Penulis: Dr. Hilary Jones
Tahun: 2000 (edisi ketiga)
Penerbit: Vermilion, London, UK
Muka surat: 338
Mengenal pasti simptom sesuatu penyakit di peringkat awal sangat penting untuk mencapai tahap kesembuhan yang maksimum. Tetapi bagaimana kita dapat tahu keadaan itu berbahaya atau sebaliknya? Kepada pembaca, buku ini dapat membantu menentukan pada masa bila pesakit dapat bertemu dengan seseorang doktor.
Dr. Hilary Jones merupakan pengamal perubatan yang sering muncul di kaca televisyen dengan memberi panduan dan nasihat yang sesuai untuk masyarakat umum. Justeru itu beliau kerap menerima pertanyaan daripada peminatnya berkaitan dengan kesihatan mereka dan penyakit yang dihidapi. Dr. Hilary tidak memberi jawapan kepada kebanyakan pertanyaan tersebut yang ada kaitan dengan penyakit sebaliknya menyelidik dengan lebih mendalam simptom-simptom yang dihidapi.
Bagi beliau, pesakit tidak pergi ke hospital kerana batu karang, multiple sclerosis atau infeksi. Pesakit berjumpa doktor kerana sakit dada, air kencing menjadi gelap atau rasa kebas. Dalam erti kata yang lain, pesakit mahu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan simptom tersebut.
Dalam merawat pesakit, simptom memberi petunjuk bagi menilai penyakit. Oleh itu, buku ini disusun menggunakan simptom sebagai mukadimah setiap bab berbanding kebanyakan buku kesihatan yang meletakkan penyakit sebagai topik utama. Dr. Hilary menyusun 12 bab yang sering menjadi perhatian pesakit seperti simptom umum, sistem penghadaman, kadar denyutan yang tidak normal, pendarahan yang luar biasa, bengkak, sistem saraf, masalah seksualiti, kulit dan simptom umum pada kanak-kanak.
Buku yang bagus ini tidak dapat menggantikan deskripsi doktor, walau bagaimanapun ianya dapat membantu pembaca membuat pemerhatian awal mengenai tanda-tanda sesuatu penyakit dan pada masa yang sama mendidik pembaca untuk mengambil berat keadaan kesihatan mereka.
Ulasan Editor: Peningkatan kos ubat dan pendedahan yang kerap terhadap penyakit sering membebankan orang ramai. Memiliki buku seperti ini dapat memberi pendedahan kepada pembaca untuk mengambil langkah awal bagi mempastikan wang mereka dapat dijimatkan. Ianya mendidik pembaca untuk memandang jauh tentang makanan yang diambil, latihan yang sesuai dan amalan yang baik untuk mengekalkan kesihatan fizikal, mental dan spiritual.
No comments:
Post a Comment