Tuesday, October 30, 2007

Bapa berbohong di hadapan anak, apa kesannya?

Ansari (bukan nama sebenar) berusia 45 tahun sering membawa keluarganya makan malam atau tengah hari di kawasan peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan. Sekali-sekala mereka sekeluarga akan bertukar-tukar tempat kerana ingin mencuba menu makanan yang disediakan, di samping melihat suasana pantai yang damai, bersih dan menenangkan.

Ansari berkeluarga kecil tetapi berpendapatan besar. Hidupnya yang tidak pernah putus kewangan membolehkannya berbelanja makan di luar hampir setiap minggu. Anak lelaki tunggalnya dibawa sekali untuk menikmati cara hidup beliau ini.


Pada satu hari minggu, Ansari membawa sekali anak lelakinya untuk menikmati makan tengah hari di sebuah tempat peranginan ekslusif. Mereka memilih tempat tersebut kerana ianya agak tenang dan berhampiran dengan pantai. Tempat ini juga sering menjadi pilihan agensi kerajaan dan swasta untuk berkursus bagi tempoh yang panjang. Kedatangan peserta kursus silih berganti sama ada dua atau lima hari. Kafeteria yang menjadi tumpuan peserta untuk makan pagi hinggalah malam sentiasa terisi.

Sekiranya ramai peserta, pihak pengurusan kafeteria akan menyediakan tanda nama pada setiap meja untuk membezakan peserta-peserta kursus yang hadir ini.


Oleh kerana Ansari ingin benar makan tengah hari tetapi tidak cukup tempat duduk, beliau dan anak lelakinya membuat keputusan untuk duduk di meja yang diperuntukkan kepada agensi BBC. Tempat duduk di meja berkenaan cukup untuk menampung semua peserta dari agensi ini. Ansari dan anaknya duduk di meja berkenaan tanpa menghiraukan peserta-peserta yang memandang beliau untuk duduk. Mereka berdiri tercegat di situ bagi menunggu Ansari dan anaknya selesai makan tengah hari.

Meja makan yang diduduki oleh Ansari boleh muat seramai sepuluh orang. Bagaimanapun lapan kerusi telah diisi oleh para peserta kursus agensi BBC. Dalam keadaan demikian, salah seorang peserta bertanya sebanyak dua kali kepada Ansari berkaitan agensi yang diwakilinya kerana dia tidak pernah melihat Ansari sebelum ini. Peserta berkenaan menggunakan bahasa yang mudah dan tanpa ada prasangka buruk.

Di sebelah Ansari ada anak lelakinya yang sedang makan nasi, senyap tanpa suara. Tetapi matanya melilau ke kiri dan kanan, mungkin panik melihat ramai peserta yang sedang memerhati ke arahnya untuk duduk.

Ketika disapa dari mana beliau datang, Ansari buat-buat tidak dengar. Diulang soalan kali kedua, beliau menjawab sepatah perkataan dengan agak kasar: "BBC" tanpa mempamerkan muka senyum atau kelibat ingin berkenalan. Beliau terus minum kopi yang baru diambilnya seolah-seolah tidak mahu lagi ditanya sebarang soalan.


Jawapan berkenaan memeranjatkan kerana ternyata Ansari sedang berbohong, lebih-lebih lagi di hadapan anak lelakinya (walaupun anaknya tidak mengetahui yang bapanya sedang berbohong).

Lapan orang peserta dari BBC langsung tidak melayan Ansari kerana perbuatannya itu. Para peserta kursus senang untuk dikenali kerana mereka memakai tanda nama, baju seragam dan sudah kenal antara satu sama lain. Tindakan Ansari berbohong di hadapan anak lelakinya sangat menarik untuk dianalisis.

Kenapa bapa sanggup berbohong?

Sebabnya pelbagai. Ketika panik, seorang bapa sanggup melakukan apa sahaja. Dalam kes Ansari, beliau panik kerana telah salah memilih tempat untuk makan tengah hari sedangkan beliau tahu tempat berkenaan dikhususkan untuk peserta kursus. Ansari, bapa yang panik, sanggup mengambil tindakan di luar jangkaan untuk mengelakkan diri dengan memberi jawapan yang tidak ada kebenaran. Beliau juga lebih mudah mengelabah dan menjadi tidak tentu hala.

Justeru, selepas minum kopi, Ansari terus beredar tanpa bercakap sepatah pun kepada para peserta yang ada di sekeliling meja makan berkenaan.

Implikasi berbohong di hadapan anak

Ansari beranggapan tindakannya tidak memberi sebarang kesan kepada rakan-rakan peserta kursus yang bertanya. Hakikatnya tidak. Tindakan Ansari berbohong di hadapan anak lelakinya telah dijadikan bahan perbincangan yang menarik di kalangan peserta kursus kerana ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku. Proses perbincangan yang mengambil masa selama dua jam telah merungkai permasalahan Ansari; bapa pembohong dan kesannya ke atas perkembangan sahsiah anaknya.

Mempunyai bapa yang bersifat pembohong dapat menghuru-harakan keluarga. Proses berbohong ini tidak terjadi dalam masa yang singkat tetapi adalah siri pembohongan yang kecil dibuat secara berterusan sama ada disedari atau tidak. Ansari, dengan usianya, telah pun melalui proses ini dan masih lagi ingin berbohong kepada orang lain.

Anak-anak yang melihat perbuatan bapanya akan membesar dengan sifat tidak percaya yang akan mewarnai setiap tindakan dan keputusannya.

Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh Ansari?

Jujur adalah aspek yang sangat penting tetapi tidak wujud dalam diri Ansari ketika disapa. Walaupun rasa bersalah kerana salah memilih tempat duduk, beliau boleh menyembunyikan rasa bersalah berkenaan dengan berbual-bual dengan peserta lain di sekitarnya.

Orang lain tidak akan marah jika Ansari mengakui kesilapannya lebih-lebih lagi mengakui kesilapan di hadapan anak dapat mendidik anaknya untuk melakukan tindakan yang sama pada masa depan. Berterus-terang memberitahu dari mana beliau datang dapat menjadikan meja makan berkenaan lebih ceria dan hangat dengan perbincangan. Tetapi Ansari memilih untuk berbohong kerana pada fikirannya, sifat berbohong bukanlah satu kesalahan. Sifat inilah sebenarnya yang akan diwarisi oleh anak lelakinya itu.

Ponteng sekolah, tingkah laku anti sosial, lari dari rumah dan serba-serbi masalah remaja hari ini adalah contoh-contoh yang bermula dengan pembohongan. Anak-anak memberitahu bapa untuk ke sekolah tetapi menghabiskan masa dan wang belanja sekolah di kafe siber. Jika umur anak sepuluh tahun, dia masih boleh ditunjuk ajar tetapi apabila meningkat 17 tahun, dia sudah pun tegar dan susah untuk dibentuk.

Ansari, bapa pembohong, bersediakah beliau untuk dibohongi oleh anaknya kelak setelah membohongi ramai peserta kursus di meja makan agensi BBC?

No comments:

Post a Comment