Monday, October 08, 2007

Winning

Penulis : Jack Welch (with Suzy Welch)
Tahun : 2005
Penerbit : HarperCollins Publishers, London, UK
Muka surat : 372

Jack Welch tahu bagaimana hendak berjaya. Semasa bekerja di General Electric (GE) selama 40 tahun, beliau memimpin syarikat itu ke arah kejayaan ke seluruh dunia dengan menembusi pasaran antarabangsa dan menongkah persaingan.

Kejujuran dan pengurusan "buat yang terbaik" menjadi tanda aras yang dijulang dalam perniagaan dengan perhatian istimewa diberikan kepada elemen kemanusiaan, kerja berpasukan dan keuntungan.

Sejak bersara pada 2001 sebagai pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Jack telah menjelajah ke seluruh dunia, bercakap di hadapan 250,000 orang dan menjawab pelbagai jenis pertanyaan daripada mereka. Teruja dengan bimbingan yang terus-terang, falsafah Jack menjadi rujukan dalam perniagaan kepada generasi kini biar pun ditanya dengan soalan-soalan yang sukar dan mencabar.

Meletakkan kemanusiaan pada setiap tindakan, di dalam syarikat kecil dan besar, Jack sangat optimis, tanpa berlengah dan beliau memaku kukuh pemikiran berdasarkan pencapaian. Justeru buku ini menawarkan kefahaman yang mendalam, keluasan pengalaman dan nasihat yang mantap supaya pemimpin organisasi hari ini dapat menukar cara berfikir manusia terhadap kerjaya mereka.

Bill Gates menyifatkan buku sebagai panduan lengkap tentang kejayaan dalam perniagaan daripada pelajar universiti hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif.

Manakala Warren E. Buffett berkata tidak perlu buku pengurusan lain lagi untuk dibaca.

Jack Welch tidak banyak menulis buku kerana tidak banyak masa. Setakat ini hanya tiga buah buku yang ditulisnya dan berkaitan dengan pengalaman beliau sebagai pemimpin syarikat utama di Amerika Syarikat. Penekanan yang diberi oleh Jack di dalam buku ini ialah misi. Tidak semestinya misi tersebut dicapai kerana misi yang berkesan ialah seimbang di antara dapat dicapai dan tidak capat dicapai. Misi ini juga di bawah tanggungjawab pengurusan tertinggi organisasi dan tidak boleh diserahkan kepada orang bawahan untuk merangkanya. Kejayaan GE di bawah kepimpinan Jack adalah kerana mempunyai misi yang jelas dalam setiap peringkat pengurusan syarikat itu.

Ulasan Editor: Membaca buku orang yang berpengalaman seperti Jack Welch membangkitkan kesedaran yang sangat baik kepada sesiapa sahaja yang ingin mencari panduan. Antara panduan tersebut ialah: tidak menjadikan keuntungan sebagai pusat kepada konflik kerana hendak memberi yang terbaik kepada pelanggan; tidak memaksimumkan keuntungan jangka pendek semasa membina hubungan dengan pelanggan; sentiasa mencari jalan untuk memudahkan perniagaan; komunikasi setiap hari dengan pelanggan kerana jika usahawan sendiri bercakap dengan pelanggannya, mereka tidak akan bercakap lagi dengan pesaing; dan jangan lupa mengucapkan terima kasih.

Bagi mereka yang terlibat dalam kepimpinan, pengurusan, ingin menjadi usahawan ataupun membina semangat juang yang tinggi, buku ini sesuai untuk anda.

No comments:

Post a Comment