Tuesday, October 02, 2007

Formula ajaib capai kemiskinan sifar

Antara fokus dan komitmen utama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sepanjang beliau mentadbir dan mengurus negara ialah berusaha menurunkan kadar kemiskinan daripada lima kepada tiga peratus dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010. Justeru, satu formula ajaib dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan penduduk luar bandar perlu bagi mencapai status kemiskinan sifar tiga atau empat tahun lagi.

Sejak merdeka pada 1957, kadar rakyat miskin di negara kita ialah 60 peratus, tetapi pada 2007 angka itu menurun kepada 5.7 peratus. Kadar kemiskinan tegar dan relatif di kalangan pekebun kecil turut menurun, berikutan kenaikan harga getah sejak 2002 iaitu daripada 23.9 peratus pada 2002 kepada 0.84 peratus 2006, manakala kemiskinan relatif, daripada 37.4 peratus (2002) kepada 9.14 peratus (2006).

Usaha membasmi kemiskinan bukan terhenti setakat itu saja, tetapi tetap diteruskan dengan kaedah berbeza. Laporan pembangunan millenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menunjukkan Malaysia negara pertama berjaya membasmi kemiskinan dalam negara. PBB sebelum ini mengisytiharkan 1996 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Membasmi Kemiskinan dengan objektif utamanya ialah menyedarkan masyarakat dunia faktor penyebab kemiskinan dan formula terbaik membasminya.

Berdasarkan bancian 1970 didapati 49.3 peratus daripada semua isi keluarga di Semenanjung menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan. Daripada jumlah kesemua keluarga miskin, 86 peratus berada di luar bandar dan 14 peratus di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah Melayu (64.8 peratus), Cina (26.0 peratus), India (39.2 peratus) dan lain-lain (44.8 peratus). Pada 1976, kadar kemiskinan bagi seluruh negara ialah 42 peratus, yang mana kadar kemiskinan di luar bandar 51 peratus dan 19 peratus di kawasan bandar.

Pada 1990 pula, kadar kemiskinan menurun ke 17 peratus. Bilangan isi rumah miskin pula seramai 619,400 isi rumah dan pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) iaitu 1995, kadar kemiskinan negara menurun ke 8.9 peratus dengan ada sejumlah 370,000 isi rumah miskin di seluruh negara. Kualiti hidup rakyat keseluruhannya dan produktiviti negara juga meningkat seiring dengan kemajuan dan kemakmuran negara.

Bagi menyahut cabaran Perdana Menteri dan kerajaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) mensasarkan untuk mengatasi masalah kemiskinan tegar di kalangan penduduk negara ini menjelang 2010. Pada masa ini, jumlah rakyat, termasuk dalam kategori miskin tegar di seluruh negara berjumlah 48,134 orang. Dalam tempoh Jun sehingga Disember 2006, seramai 3,830 orang berjaya dikeluarkan daripada kelompok miskin tegar. Pada 2007 pula sehingga 31 Mac lalu, daripada jumlah 48,134 orang miskin tegar, berjaya menurunkan kadarnya sehingga 44,304 orang dan angka itu akan terus dikurangkan.

KKLBW turut mensasarkan sifar miskin tegar dengan menyediakan pelbagai program bagi membantu menaikkan pendapatan kepada keluarga miskin. Menerusi Program Latihan, Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), sebanyak 4,000 peserta mengikuti program itu dan ia menunjukkan kesan positif. Menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM603 juta untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar.

Kadar kemiskinan juga menurun kepada kurang daripada enam peratus dan kemiskinan tegar hanya tinggal 1.2 peratus. Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam membasmi kemiskinan negara. Tidak ada negara lain kecuali Malaysia memperuntukkan 20-25 peratus daripada bajet tahunan untuk pendidikan.

Menerusi pendidikan juga, kita dapat keluarkan penduduk kita daripada perangkap kemiskinan, satu kitaran ganas yang masih berlaku di negara lain. Sebagai bukti keberkesanan pendidikan, ada anak petani berjaya menjadi jutawan dalam tempoh hanya satu atau dua generasi, manakala ada anak nelayan berjaya menaikkan taraf sosialnya dalam tempoh singkat.

Pendapatan garis kemiskinan (PGK) sekarang di seluruh negara ialah RM437 sebulan. Berdasarkan PGK baru, kadar kemiskinan dalam negara berada pada tahap 5.7 peratus dan miskin tegar pada tahap 1.2 peratus pada 2004. Kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010. Program membasmi kemiskinan akan memberi tumpuan kepada usaha bina upaya di kalangan golongan miskin dengan menambah baik akses kepada pendidikan dan kemahiran, memupuk nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi diri.

Di Malaysia, perangkaan menunjukkan bahawa setakat ini umat Islam mewakili lebih kurang 60 peratus penduduk negara ini hanya menguasai lebih kurang 20 peratus saja daripada ekonomi. Walaupun ini menunjukkan satu peningkatan yang mana kita hanya menguasai lebih kurang lima peratus saja ekonomi negara pada 1970, penguasaan kita masih rendah berbanding kaum Cina yang menguasai 60 peratus.

Begitu juga jika statistik kadar kemiskinan mengikut negeri masih ada beberapa buah negeri pada 1997 dengan kadar kemiskinan penduduknya masih tinggi seperti Kelantan (19.2 peratus), Terengganu (17.3 peratus), Sabah (16.5 peratus), Kedah (11.5 peratus) dan Perlis (10.7 peratus). Bagi negeri ini, majoriti penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia masih belum boleh berpuas hati dan berbangga sepenuhnya dengan pencapaian ekonomi mereka setakat ini. Umat Islam di negara ini perlu sentiasa diingatkan mengenai kedudukan ekonomi mereka yang masih terkebelakang. Dalam konteks ekonomi dunia pula, kebanyakan negara Islam jatuh ke dalam kategori negara kurang membangun. Walaupun negara Islam menghasilkan 44.5 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dunia (1989-1995), secara keseluruhannya pencapaian ekonomi negara Islam masih rendah. Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Islam hanya 4.7 peratus daripada KDNK dunia. Pada 1996, eksport negara Islam hanya mewakili 7.7 peratus daripada eksport dunia (AS$396 bilion/AS$5,141 bilion). Begitu juga dengan import negara Islam yang hanya 7.43 peratus daripada import dunia (AS$395.318 bilion/AS$5,313.50 bilion).

Kerajaan juga menetapkan sasaran meningkatkan peratusan pendapatan isi rumah kumpulan penduduk 40 peratus terendah bagi memacu pembangunan wilayah dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar serta antara wilayah yang kurang membangun dengan wilayah yang membangun, kerajaan akan menambah peruntukan pembangunan luar bandar serta pembangunan wilayah kurang membangun. Namun, menambah peruntukan semata-mata, tidak cukup dalam era ekonomi global. Kita perlu memperkenalkan formula pembangunan lebih bersepadu, menyeluruh lagi dinamik.

Ia termasuk program kemudahan perumahan kos rendah, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur serta program khusus bagi mereka yang kurang upaya dan kurang bernasib baik. Peruntukan itu antara lain digunakan untuk Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang menerapkan aspek latihan dan bimbingan usahawan, pemasaran dan promosi serta khidmat sokongan perniagaan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar termasuk golongan termiskin.

Sebahagian peruntukan itu juga disalurkan bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) untuk menyedia dan membaik pulih 4,000 rumah rakyat termiskin di luar bandar. Komitmen kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan turut tertumpu kepada usaha menambah baik Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas, menaik taraf dan mengubahsuai sekolah luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak serta membekalkan elektrik kepada hampir 500 sekolah dan menyalurkan air kepada 260 sekolah.

Baru-baru ini, kira-kira 400,000 murid miskin seluruh negara menerima peruntukan tambahan RM20 menjadikan jumlahnya RM50 sebulan menerusi skim bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), mulai tahun ini. Banyak lagi usaha dilakukan agensi lain, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke arah membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan. Dalam usaha meningkatkan kebajikan kanak-kanak di luar bandar menerusi penyediaan makanan berkhasiat dan seimbang, kerajaan mengambil keputusan menambah bantuan kepada tabika di bawah Kemas daripada 60 sen kepada RM1.50 bagi setiap murid. Usaha menambah kemudahan membaca bagi murid sekolah di luar bandar di bawah Program Khas Perpustakaan Desa (PKPD) akan diteruskan. Peruntukan sebanyak RM30 juta membina 200 perpustakaan pada 2005 ditambah RM85 juta bagi membina 400 perpustakaan desa dan tambahan bahan bacaan pada 2006.

Kewujudan Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (PKKP) Universiti Malaya sebagai badan penyelaras kajian mengenai kemiskinan dan pembangunan di negara kita. Ada lima bidang menjadi tumpuan iaitu kemiskinan, pengagihan, guna tenaga, hubungan etnik dan pembangunan. Pusat kajian yang ditubuhkan pada November 2005 ini akan dinaikkan taraf sebagai pusat kajian antarabangsa untuk mencari pendekatan dan idea baru menangani masalah kemiskinan peringkat global.

Malah, kerajaan akan turut melancarkan Program Lonjakan Mega Luar Bandar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 48,000 keluarga yang hidup di bawah garis kemiskinan tegar di seluruh negara. Program bersepadu Lonjakan Mega Luar Bandar di Pulau Banggi, Kudat, Sabah; Ganda, Grik, Perak; Gahai, Pahang dan kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar dilancar bagi merealisasikan usaha ini.

Antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Perangkaan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah contoh terbaik yang melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan selama lebih 17 tahun untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Industri Kecil dan Sederhana (PKS) juga boleh menjadi medan terbaik menjayakan usaha membasmi kemiskinan dengan potensi dan peluang sektor kecil ini amat besar dan berdaya maju. Perusahaan makanan dan minuman ringan begitu mendapat tempat dalam pasaran ketika ini, terutama membabitkan herba dan tradisional.

Jutawan dan syarikat korporat pula bolehlah memberikan sumbangan dalam bentuk dana kewangan dan teknologi bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar sektor kecil berdaya maju yang boleh disertai kelompok miskin tegar dapat dipertingkat dan diperkemaskan, termasuk daya pengeluarannya. Seterusnya sistem zakat, baitulmal dan wakaf negara perlu inovasi dan dinamik agar mekanisme ini tidak hanya menyalurkan bantuan dari segi kewangan saja kepada golongan amat memerlukan, malah meliputi bantuan peralatan, mesin, perkhidmatan sokongan dan bimbingan, teknikal, teknologi dan sebagainya.

Budaya dan amalan memberi ‘ikan’ saja tanpa tindakan susulan hendaklah dihindari dan tindakan ini tidak akan membawa sebarang perubahan kepada golongan miskin tegar ini. Oleh itu, anjakan paradigma sistem bantuan, penyampaian serta pembahagian diperlukan.

Anugerah Tokoh Basmi Kemiskinan kepada Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Paduka Rahmah Abu Kassim baru-baru ini adalah inisiatif dan komitmen terbaik kerajaan menjayakan usaha pembasmian kemiskinan secara total di negara kita. Gerakan membasmi kemiskinan tanggungjawab semua pihak dan bukannya semata-mata daripada kerajaan.

Menjelang 2010, mungkin istilah kemiskinan hanya akan tinggal dalam kamus dan menjadi bahan kajian sejarah serta diabadikan di muzium sebagai tatapan generasi akan datang sekiranya kita bersungguh-sungguh merealisasikannya. Untuk itu juga mungkin ‘pil dan formula ajaib’ amat diperlukan segera.

Mohamad Sofee Razak, Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment