"Burung murai.. burung murai!" Ungkapan ini menjadi ikon pada iklan raya Petronas tahun ini. Kisah seorang bapa yang sangat kasih kepada anak lelakinya tanpa rasa jemu melayan karenah[1].
Petronas masih lagi meletakkan nilai-nilai hidup dan hubungan kekeluargaan sebagai tema iklan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun lepas juga masih berkaitan dengan nilai keluarga [2]. Bait-bait kata yang diluahkan oleh anak kepada bapa kedengaran begitu keras berbanding kata-kata bapa kepada anak. Mesej yang hendak disampaikan sangat jelas iaitu keadaan hidup masyarakat berkeluarga hari ini telah berubah kerana ciri-ciri kemajuan adalah perubahan. Kesibukan bekerja anak-anak hari ini mengurangkan keakraban sesama ahli keluarga hinggakan layanan anak kepada ibu bapa semakin kurang mesra.
Keprihatinan Petronas mengenengahkan watak bapa seiring dengan peranan bapa sebagai ketua keluarga yang mesti diberi perhatian dan dihargai. Jika ibu tunggal mempunyai persatuan sendiri, bapa tunggal tidak ada malah lebih dikenali sebagai sebatang kara. Justeru ada lelaki yang sudah uzur, kematian isteri atau bercerai didapati tidur di tepi-tepi jalan dan kadangkala meninggal dunia dalam keadaan tidak ada siapa yang tahu.
Ibu bapa yang semakin meningkat tua terdedah kepada berbagai-bagai situasi; kasih-sayang, kewangan, perubahan emosi dan fizikal. Ketika inilah mereka amat memerlukan perhatian supaya tidak kesunyian. Bertanya khabar, makan bersama atau kerap ziarah boleh membantu mengekalkan nilai-nilai keluarga. Aktiviti-aktiviti seperti ini mesti dibuat secara berterusan supaya nilai tersebut dapat bertahan dan dikembangkan dari semasa ke semasa.
Mesej nilai di dalam iklan tidak hanya mendidik etnik Melayu malah memberi ingatan secara tidak langsung kepada kelompok etnik yang lain untuk menghargai kasih-sayang khususnya pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri ini. Jika tidak diberi perhatian, rumah orang tua atau lebih dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan (RSK) [3] akan mendapat sambutan daripada warga tua. Sekarangpun sudah ada aliran menghantar ibu bapa yang sudah tua dan uzur ke RSK kerana pelbagai sebab.
Keadaan ini tidak dapat dielak kerana jumlah warga tua di Malaysia telah meningkat melebihi enam peratus daripada keseluruhan penduduk. Berbanding Jepun yang mempunyai lebih sejuta warga tua yang melebihi umur 100 tahun, masyarakat Malaysia masih lagi menjaga ibu bapa masing-masing sehinggalah mereka meninggal dunia.
Tetapi bilangan ibu bapa yang bertambah di RSK tidak dapat disekat kerana di sana kemudahan kesihatan, penjagaan dan suasana sosial kadangkala lebih baik daripada di rumah. Ada anak-anak yang sanggup bersusah-payah mencari tempat penjagaan eksklusif supaya ibu bapa mendapat penjagaan yang terbaik khususnya aspek kesihatan.
Jika sebelum ini etnik Cina dan India yang ramai menghuni RSK, kini keadaannya telah berubah dengan etnik Melayu juga menunjukkan penambahan.
Bagi menjelaskan apa yang patut dibuat kepada warga tua, Dasar Warga Tua Negara [4] telah dibentuk bagi mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah, mempunyai martabat diri yang tinggi, dengan mengoptimumkan potensi diri mereka dan menentukan mereka menikmati semua peluang di samping mendapat penjagaan dan perlindungan sebagai ahli keluarga, masyarakat dan negara.
Takrifan warga tua yang diguna pakai di Malaysia berpandukan takrifan di “World Assembly on Aging in 1982” Vienna iaitu mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Objektif dasar ini ialah:
a. Meningkatkan kehormatan dan martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat dan negara.
b. Memajukan potensi warga tua agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara, serta mewujudkan peluang untuk membantu mereka terus hidup berdikari.
c. Menggalakkan pewujudan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang tertentu demi untuk menjamin penjagaan dan perlindungan warga tua ke arah kesejahteraan hidup mereka.
Strategi bagi menjaga keperluan warga tua di Malaysia banyak mengambil kira keadaan masyarakat pelbagai agama dan budaya supaya semuanya berada dalam keadaan selesa. Antara strategi yang diguna pakai ialah:
1. Kehormatan dan martabat diri
a.Membolehkan warga tua hidup dengan penuh kehormatan dan martabat diri serta selamat dan bebas daripada penindasan dan penganiayaan;
b.Menentukan warga tua mendapat layanan yang adil dan saksama tanpa mengira umur, jantina, keturunan etnik, agama, kecacatan atau lain-lain keadaan dengan tidak mengambil kira keupayaan sumbangan mereka;
c.Membolehkan warga tua menikmati peluang untuk merealisasikan potensi optimum mereka;
d.Memudahkan warga tua mendapatkan akses kepada sumber pendidikan, kebudayaan, rohaniah dan rekreasi yang ada dalam masyarakat.
2. Keupayaan berdikari
a.Mempastikan warga tua dapat memenuhi keperluan asas melalui sumber pendapatan, sokongan keluarga dan masyarakat serta usaha sendiri;
b.Memudahkan warga tua mendapat peluang untuk terus berkhidmat dan memberi sumbangan kepada kepada negara;
c.Mempastikan warga tua dapat menikmati persekitaran yang selamat dan mudah diubahsuaikan selari dengan keupayaan yang berubah;
d.Membolehkan warga tua terus tinggal bersama dengan keluarga dan masyarakat selama mungkin;
e.Memberi persediaan awal kepada warga tua untuk menentukan perancangan sumbangan berasas kepada kepakaran dan keupayaan yang dimiliki secara berterusan ke arah pembangunan negara.
3. Penyertaan
a.Membolehkan warta tua memainkan peranan dalam masyarakat dan melibatkan diri secara aktif dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan kesejahteraan mereka serta menurunkan pengetahuan dan kemahiran kepada generasi muda;
b.Memberi peluang kepada warga tua untuk menyumbang kepada masyarakat secara sukarela sesuai dengan keupayaan dan minat mereka;
c.Menggalakkan warga tua menubuhkan persatuan atau pertubuhan bagi menjalankan aktiviti untuk kesejahteraan mereka.
4. Penjagaan dan perlindungan
a.Mewujudkan kemudahan bagi jagaan dan perlindungan di dalam keluarga dan masyarakat sesuai dengan sistem dan nilai-nilai masyarakat negara ini;
b.Memudahkan warga tua mendapat jagaan kesihatan untuk membantu mereka mengekal atau memulihkan tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi ke peringkat optimum serta mencegah daripada jangkitan penyakit [5];
c.Membolehkan warga tua memanfaatkan perkhidmatan institusi yang menyediakan jagaan, perlindungan dan stimulasi sosial serta mental dalam suasana yang selamat dan selesa;
d.Memudahkan warga tua mendapat perkhidmatan sosial dan perundangan bagi memajukan hak autonomi individu, perlindungan dan jagaan mereka;
e.Menjamin warga tua menikmati hak asasi individu semasa dalam jagaan dan rawatan dengan mengambil kira kehormatan diri, kepercayaan dan keperluan yang sesuai bagi mereka;
f.Mewujudkan Sistem Keselamatan Sosial yang komprehensif bagi menjamin pendapatan dan kebajikan yang stabil di kalangan warga tua.
5. Penyelidikan dan pembangunan
a.Menggalakkan pelaksanaan kajian-kajian mengenai warga tua bagi tujuan pengumpulan maklumat untuk kegunaan perancangan program pembangunan warga tua;
b.Mewujudkan satu Badan Penasihat dan Perundingan Warga Tua Kebangsaan membantu menyelaraskan dan mengenal pasti keperluan-keperluan aktiviti bagi warga tua.
6. Pelan tindakan
a.Pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan warga tua oleh setiap individu dan kelompok, pertubuhan sukarela, masyarakat tempatan, agensi kerajaan dan pihak swasta berpandukan kepada Dasar Warga Tua Negara.
b.Bagi menjayakan perlaksanaan Dasar Warga Tua Negara maka usaha-usaha bersepadu dan menyeluruh perlu diambil oleh agensi-agensi yang berkenaan, antaranya:-
Pendidikan - Kemudahan-kemudahan pendidikan dan latihan perlu disediakan untuk membolehkan warga tua mengikuti kursus dan melanjutkan pelajaran bagi membolehkan mereka mengembangkan potensi ke tahap optimum. Kurikulum sekolah perlu mengambil kira pendidikan kekeluargaan agar generasi muda dapat menghayati dan memahami warga tua.
Pekerjaan - Warga tua digalakkan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyertaan dalam pekerjaan berasaskan kepada pengalaman dan kemahiran masing-masing. Dengan secara ini mereka boleh hidup berdikari dari segi pendapatan dan kesejahteraan hidup.
Penyertaan dalam Masyarakat - Warga tua digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kekeluargaan dan pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan, untuk membolehkan mereka memainkan peranan dalam keluarga dan masyarakat di samping dapat berinteraksi di antara mereka.
Riadah - Kemudahan-kemudahan yang sesuai perlu disediakan bagi warga tua menjalankan aktiviti riadah di kawasan-kawasan perumahan, taman rekreasi dan pusat-pusat sukan.
Pengangkutan - Sistem pengangkutan awam perlu menyediakan kemudahan yang sesuai bagi membolehkan warga tua bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan selesa.
Perumahan - Rumah-rumah yang sedia ada dan akan dibina perlu mengambil kira kemudahan-kemudahan yang sesuai untuk warga tua supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa.
Sistem Sokongan bagi Keluarga - Untuk menentukan warga tua dapat hidup terus bersama keluarga maka sistem sokongan bagi keluarga perlu diwujudkan di kawasan-kawasan perumahan bagi membantu keluarga dalam penjagaan warga tua. Insentif-insentif yang tertentu perlu diperkenalkan bagi menyokong ahli-ahli keluarga yang menjaga warga tua meneruskan peranan mereka.
Kesihatan - Kemudahan-kemudahan perubatan dan kesihatan yang sesuai dan khusus untuk warga tua perlu disediakan bagi menentukan mereka boleh hidup dengan penjagaan kesihatan yang sempurna.
Keselamatan Sosial - Satu skim keselamatan sosial yang komprehensif untuk menjamin masa depan warga tua perlu disediakan.
Media - Untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan warga tua di kalangan masyarakat, maka media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan yang lebih aktif.
Penyelidikan dan Pembangunan - Kajian-kajian perlu dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat-maklumat agar perancangan yang lebih teratur dapat dilaksanakan demi kesejahteraan warga tua. Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dikenal pasti sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam penyelarasan pelaksanaan pelan tindakan.
Strategi yang terdapat dalam Dasar Warga Tua Negara sangat komprehensif dengan mengutamakan keselesaan warga tua. Ibu bapa yang semakin meningkat usia mesti dijaga oleh anak-anak kerana suatu hari kelak, anak-anak ini juga akan menjadi tua dan pusingan ini akan berterusan.
Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah dan membawa sejuta makna jika anak-anak dapat memahami dan menghayati mesej nilai dan adab yang sedia ada diterapkan melalui agama Islam. Keriangan berhari raya akan terus menjadi perangsang apabila agama dijunjung, adab disanjung dan tradisi kunjung-mengunjung terus disambung.
assalamualaikum..
ReplyDeletehai...sy as, bagus la awk wat analisis tntg iklan komersial yg dibawa oleh petronas. TQ..leh la sy kongsi2 ngan awk,sy sndiri pun nk kaji tntg nie tuk asaimen sy "interaktif priklanan"
sy hrp kt dpt bkongsi mklumt nnt ya... ne emel sy
estey_as@yahoo.com.my
waalai kom saloom,
ReplyDeleteHarap beri objektif kajian, mungkin saya boleh bantu. Zahir
salam..
ReplyDeletesy suka cari awk menganalisis atau ur point of view..
im doing a research on iklan2 petronas..kalau awk bleh bagi ape2maklumat plez let me know ya..tanx!