Menyusuri Paya Mengkuang dan Londang, Masjid Tanah, Melaka bagi melihat sendiri ladang ternakan babi di situ merupakan pengalaman yang menarik bagi penyelidik. Kedua-duanya kawasan ini agak jauh ke dalam dengan bahagian depan Kampung Londang terdiri daripada penduduk Melayu manakala di Paya Mengkuang, terdapat sebuah pekan kecil yang mana sebahagian besarnya adalah penduduk Cina. Di pekan ini terdapat sebuah bangunan kedai sederet, tadika, kawasan perkuburan Cina, rumah ibadat dan balai polis kecil Paya Mengkuang.
Jalan raya di sepanjang Londang sedang diturap kerana terdapat tiga biji lori yang sarat dengan batu tar bersiap sedia untuk menurap permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata. Kenderaan yang lalu di kawasan ini juga terpaksa berhati-hati bagi mengelak lubang dan permukaan jalan raya yang tidak rata.
Londang adalah kawasan kampung tradisional dengan rumah penduduk di sini mempunyai halaman sendiri. Kebanyakannya dihias dengan kawasan pagar yang pelbagai rupa dan warna serta ditanam pelbagai jenis pokok bunga yang menarik. Ketika melalui kawasan Londang ini, penyelidik melihat penghuni rumah sibuk membersihkan halaman masing-masing sama ada mengecat pintu pagar, membakar sampah atau menyiram pokok bunga. Ramai di antara mereka ini adalah warga emas. Mungkin yang lainnya pergi ke sekolah atau keluar bekerja. Kegiatan utama ekonomi di sini besar kemungkinan pertanian kerana terdapat beberapa buah ladang kelapa sawit dan kebub getah. Aktiviti lain tidak dapat di kenal pasti.
Di Paya Mengkuang pula terdapat dua komposisi. Bahagian awal kampung ini didiami kawasan Melayu, sama seperti keadaannya di Londang. Di bahagian tengah dan hujung didiami penduduk Cina yang kebanyakannya mengusahakan ladang ternakan babi.
Perjalanan penyelidik ke kedua-dua buah kawasan kampung ini bermula selepas subuh dari Kuala Lumpur dan sampai di Masjid Tanah lebih kurang dua jam perjalanan. Bagusnya Melaka ini ialah jalan rayanya berturap lengkap, tidak pula kelihatan lubang atau permukaan tidak rata seperti yang terdapat di Kuala Lumpur. Bagi yang pertama kali sampai ke Masjid Tanah, agak sukar mencari tempat ini dan penyelidik bergantung sepenuhnya kepada papan tanda arah yang memudahkan pergerakan.
Isu babi menarik perhatian penyelidik untuk melihat sendiri keadaannya di Paya Mengkuang. Ladang ternakan babi di sini terletak agak ke belakang dari jalan raya utama. Di pekan Paya Mengkuang sahaja, ladang babi berada di belakang ladang kelapa sawit dan ada tempat tertentu, berada di sebelah rumah. Jika tidak berhati-hati, agak sukar untuk melihat kandang babi di kawasan ini. Bagaimanapun terdapat dua cara untuk mengesan ladang babi ini iaitu dengan menghidu bau busuk dan hanyir babi, dan kedua, dengan melihat pemidai hitam yang melingkari kawsan ternakan babi.
Sebaik masuk ke kawasan pekan Paya Mengkuang, penyelidik terus menghidu bau busuk babi. Mungkin keadaan cuaca yang panas dan berangin, bau ini tidak begitu kuat. Ketika berada betul-betul di pekan babi ini, penyelidik melihat sebuah lori empat tan keluar dari laluan tanah merah di celah-celah kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan perumahan. Wajah pemandu lori ini nampak selamba sahaja. Yang menarik perhatian penyelidik ialah laluan tanah merah berkenaan.
Perasaan ingin tahu menyentap kuat hati penyelidik untuk melihat dari mana lori berkenaan datang dan kenapa laluan tersebut tidak diturap dengan tar. Dengan berhati-hati dan perlahan-lahan, penyelidik memasuki laluan tersebut sehinggalah ke hujung ladang dan kawasan perumahan.
Rupanya di belakang kawasan perumahan ini sudah ada sebuah kandang babi, betul-betul di sebelah rumahnya. Dari jauh penyelidik ternampak seekor babi sebesar anak lembu, merah berbalar sedang bergelumang di dalam lumpur. Di sekeling kandang ini dilitupi pemidai hitam yang menjadi simbol kawasan ternakan babi. Manakala di hujung ladang kelapa sawit, kawasan ternakan babi yang lebih luas ada di situ. Agaknya lori empat tan tadi keluar dari kawasan ini.
Meninjau dari jauh, tidak terdapat satu sistem yang khusus dan lengkap untuk menternak babi di sini. Dengan kandang babi di belakang rumah, bagaimana keadaan kesihatan penghuni rumah berkenaan dan kawasan sekitar dapat ditentukan? Sistem pengairan juga sudah tercemar dengan longkang yang tersumbat dan berbau hanyir. Hitam pekat dan tidak ada pengaliran air secara langsung. Bau hapak babi akan meloyakan sesiapa sahaja yang melalui kawasan ini dan anehnya, penduduk pekan Paya Mengkuang yang rata-ratanya berbangsa Cina tidak pula terganggu dengan keadaan yang wujud di hadapan mata mereka.
Sepanjang pemerhatian penyelidik, tidak pula nampak muka-muka orang Melayu di pekan Paya Mengkuang ini sama ada membeli barangan keperluan ataupun melalui kawasan jalan raya di sini.
Dari pekan Paya Mengkuang, penyelidik bergerak menyelusuri jalan raya yang di kiri kanannya adalah ladang kelapa sawit dan kebun getah. Sesekali leher penyelidik dipanjangkan untuk melihat apakah aktiviti di sebalik pemidai hitam yang menutup kandang babi di sepanjang jalan berkenaan. Kawasan ini terdapat dua bentuk atau rupa ladang ternakan. Yang pertama di kawasan ladang kelapa sawit dan diusahakan agak ke dalam. Yang keduanya di kebun getah yang mana diusahakan betul-betul sehingga mencecah bahu jalan raya utama. Jenis kawasan kedua ini yang penyelidik tidak sanggup lagi menghidu bau busuk, hanyir dan hapak anak-anak babi ketika melalui kawasan berkenaan.
Di sepanjang laluan tersebut, pemisah di antara pengguna jalan raya dan kawasan ternakan hanyalah pemidai hitam yang digantung secara tidak terurus. Andai kata kayu pemidang kain ini patah, dari jauh lagi pengguna laluan itu akan nampak anak-anak babi yang merah kebalaran berkumpul.
Penyelidik sendiri dapat bayangkan betapa gelisahnya penduduk Londang dan Paya Mengkuang menghidu bau yang datang dari kandang babi apabila hari hujan. Sungguh menyesakkan.
Setelah separuh hari melihat keadaan kawasan ternakan babi yang menjadi isu hangat ketika ini di media massa, kesimpulan yang dapat dibuat ialah sistem ternakan babi sangat tradisional, jauh dari tahap piawaian semasa, mencemarkan ekologi, mengganggu kesihatan orang ramai dan boleh dikatakan primitif. Geli juga apabila melihat anak-anak babi berguling-guling di dalam lumpur di kawasan kandang yang kotor dan tidak terurus itu. Lebih teruk lagi ialah penduduk pekan Paya Mengkuang sanggup menahan bau busuk babi dengan menjalankan perusahaan ternakan babi di belakang rumah.
Tindakan kerajaan negeri Melaka yang mahukan bilangan babi dikurangkan kepada 48,000 ekor sahaja ada baiknya kerana ternakan babi seperti ini sangat mencemarkan persekitaran, mengundang penyakit dan mengganggu keselesaan hidup bermasyarakat.
hi saya nak tanya sikit sebab saya nie sedang buat projek skolah mengenai londang..
ReplyDeleteboleh saya tahu kat mane letaknye ladang ladang khinzir kat londang sebelum kerajaan menghadkan pegeluaran khinzir ke 48 000?
dan dulu sebelum ladang tersebut ditutup, bagaimana penduduk islam cuba untuk mengurangkan impak ladang tersebut dalam hidup mereka? yang saya tahu,ada yang menanam bunga kesidang kat pagar pagar agar bau khinzir tak kuat sangat.