Monday, October 01, 2007

Islam, knowledge and other affairs

Penulis : Mahathir Mohamad
Tahun : 2006
Penerbit : MPH Group Publishing Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor
Muka surat : 344

Dr. Mahathir Mohamad kerapkali dikenali kerana keberanian dan kelantangan ucapan yang menggambarkan cara fikir beliau. Dia mencabar corak pemikiran biasa dan yakin bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan berusaha sendiri.

Selepas bersara daripada jawatan perdana menteri, beliau dijemput ke pelbagai tempat di seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman dan buah fikiran mengenai Islam, perkembangan ilmu pengetahuan, pentadbiran kerajaan, pembangunan ekonomi-politik, sistem nilai, globalisasi dan hubungan antarabangsa, neo-imperialisme dan unilateral ketenteraan serta isu-isu semasa dunia.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian dengan bahagian pertama membincangkan Islam, ketamadunan, politik dan nilai. Bahagian kedua pula membincangkan Wawasan 2020, ekonomi dan rahsia pembangunan Malaysia manakala bahagian ketiga menyentuh aspek perdagangan, ekonomi dunia dan globalisasi.

Keseluruhan kandungannya berkait dengan ingatan Dr. Mahathir terhadap Dunia Ketiga tentang kemusnahan akibat globalisasi yang disifatkannya sebagai alat dominasi Barat ke atas ekonomi dan perdagangan dunia.

Ketakutan beliau ialah Islam akan menjadi agama ibadat semata-mata dan menggesa umat Islam untuk keluar daripada kelekaan dengan menjadikan amalan Islam lebih terbuka dan bergerak seiring perkembangan semasa. Dr. Mahathir sentiasa membandingkan kejayaan kerajaan Islam Andalusia yang sangat pentingkan pengetahuan, rajin menterjemah buku asing dan cekap dalam membuat penemuan-penemuan baru.

Dengan 31 tajuk yang dikumpulkan sepanjang tahun 2004 ini, ia dapat memberi pendedahan kepada pembaca bagaimana cara berfikir seorang pemimpin.

Ulasan Editor: Pemimpin mesti banyak membaca dan memerhati. Kejayaan Dr. Mahathir membuat telahan dan merancang pembangunan Malaysia dalam dua dekad pentadbiran beliau kini dikongsi bersama dengan pemimpin-pemimpin Dunia Ketiga.

No comments:

Post a Comment