hajat dan tasbih. Solat-solat ini adalah penguat jiwa dan memantapkan iman. Membaca al-quran juga memberi kekuatan kerana dapat menyirami jiwa yang suram dan lesu, berwirid memuji kebesaran dan keagungan Allah swt sebanyak-banyaknya supaya ketenangan dan ketenteraman hidup akan terasa nikmatnya dan akhirnya banyakkan berdoa. Mintalah apa yang hendak diminta, insyaAllah akan dikabulkan.
Sepuluh yang terakhir ini juga masih ada ruang kepada umat Islam untuk bersedekah, memberi makan kepada orang miskin dan anak-anak yatim dan memuliakan mereka, begitu banyak masa yang masih ada dan wajar digunakan sebaiknya. Khusus kepada anak-anak yatim, ketika inilah masyarakat Islam boleh menggunakan peluang bersama dengan mereka dengan cara yang berhikmah dan mesra. "Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya." (Surah Adh-Dhuha, Ayat 9).
Kita tidak tahu bilakah tibanya malam yang istimewa ini tetapi ada di kalangan kita begitu bersungguh-sungguh mahu mengejarnya sehingga sanggup mengambil cuti sepuluh hari khusus menjayakan solat malam. Semangat dan kesungguhan seperti inilah yang kita mahukan supaya malam seribu tahun ini memberi makna yang sangat bererti kepada kita.
No comments:
Post a Comment